Thursday, October 14, 2010

1,046 Muflis Bawah 25 Tahun, Kaji Semula Undang..


KL Rabu Oktober 13, 2010: Sebanyak 1,046 kes muflis melibatkan kalangan mereka di bawah umur 25 tahun dicatatkan bagi tahun 2005 hingga Julai tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu Rabu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata daripada kes itu, 487 atau 46.5 peratus diisytiharkan muflis kerana gagal menjelaskan hutang sewa beli kenderaan manakala 354 orang (33.8 peratus) pula gagal menjelaskan pinjaman peribadi.

Terdapat juga kalangan mereka muflis kerana menjadi penjamin korporat dan sosial, serta gagal menjelaskan pinjaman kad kredit serta biasiswa atau pinjaman pelajaran, katanya. Liew menjawab soalan Aaron Ago Anak Dagang (BN-Kanowit) berhubung jumlah remaja yang muflis sejak lima tahun lalu dan punca utamanya, pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini.

Menurutnya bagi mengatasi masalah itu, Jabatan Insolvensi sedang mengkaji semula undang-undang muflis supaya prosedur pengisytiharan kebankrapan diperketat dan diperkemas bagi menjayakan pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata beberapa inisiatif lain turut dilaksanakan seperti mengadakan 61 program "Outreach and Awareness" di seluruh negara untuk memberi maklumat mengenai kesan buruk jika seseorang diisytiharkan muflis serta cara untuk keluar daripada belenggu itu.

"Hasilnya, terdapat penurunan 44.6 peratus kepada 139 kes kebankrapan melibatkan remaja di bawah 25 tahun pada tujuh bulan pertama tahun ini berbanding 251 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas," katanya.

Liew memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan kes muflis bagi tempoh lima tahun lepas adalah sebanyak 83,389 kes. - BERNAMA

Komen Blog Ibnu Hasyim: Dipetik daripada kitab 40 Hadits Penawar Hati..

Ertinya:

Daripada Abu Hurairah RA. bahawa Rasulullah SAW. bersabda:

"Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?"

Sahabat menjawab: "Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki dirham (wang) dan juga tidak memiliki harta."

Lalu Nabi s.a.w. bersabda:"Sebenarnya orang yang muflis dari kalangan umatku ialah seseorang yang datang pada hari qiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi (dahulunya sewaktu di dunia) ia pernah mencaci maki si fulan, menuduh si fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan, dan pernah memukul si fulan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang lain yang pernah teraniaya , ia akan diberikan pula daripada pahala kebaikan orang tadi, sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dijelaskan (belum dapat dibayar semua), maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka."
Hadits Riwayat Muslim

Keterangan:

Kita hendaklah berhati-hati dan berwaspada daripada sebarang dosa dan kesalahan. Kita hendaklah selalu meminta ampun kepada Allah SWT dan hendaklah meminta maaf kepada orang yang teraniaya daripada perbuatan kita. Kita hendaklah meminta halal daripadanya ketika kita masih ada dalam dunia ini, walaupun terkadang kita terpaksa merendahkan diri meminta maaf darinya.

Biarlah kita dipandang rendah atau hina di dunia ini, asalkan kita terlepas dari bebanan dosa pada hari qiamat nanti. Kita hendaklah bersedia menebus dosa dan kesalahan walaupun dengan maruah dan dengan harta benda yang ada, kerana kita takut jadi terlambat sehingga tiba saat kematian atau kematian orang yang teraniaya dari perbuatan kita, maka terpaksa kita berhadapan dengan orang berkenaan di Mahkamah Agung Rabbun Jalil, iaitu di padang Mahsyar nanti.

Kala itu, tiada seorang juga pun yang mahu menerima harta benda sebagai tebusan dosa. Yang mereka mahukan hanyalah bayaran daripada pahala ibadat yang telah kita lakukan di dunia dahulu. Kita pun pada waktu itu sangat berhajat kepada pahala amalan tersebut. Kalau pahala yang ada cukup untuk menebus dosa, kalau tak cukup, maka terpaksa kita menanggung bebanan dosa mereka ke atas bahu kita. Beban yang akan menjerumuskan kita ke dalam lubang api neraka. Na'uzubillah min za lik.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails