Monday, October 11, 2010

‘Retreat’ MP PAS , Gegar Parlimen Hadapi PRU-13?

Dr Dzulkefly: Kami bersiap sedia untuk menghadapi debat yang besar, ketika ramai meramalkan sesi Parlimen ini adalah yang terakhir.

KL, 11 Okt 10: Ahli-ahli Parlimen PAS mengakhiri sesi ‘retreat’ tiga hari kelmarin, julung kali diadakan membabitkan wakil-wakil rakyat parti Islam itu, menjanjikan akan membawa sekitar enam isu baru untuk menggegarkan sesi Dewan Rakyat bersidang semula mulai hari ini. Ia juga dilihat sebagai persiapan komponen Pakatan Rakyat (PR) menghadapi pilihan raya negeri Sarawak dan umum, disebut-sebut sama ada akan diadakan berasingan ataupun serentak awal tahun depan.

Sambil menjanjikan beberapa “kejutan” isu pada sesi kali ini, yang akan berlangsung selama 43 hari, beberapa wakil rakyat mengesahkan mereka telah membincangkan sejumlah isu secara menyeluruh dan meliputi semua bidang khususnya ekonomi.

Ahli Parlimen Kuala Selangor PAS Dr Dzulkefly Ahmad yang bertindak sebagai pengarah ‘retreat’ sulung ini, yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara memberitahu, pihaknya membuat persiapan rapi memandangkan pelbagai pihak mendakwa Bajet 2011 adalah belanjwan terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13. Sesi itu dihadiri kesemua 23 Ahli Parlimen PAS.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan akan membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, Jumaat ini. Pada ‘retreat’ ini, ahli-ahli Parlimen PAS turut diberikan taklimat oleh beberapa penganalisis politik dan ekonomi, membentangkan senario politik dan ekonomi yang berkaitan dengan dasar-dasar pentadbiran Najib.

“Kami bersiap sedia untuk menghadapi debat yang besar, ketika ramai meramalkan sesi Parlimen ini adalah yang terakhir, walaupun saya secara peribadi tidak bersetuju (dengan pandangan ini), dan dengan meramalkan ini sebagai bajet pilihan raya, kami perlu bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13,” katanya lagi.

“Sesi ini, selain sesi bajet, juga didedahkan dengn Rancangan Malaysia Ke-10, program ETP dan Model Baru Ekonomi, EPP dan BIZ Ops... banyak sitilah besar,” kata beliau.

Oleh itu, PAS menghimpunkan input semua pihak pada sesi yang diaturkan secara kebetulan ketika bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Galas, kata ahli jawatankuasa kerja PAS pusat ini.

“Kami berdepan dengan cabaran perbahasan dengan akan adanya Bajet 2011 dan beberapa rang undang-undang yang telah diaturkan (oleh Parlimen),” kata bekas pengarah unit penyelidikan PAS ini kepada The Malaysian Insider.

“Ini memerlukan persiapan yang rapi dan persefahaman dan perkongsian maklumat di kalangan Ahli Parlimen kami,” kata beliau sambil menambah, PAS “sebagai parti yang bertanggungjawab mahu memastikan penyertaan yang aktif dalam perbahasan kali ini.”

Mesyuarat ketiga penggal ketiga Parlimen ke-12 akan berlangsung sehingga 15 Disember.

Baru-baru ini, Najib ketika berucap pada Perundingan Bajet 2011 menyifatkan Bajet 2011 sebagai yang akan menetapkan rentak transformasi ekonomi ke arah ekonomi maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Persidangan kali ini juga bakal menyaksikan beberapa lagi rang undang-undang yang dikemukakan untuk bacaan kali pertama pada sesi lepas dibentangkan termasuk Rang Undang-Undang Perbadanan Stadium Malaysia 2010, Rang Undang-Undang Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (Pemerbadanan) (Pindaan) 2010; Rang Undang-Undang Pemberi Pinjam Wang (Pindaan) 2010, Rang Undang-Undang Kawalan Harga dan Antipencatutan 2010 dan Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2009.

Selain itu, dua rang undang-undang yang ditangguhkan pada Jun lepas iaitu Rang Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2010 dan Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2010 turut disenaraikan untuk pembentangan pada persidangan kali ini.

Secara keseluruhan, komposisi Dewan Rakyat terdiri daripada 137 Barisan Nasional, 77 wakil Pakatan Rakyat dan lapan Bebas. (Sumber TMI)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails