Friday, October 08, 2010

Sesi ‘retreat’ Pemimpin Pelbagai Agama, Ikut PAS?

Sesi ‘retreat’ pemimpin pelbagai agama awal tahun depan

Najib (kiri) bertemu dengan ketua-ketua Kristian dari Asia pada 21 April lalu. — Gambar fail

KL, 8 Okt 10: Pemimpin-pemimpin pelbagai agama negara ini akan mengadakan sesi pemukiman awal tahun depan untuk merangka penyelesaian-penyelesaian praktikal berhubung isu-isu agama dan kepercayaan di sebalik debat hangat mengenai hak Islam dan bukan Islam sejak kebelakangan ini.

The Malaysian Insider difahamkan cadangan itu diketengahkan pada pertemuan Jawatankuasa Antara Agama bagi menggalakkan keharmonian dan persefahaman, yang kini dipengerusikan oleh Datuk Ilani Isahak.

“Bengkel percambahan fikiran dua hari akan diadakan awal tahun depan untuk melihat bagaimana kita boleh menyelesaikan aspek-aspek yang menjadi perhatian,” kata Reverend Thomas Philips, presiden Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois kepada The Malaysian Insider selepas mesyuarat satu setengah jam lewat semalam.

“Kita perlu bergerak ke depan,” kata beliau sambil menambah, tiada tarikh khusus ditetapkan setakat ini.

Philips menambah, ia kemungkinan akan diadakan pada suku pertama tahun depan.

Ilani enggan mengulas perkara tersebut apabila dihubungi, tetapi berkata akan menyediakan kenyataan media dalam waktu terdekat.

April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengesahkan kerajaan memutuskan untuk menubuhkan sebuah badan yang lama ditunggu — jawatankuasa antara agama untuk menyelesaikan pertikaian-pertikaian berkaitan dengan agama.

Jawatankuasa itu mempromosikan pemahaman bersama dan harmoni antara agama atau pemahaman dan harmoni antara agama.

“Dan, ia juga memutuskan bahawa sebuah jawatankuasa untuk mempromosikan pemahaman dan keharmonian antara agama dibentuk, dipengerusikan oleh Datuk Ilani dengan penyertaan wakil dan pegawai-pegawai dari Jakim, Ikim, dan juga dari Majlis Perundingan Bagi Buddha, Kritian, Taoisme dan Sikh Malaysia,” kata beliau.

“Kita tidak mahu memanggil ia sebagai panel antara agama. Kita panggil ia sebagai sebuah jawatankuasa, jawatankuasa khas untuk mempromosikan pemahaman dan keharmoniam antara agama ataupun pendeknya jawatankuasa pemahaman antara agama,” kata Koh.

Jawatankuasa ini akan memberikan kesemua kumpulan peluang untuk duduk bersama dan bertukar-tukar pandangan dan untuk membincangkan isu-isu bagi mengelakkan perselisihan faham dan tafsiran salah yang tidak perlu.

Ia berfungsi di bawah Jabatan Perpaduan Nasional dan Integriti.

Philips menjelaskan, usaha-usaha konkrit untuk menyelesaikan pertikaian-pertikaian antara agama kelihatan dingin disebabkan banyak lagi usaha perlu diambil.

Malah menurut beliau, usaha untuk membina kepercayaan dan ikatan persahabatan mengambil masa yang panjang selepas peristiwa Mei 1969.

Katanya, hubungan antara kumpulan Islam dan bukan Islam semakin baik buat masa sekarang dan pemimpin-pemimpin agama kelihatan kurang memperlihatkan “sikap bermusuhan” antara satu sama lain.

“Kita perlu membina hubungan yang pernah wujud sebelum 1969,” katanya lagi.

Bagaimanapun hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam kelihatan kurang menyenangkan sejak beberapa minggu lalu ekoran rakaman video yang disebarkan menerusi YouTube membabitkan tindakan pihak tertentu mencerca Islam dan juga Buddha.

Akhir bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan majlis muhibah makan tengah hari bersama pemimpin pelbagai agama sempena sambutan Hari Malaysia di Putrajaya dengan berkata bahawa perpaduan dan keharmonian antara kaum adalah penting dalam menjayakan program transformasi termasuk Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan pada masa ini.

Najib menjelaskan antara aspek penting dalam memupuk perpaduan kaum dan agama di negara ini ialah menerusi kefahaman berasaskan kepada formula yang dibentuk oleh pemimpin dan pengasas negara ini pada masa lalu yang disifatkannya sebagai payung induk.

“Baru-baru ini, kita dengar mengenai Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan sebagainya. Ingat, tidak akan ada transformasi tanpa perpaduan nasional,” katanya.

Islam sebagai agama rasmi Persekutuan tetapi agama lain bebas diamalkan dan hak Bumiputera, tetapi pada masa sama bukan Bumiputera juga ada hak pada sisi Perlembagaan.

“Kalau itu prinsip induk dan dasar yang kita amalkan, untuk diterjemahkan kepada hidup seharian, kita perlu kepada penterjemahan yang boleh menjurus kepada keharmonian yang mewakili pelbagai kaum dan agama,” katanya.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Macam Lajnah Perpaduan Nasional PAS, bagi kerajaan Malaysia. Apakah kerajaan pun ikut contoh PAS? Tak salah ikut yang baik. Agak-agak Dr Mujahid Ketua Lajnah Perpaduan Nasional PAS dipanggil sertai tak?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails