Tuesday, November 02, 2010

Pengundi Hantu Dalam Pemilihan PKR -Shamsul

KL, 2 Nov 10: Saingan jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) tercalar dengan dakwaan penyandangnya, Shamsul Iskandar Mohd Akin bahawa pencabarnya, Badrul Hisham Shaharin membawa pengundi hantu ketika pemilihan hujung minggu lalu.

Badrul Hisham yang turut dikenali sebagai “Chegubard” mendahului saingan selepas 68 cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) melangsungkan pengundian setakat kelmarin. Shamsul Iskandar mendakwa wujud pengundi hantu di cabang Rembau dan Tampin.

Bagaimanapun dalam reaksi segera, Badrul Hisham tengah hari tadi menafikan dakwaan itu serta menganggap Shamsul Iskandar bertindak terburu-buru menggunakan media demi mempertahankan kerusi ketua AMK.

“Saya juga mendapat maklumat ini tetapi saya tidak terburu-buru bertemu media,” ujar beliau ketika dihubungi.

“Itu terpulang kepadanya (Shamsul) untuk menuduh saya atau parti (PKR), kalau saya nak bangkitkan kepada media tentang keterlibatan jenteranya (Shamsul) dalam Jawatankuasa Pemilihan Pusat serta memanipulasi banyak perkara, sebenarnya banyak,” kata beliau.

Menurut Shamsul Iskandar, seorang ketua cabang di Negeri Sembilan yang ditangkap oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat kelmrin dikenali umum sebagai ‘orang kuat’ Badrul Hisham.

Katanya, Badrul Hisham tidak boleh menafikan dakwaan tersebut kerana akar umbi PKR di Negeri Sembilan, khususnya di bahagian Parlimen Rembau mengenali galur politik antara Badrul Hisham dan ketua AMK cabang terbabit.

“Kalau ditanya pada orang Rembau, sudah pastinya diketahui dia (ketua AMK cabang terbabit) bukan ‘orang Rembau’,” ujarnya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Badrul Hisham, yang juga Ketua cabang Rembau turut dituduh membawa pengundi hantu ke Pusat Pembuangan Undi cabang Tampin pada hari yang sama.

“AMK di Tampin baru ditubuhkan, cabangnya pun baru diaktifkan, tapi apabila turun mengundi sampai 82 orang,” katanya.

“Yang lebih menarik 76 undi dapat pada Chegubard dan enam undi berbaki saya dapat, itulah persepsi (membawa pengundi hantu) yang ditimbulkan ke atas peribadi Chegubard,” ujar Shamsul Iskandar.

Melihat pada insiden tersebut, Shamsul Iskandar mendesak jawatankuasa itu menggantung keputusan pemilihan peringkat pusat di Rembau dan Tampin sehingga mereka yang terbabit disiasat dan dibuktikan tidak bersalah.

Badrul Hisham yang mengaku terkejut dengan tuduhan tersebut pula menasihatkan Shamsul Iskandar supaya menggunakan saluran rasmi disediakan parti.

“Saya buat laporan dan minta JPP siasat seadil-adilnya...(bukan) membuat tuduhan, “ ujar beliau yang juga Pengasas dan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia.

“Saya rasa terkejut tetapi apa jua alasan kita (PKR) tidak boleh berkompromi dengan proses pengundian yang tidak telus,” katanya.

Ekoran itu, beliau meminta pihak berwajib supaya prihatin dengan cadangan Shamsul Iskandar supaya menggantung serta-merta keputusan di kedua-dua cabang terbabit demi memelihara semangat setiakawan di kalangan anggota AMK.

Badrul Hisham turut menyuarakan rasa yakin bahawa Shamsul Iskandar bersedia untuk berfikiran matang serta memelihara imej parti memandangkan Shamsul Iskandar berpengalaman memimpin AMK sebelum ini.

“Tetapi, apa untungnya untuk sebuah parti (PKR) memulakan langkah awal mencipta sejarah demokrasi di Malaysia supaya parti-parti lain boleh ikut,” katanya.

Dijangkakan, Saifuddin Nasution Ismail selaku Setiausaha Agung PKR sekali lagi akan campur tangan dalam kedua-dua insiden terbabit dalam masa terdekat demi memastikan perjalanan pemilihan PKR 2010 yang dijadualkan berakhir 29 November ini berjalan lancar. (Sumber The Malaysian Insider)

PRK DUN GALAS

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails