Thursday, September 30, 2010

Galas: Tentukan Undi Melayu PRU 13 -Merdeka Center


CEO Merdeka Center, Ibrahim Suffian

KL, 30 Sept 10: Bakal pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan dilihat akan menjadi indikasi arah aliran sokongan pengundi Melayu dalam pilihan raya umum ke-13, yang kemungkinan dipanggil awal tahun depan, demikian menurut penganalisis dan ahli-ahli politik.

Malah, penganalisis juga berkata pertarungan untuk menguasai kerusi DUN Galas akan menyaksikan kemunculan isu-isu menyentuh kedudukan orang Melayu secara lebih agresif oleh kedua-dua Umno dan PAS. Bagaimanapun mereka tidak menolak pengundi masyarakat minoriti, membabitkan kaum-kaum lain termasuk Orang Asli, akan memainkan peranan yang signifikan dalam menentukan keputusan.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Che Hashim Sulaima dari PAS akibat barah usus, Isnin lalu. Kekosongan kerusi itu membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-12 sejak Mac 2008. “Saya melihat pilihan raya kecil Galas akan menjadi petunjuk tentang kedudukan pengundi-pengundi Melayu dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian kepada The Malaysian Insider.

“Memandangkan kerusi ini terdiri daripada 70 peratus pengundi Melayu, ini akan menjadi tempat di mana Umno akan berusaha membuktikan bahawa ia parti pembela lebih baik berbanding PAS, malah lebih baik berbanding PKR,” kata beliau lagi.

PAS dan PKR adalah komponen Pakatan Rakyat (PR). Sehubungan itu Ibrahim memberitahu bahawa keputusan pilihan raya kecil ini akan menjadi petunjuk langsung sama ada pengundi Melayu memihak kepada PR ataupun Barisan Nasional (BN).

“Kita perlu ingat bahawa ini adalah kerusi yang akan menggambarkan bagaimana pengundi Melayu akan bertindak,” kata beliau dengan merujuk kepada kedudukan kerusi DUN Galas dalam bahagian Parlimen Gua Musang.

“Ini salah satu daripada beberapa kerusi dalam Kelantan yang bukan memihak kepada PAS (selama ini).

“Jika Umno menang, mereka akan kelihatan kuat dan adalah baik bagi mereka,” kata Ibrahim.

Bagaimanapun penganalisis menekankan, kerusi DUN juga mempunyai pengundi bukan Melayu dalam jumlah yang signifikan. Oleh itu katanya, jika kedua-dua pihak cuba memainkan isu perkauman, langkah tersebut boleh menjejaskan sokongan pengundi minoriti kalangan Cina, India dan Orang Asli.

“Anda boleh lihat bahawa sejak kebelakangan ini PAS meletakkan diri mereka sebagai parti yang bukan sahaja memikat pengundi-pengundi Melayu-Islam, tetapi juga pengundi Cina dan India.

“Ada juga pandangan bahawa pengundi-pengundi bukan Melayu boleh menentukan kemenangan pilihan raya kecil pada saat-saat akhir,” kata Ibrahim.

Malah beliau juga percaya bahawa tindakan kerajaan persekutuan dalam menghalang pembinaan gereja Orang Asli dekat Gua Musang akan memainkan peranan dalam arah aliran undi di kerusi DUN Galas. “Secara tradisi undi Orang Asli sangat kuat bagi BN,” katanya.

Oleh itu kata beliau, mengambil kira perkembangan terbaru ia kemungkinan akan memberi kesan dalam arah aliran sokongan Orang Asli. “Apa sahaja yang berkaitan dengan isu agama, adalah isu yang menyentuh emosi dan boleh mempengaruhi pengundi,” kata beliau yang merujuk kepada lebih 1,000 pengundi Orang Asli yang bakal membawa kesan besar kepada BN.

Awal bulan ini, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli mengarahkan pembinaan gereja konkrit dibina oleh masyarakat Kristian Temian di Pos Pasik. Profesor Shamsul Adabi Mamat pula percaya PAS dan Umno akan memainkan isu-isu kaum dalam beberapa minggu menjelang pilihan raya kecil nanti.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia ini memberitahu The Malaysian Insider, pilihan raya kecil Galas sudah pasti akan menjadi ujian bagi Umno sama ada ia boleh menarik penyokong kalangan Melayu di negeri Kelantan yang diterajui PAS sejak 1990. (Sumber: The Malaysian Insider).

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails