Saturday, October 09, 2010

Tarikh Undi Galas: Polimek SPR & PAS



PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membidas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana mendakwa suruhanjaya itu bersifat pilih kasih dan tidak sensitif apabila menetapkan 4 November sebagai tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangn Negeri (DUN) Galas.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya mengambil kira pelbagai faktor sebelum membuat apa-apa keputusan berhubung penetapan tarikh penamaan calon ataupun pembuangan undi.

Jelas beliau, keupayaan pengundi berdaftar yang layak mengundi dalam DUN Galas merupakan keutamaan utama yang diberi perhatian oleh SPR. "Perkara yang paling penting ialah sama ada tarikh yang dipilih itu bersesuaian serta tidak menyusahkan pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih," katanya ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kekesalan Nik Abdul Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berhubung pemilihan tarikh mengundi yang bertembung dengan persidangan DUN negeri yang bermula 1 November depan.

Malah Mursyidul Am PAS itu menganggap SPR tidak menghormati sidang DUN dan seolah-olah sengaja memberi kelebihan kepada Umno. Mengulas lanjut Wan Ahmad berkata, dakwaan bahawa SPR hanya mengambil kira tarikh yang bersesuaian dengan Umno iaitu selepas Perhimpunan Agung yang berlangsung dari 19 hingga 23 Oktober ini adalah tidak benar.

Sebaliknya beliau menegaskan bahawa SPR juga pernah mengambil kira tarikh berlangsungnya Muktamar Tahunan PAS ke-54 yang diadakan pada 2008 iaitu semasa berlakunya kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang.

"Ini masalahnya... mereka mudah lupa perkara yang SPR lakukan yang berpihak kepada mereka. Sebaliknya mereka akan tuduh kita macam-macam kalau ia berpihak kepada parti lain.

"Kita pernah ambil kira mengenai Muktamar PAS ketika itu, dan kali ini kebetulan Umno mengadakan perhimpunan agung mereka, jadi ia turut diambil kira oleh SPR," katanya.

Selain itu Wan Ahmad berkata, soal tidak menghormati sidang DUN tidak timbul kerana ia hanya melibatkan beberapa pemimpin parti itu. "Malah kebanyakan aktiviti ceramah diadakan pada waktu malam, jadi mereka yang terlibat dengan sidang DUN boleh mengambil tempat untuk berkempen di waktu malam," katanya.

Sementara itu di Pasir Mas, tindakan PAS kurang bersetuju dengan tarikh pengundian pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 4 November disifatkan sebagai gimik politik, kata Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali. Beliau berkata kenyataan pemimpin PAS mengenai perkara itu tidak perlu diberi perhatian oleh SPR.

Di Kota Bharu, Persidangan Belanjawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dijadualkan selama seminggu mulai 1 November, akan ditangguhkan pada hari pembuangan undi pilihan raya kecil DUN Galas pada 4 November ini.

Speakernya, Datuk Mohd Nasuruddin Daud berkata penangguhan itu bagi membolehkan anggota dewan negeri itu, sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang menumpukan perhatian kepada suasana pilihan raya itu.

Katanya walaupun Speaker mempunyai kuasa menangguhkan jadual persidangan yang ditetapkan dari 1 hingga 7 November itu, tetapi pihaknya tidak akan meminda tarikh berkenaan yang telah diwartakan mengikut peraturan Dewan.

"Kita akan teruskan juga.... Kita hanya mengambil keputusan untuk tidak mengadakan persidangan sehari pada hari pembuangan undi pilihan raya kecil DUN Galas itu bagi memberi peluang kepada kedua-dua pihak (penyokong kerajaan dan pembangkang)," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Bagaimanapun, beliau kesal dan terkilan kerana pihak SPR tidak mengambil kira jadual persidangan belanjawan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri dalam menentukan tarikh pilihan raya kecil itu. Mohd Nasuruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Meranti berkata sepatutnya SPR boleh berbincang dengan pihak kerajaan negeri bagi mengelakkan pertembungan tarikh itu berlaku, jika mereka benar-benar berlaku adil dalam melaksanakan tanggungjawab itu.

Beliau mengakui pihak Dewan tidak memberitahu SPR berhubung tarikh persidangan dewan itu dan beranggapan "sepatutnya SPRlah yang perlu merujuk (perkara itu) kepada kerajaan negeri." SPR, mengumumkan tarikh penamaan calon bagi pilihan kecil DUN Galas akan diadakan pada 26 Oktober ini, manakala hari mengundi ditetapkan 4 November jika ada pertandingan.
(AK)

-------------------------------

Lihat analisis PRK DUN Galas secara keseluruhan...

...E-Buku IH-14: P/Kecil DUN Galas

Antara kandungan:
Bab 1
Bab 2
Bab 3
Insya Allah liputannya bersambung hingga selesai pilihan raya kecil ini.
---------------------------------------------

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails