Monday, September 27, 2010

Bukan Melayu Dipaksa Doa & Lebel Pelacur...


SHAH ALAM 27 Sept 10: Dua lagi insiden pengetua dan guru rasis yang melibatkan sebuah sekolah di Muar, Johor dan Tengkera, Melaka menyerlahkan kegagalan kerajaan Umno-Barisan Nasional membendung gejala perkauman yang dilihat semakin menular di dalam sistem pendidikan negara.

Perkara ini didedahkan oleh Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa serta Ahli Dewan Undangan Bachang, Lim Jak Wong yang menceritakan kepada Suara Keadilan dua insiden yang melibatkan pengetua dan guru rasis.

Teck Hwa mendakwa pada April lalu, pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar di Muar telah memaksa lebih 50 pelajar bukan Islam daripada tingkatan satu hingga lima supaya menadah tangan serta membaca doa bersama-sama pelajar Islam semasa perhimpunan bulanan sekolah itu.

Beliau mendakwa pengetua telah mengarahkan pelajar bukan Islam meniru cara berdoa pelajar Islam.

"Ibu bapa pelajar bukan Islam terbabit datang mengadu kepada saya mengatakan perkara ini amat tidak wajar dilakukan oleh pengetua tersebut. Mereka berkata pelajar ke sekolah untuk menuntuu ilmu dan bukannya untuk dipaksa berbuat perkara yang berlawanan dengan kepercayaan agama masing-masing.

"Saya ingin tegaskan pihak Kementerian Pelajaran mesti mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap mana-mana pengetua yang bersikap rasis. Setakat memberi amaran kepada mereka yang bersifat rasis hanya menggalakkan mereka mengulangi perbuatan itu," kata Teck Hwa ketika dihubungi.

Beliau berkata aduan telah dibuat kepada Jabatan Pendidikan Johor dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan pengetua tersebut hanya diberi amaran sahaja.

Kejadian di sekolah ini berlaku beberapa bulan sebelum insiden pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman di Kulai, Siti Insyak Mansor yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat perkauman terhadap pelajar Cina dan India 12 Ogos lalu.

Sementara itu pada Julai lalu, seorang guru agama di Sekolah Menengah Perempuan Methodist di Tengkera, Melaka telah memarahi pelajar sebuah kelas sekolah dengan mengeluarkan kata-kata perkauman. Ini berikutan beberapa pelajar perempuan Melayu berpakaian tidak menutup aurat ketika memperagakan fesyen dalam satu aktiviti pelajar di sekolah itu.

Guru terbabit kemudiannya telah memarahi pelajar sebuah kelas yang terdiri daripada berbilang kaum dengan menyalahkan pelajar Cina di atas perbuatan pelajar Melayu tidak menutup aurat. Malah guru agama tersebut mengatakan pelajar Cina memakai seluar pendek kerana mahu menjual tubuh mereka.

Jak Wong berkata perbuatan guru rasis tersebut tidak boleh dimaafkan langsung kerana kesan daripada yang dikatakan akan mempengaruhi pelajar menteladani contoh guru itu. Walaupun beliau diberitahu guru itu telah ditukar ke sekolah lain namun tindakan ini tidak memadai.

"Tindakan keras mesti diambil dengan memecat guru berkenaan, tidak cukup sekadar menukar daripada satu jabatan ke jabatan yang lain.

"Inilah akibatnya guru diberikan mesej dan indoktrinasi yang salah ketika diwajibkan menghadiri kursus BTN. Apabila dalam keadaan marah mereka tidak boleh mengawal diri mereka lalu keluarlah semua sifat rasis yang terpendam selama ini didalam diri mereka hasil ajaran BTN," kata beliau.

Beliau memberi amaran sekiranya kerajaan berlembut terhadap pengetua atau guru rasis, keharmonian serta perpaduan pelajar pelbagai kaum di sekoalh negara ini akan turut terjejas dan menerima kesan buruk.

Teck Hwa berpendapat insiden pengetua sekolah yang bersikap rasis adalah kesan daripada doktrin politik 'Ketuanan Melayu' ciptaan Umno yang seringkali menjadi teras kepada kursus anjuran Biro Tatanegara (BTN) yang diwajibkan kepada kakitangan kerajaan dan golongan pelajar.

Pandangan beliau dikongsi Jak Wong yang berkata warga pendidik yang menghadiri kursus BTN telah diberi maklumat serta 'semangat' yang salah sehingga apabila dalam keadaan marah kepada pelajar sekolah, mereka menghamburkan segala kenyataan rasis yang dipelajari serta diterapkan ke dalam minda guru-guru terbabit. (AK)

1 comment:

Anonymous said...

aku dulu sekolah cina. kalau nak dikira la kenyataan prkauman oleh cikgu Cina kpd student Melayu, aku boleh listkan dari darjah 1 sampai la darjah 6.

tapi bebudak zaman tu, tak pernah terpikir nak wat report sampai ke tahap polis. kalau bawak isu tu kat parti politik pun, aku rasa UMNO ngan PAS zaman tu pun takkan layan...

la ni jek aku rasa kecoh, tu pun semua yg disalahkn cikgu2 Melayu. tah betul ke tak bersalah, dah dimaki hamun... yg orang2 Melayu pun sama naik jugak...

kat Facebook, Twitter, Youtube, bersepah2 orang maki Melayu, hina Islam. Katy Lim tu, sampai sekarang bebas. apesal DAP ngan MCA tak kecoh pulak???

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails