Tuesday, October 05, 2010

Jesyntha C/Isreal, Wanita Buruan Baru Kes Sosilawati.


Buruan baru
KAWAL...kenderaan yang membawa suspek keluar dari Ladang Gadong, semalam.
Kenderaan yang membawa suspek keluar dari Ladang Gadong, semalam.

KL 5 OKT 10: Selepas 36 hari siasatan, kes kematian jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, memasuki episod baru apabila seorang wanita kini amat dikehendaki polis dan disifatkan amat penting kerana mampu membantu memberi maklumat yang boleh menyelesaikan kes berprofil tinggi itu.

Melalui laman web facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), wajah dan maklumat wanita dikenali sebagai Jesyntha Clarene Isreal itu didedahkan kepada umum dan kerjasama orang ramai amat diperlukan untuk mengesannya.

Jesyntha berusia 27 tahun dan memegang MyKad bernombor 830630-10-6030. Alamat terakhirnya ialah di Lot 55, Batu 1/2 Jalan Jugra, Banting, Selangor. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin yang dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan wanita itu terutama mengenai hubungannya dengan suspek yang ditahan, bagaimanapun enggan memberi ulasan lebih lanjut.

“Saya tidak boleh dedahkan apa-apa maklumat kerana bimbang ia boleh menjejaskan siasatan polis. Lebih penting, saya amat berharap orang ramai yang mengetahui di mana wanita itu berada supaya segera memaklumkan kepada polis,” katanya.

Mengikut laman facebook PDRM, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Jesyntha diminta menghubungi Deputi Superintendan Khoo Leng Huat melalui talian 010-4203791.

Selain itu, mereka yang inginkan keterangan lanjut mengenai wanita terbabit boleh melawat laman sosial rasmi PDRM di www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia.

Sementara itu, semalam polis membawa dua suspek yang terbabit kes pembunuhan Sosilawati ke Ladang Gadong, Tanjung Sepat di Banting.

Kedua-dua suspek yang diiringi beberapa anggota polis berpakaian preman memasuki ladang berkenaan kira-kira jam 3 petang sebelum meninggalkan kawasan itu dua jam kemudian.

Bagaimanapun, kenderaan Unit Forensik tidak dilihat memasuki kawasan itu dan hanya sebuah kenderaan Volvo dipercayai membawa pegawai penyiasat mengekori kenderaan membawa suspek bagi mendapatkan seberapa banyak bukti kejadian itu.

Ia dipercayai ada kaitan dengan kes terbaru membabitkan kehilangan ahli perniagaan dari Teluk Bunut, Banting, S Anpalagan yang mempunyai modus operandi sama dengan kes pembunuhan Sosilawati.

Selain itu, kes itu hampir sama dengan kejadian kehilangan saudagar batu permata dari Chennai, India, Allal Kathan Muthuraja pada Januari lalu.

Sosilawati 47, bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, untuk urusan pembelian tanah.

Polis mengesahkan keempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong.

Hasil siasatan, Unit Forensik menemui beberapa objek termasuk serpihan tulang dan sampel rambut dipercayai milik beberapa mangsa. Bahan bukti kes pembunuhan itu diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Sehingga ini, polis menahan lapan suspek, termasuk dua peguam adik-beradik bagi membantu siasatan.

Tiga daripada mereka ditahan reman sehingga 7 Oktober dan lima yang lain sehingga 8 Oktober bagi membantu siasatan.

Di Bukit Aman pula, isteri S Anpalagan, S Jayanty menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara (KPN) bagi meminta mempercepatkan siasatan kehilangan suaminya pada Ogos tahun lalu.

Wanita itu berkata, memorandum yang diserahkan mengandungi kronologi kehilangan suaminya dan butir pemilikan harta sebelum dilaporkan hilang. (myMetro Online)

Ikuti keseluruhan cerita di atas. Klik di sini..

-----------------------------------------------------------------

Sila lawati E-Perpustakaan IH.....

Rak 1
Rak 2
Akan bertambah lagi e-buku-buku seterusnya.
--------------------------------------------------

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails