Tuesday, October 05, 2010

Ibnu Hasyim Ucap T/Kasih Kpd 'Detektif Lim'

CATATAN SANTAI

Farid Farid Amirul Hisham Abdullah menceritakan kisah sedih dibuang keluarga dan ditinggalkan kekasih gara-gara dituduh mencuri dua buah buku. Farid bagaimanapun bersyukur Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pada 24 September lalu telah membebaskan atas tuduhan tersebut. Foto The Star oleh: SHAARI CHEMAT.

BILA saya baca berita ini...

PETALING JAYA: Pelakon Gerak Khas, Farid Amirul Hisham Abdullah,44, atau lebih dikenali sebagai Detektif Lim dalam drama bersiri itu terpaksa bekerja sebagai pam atendan selepas dituduh mencuri dua buah pada Mac tahun lalu. Farid berkata bukan sahaja trauma dengan kejadian berkenaan sebaliknya dia juga dibuang keluarga sementara kekasihnya turut meminta untuk memutuskan hubungan.

“Hidup saya selepas dituduh mencuri buku menyebabkan saya hilang pekerjaan. Watak saya dalam drama bersiri Gerak Khas terpaksa direhatkan. Saya hanya bekerja di sebuah stesen minyak di Alor Gajah, Melaka.

“Lebih sedih lagi ibu dan bapa juga menyisihkan saya manakala kekasih saya turut memutuskan hubungan,” katanya seperti dipetik akhbar Mingguan mStar keluaran Ahad lalu.

Pada 24 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan hukuman dua bulan penjara dan denda RM2,000 yang dijatuhkan terhadap Farid bagi kesalahan mencuri dua buah buku di pusat beli-belah Mid Valley, Megamall, Kuala Lumpur. Dia dibebaskan selepas mahkamah mendapati tiada bukti yang menunjukkan kedua-dua buah buku itu dicuri oleh tertuduh.

Jelas Farid, ketika menghadapi tekanan itu, dia juga sering disindir oleh orang ramai yang menuduhnya sebagai pencuri manakala syarikat-syarikat produksi pula takut untuk menawarnya berlakon sedangkan dia tidak digam oleh mana-mama stesen penyiaran termasuklah RTM.

Ujian yang berlaku itu ujar Farid, menyebabkan dia hidup dalam kesusahan dan menghadapi kesempitan wang sehinggalah Datuk Yusof Haslam memintanya bekerja di belakang tabir sebagai penolong pengarah drama. Katanya, selepas dua bulan bekerja di stesen minyak, akhirnya dia meletakan jawatan untuk meneruskan kerjayanya di belakang tabir bagi projek drama Roda-Roda Kuala Lumpur dan Aku Bukan Tomboy.

Ujarnya dia mendapat pengajaran daripada kes yang berlaku dan nasihat Farid kepada para selebriti agar sentiasa peka dan sensitif apabila berada di mana-mana.

“Saya akui selalu mengambil buku yang banyak di kedai-kedai buku dan mencari sudut sesuai untuk membacanya. Tapi apabila kita berbuat seperti itu di sesetengah kedai buku pihak berkenaan akan pandang serong dan mula mengesyaki kita hendak mencuri.

“Keadaan ini mengajar saya menjadi lebih peka dengan keadaan sekeliling apatah lagi saya seorang artis.. Cukuplah sekali ini sahaja. Saya tak sanggup mengharunginya lagi,” katanya mengakhiri perbualan.

Berita ini mengingatkan saya, pada suatu hari semasa saya melalui dengan kereta mendaki bukit agak tinggi dari Ampang ke Ulu Langat, tiba-tiba kereta saya rosak agak berat. Tidak boleh jalan, melekat dipingir jalan. Apalagi saya seorang diri, hari hampir malam, tiada langsung orang lalu lalang waktu itu. Sedang saya memikirkan apa nak buat, tiba-tiba seorang lelaki berhenti dengan motosikalnya, menawarkan diri untuk menolong saya.

Tolong usahakan supaya kereta saya bereda ditepi jalan, bukan di tempat selekoh yang membahayakan kenderaan lain. Bahkan dia tolong cari kereta tarik, dan menunggu sehingga semuanya selesai. Saya sangat-sangat berterima kasih kepadanya, dan bersyukur kepada Allah SWT yang menghantarnya membantu saya. Waktu hendak berpisah, baru dia perkenalkan diri, namanya Farid Amirul Hisham, pelakon drama bersiri Gerak Khas, sebagai Detektif Lim.

Amat terharu saya dengan keikhlasan pertolongannya. Hari ini bila saya bacnya beritanya seperti di atas, saya lebih terharu lagi. Saya ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi, dan terasa berkewajipan ingin mengisytiharkan kepada orang ramai, mengenai keikhlasan pertolongan tanpa harapkan balasan saya. Saya tidak pernah mengenalinya sebelum itu. Saya harap dia membaca berita ini, dan sesiapa yang membaca dan mengenalinya, tolong beritahu beliau. Saya mengucapkan terima kasih sekali lagi.

Jelas, kalau kita menolong orang kerana Allah SWT, maka Allah akan membalaskan balik jasanya. Wallahu 'aklam.

Ibnu Hasyim Catatan Santai
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
KL 6 Okt 2010.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails