Wednesday, October 13, 2010

K/Mahkamah Sosilawati 2: Peguam, 4 Tuduhan

Tiga suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi individu (dari kiri) T Thilaiyalagan, R Matan dan R Kathavarayan tiba bagi mendengar pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret , Banting hari ini. – Foto Bernama

(Kanan)Tertuduh utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati, N Pathmanabhan tiba di Mahkamah Majistret bagi menghadapi pertuduh an membunuh jutawan kosmetik itu dan tiga individu lain pagi tadi. – Foto Bernama

Peguam hadapi empat tuduhan bunuh Sosilawati, tiga yang lain

BANTING 13 Okt 10; Peguam N. Patmanabhan dan tiga orang lagi didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Datok di sini hari ini atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.

Peguam berusia 41 tahun itu didakwa bersama-sama pekerja ladang T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Khatavarayan, 30.

Patmanabhan menghadapi empat pertuduhan iaitu pertuduhan pertama membunuh Sosilawati, 47, pertuduhan kedua membunuh pegawai Bank CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, pertuduhan ketiga membunuh peguam Sosilawati, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pertuduhan keempat membunuh pemandu Sosilawati, Kamarudin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun yang sama, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.

Patmanabhan dan tiga yang lain didakwa melakukan pembunuhan itu di tempat yang sama iaitu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang Tanjung Sepat, Banting, Selangor dan pada masa yang sama antara pukul 8.30 malam hingga pukul 9.45 malam pada 30 Ogos lalu.

Pertuduhan ke atas ketiga-tiga yang lain dibacakan dalam Bahasa Tamil manakala pertuduhan ke atas Patmanabhan dibacakan dalam Bahasa Malaysia di hadapan Majistret Hurman Hussain.

Tiada pengakuan direkodkan di dalam prosiding yang bermula 9 pagi, yang mahkamah dipenuhi para wartawan yang sebelum ini menunggu hampir sebulan untuk melihat pendakwaan dibuat ke atas suspek-suspek.

Patmanabhan diwakili oleh empat peguam iaitu Ravi Neeko, R. Pushpa, Amer Hamzah Arshad dan Datuk Ng See Teong, manakala tiga yang lain tidak diwakili peguam pada prosiding pagi tadi.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwaraya Ishak Mohd Yusoff yang dibantu oleh Idham Abdul Ghani dan Saiful Edris Zainuddin.

Ishak turut memberitahu mahkamah bahawa pihaknya belum menerima laporan kimia daripada Jabatan Kimia, yang memerlukan masa untuk dilengkapkan.

Beliau kemudian memohon satu tarikh sebutan, sementara menunggu laporan tersebut diterima.

“Ia berupa amalan kes dadah satu bulan (untuk memperolehi laporan kimia), tarikh sebutan (untuk kes ini) memerlukan dua bulan,” kata Hurman.

“Beliau kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 16 Disember “

Amer Hamzah pula membangkitkan isu mengenai keperluan tiga tertuduh diwakili peguam.

Hurman menjelaskan bahawa Pegawai Penyiasat telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

“Kalau nak ambil peguam silakan. Ada sesiapa yang kamu fikirkan,” katanya.

Salah seorang tertuduh iaitu Thilaiyalagan kemudiannya memberitahu mahkamah bahawa keluarganya tidak mengetahui dia ditahan polis.

Hurman menyoalnya di mana dia ditangkap.

Dia memberitahu dia ditangkap di ladang di Tanjung Layang.

Hurman lalu mengarahkan supaya polis memberitahu keluarga Thilaiyalagan mengenai penahanannya.

Beliau juga berkata peguam boleh dilantik oleh keluarga tiga tertuduh berkenaan semasa perbicaraan nanti.

Patmanabhan memberitahu mahkamah bahawa ketiga-tiganya tidak arif mengenai soal undang-undang dan hak mereka untuk mendapatkan peguam bela.

Hurman juga membenarkan permohonan Amer Hamzah dan tiga peguam lain untuk bertemu dengan anak guam mereka iaitu Patmanabhan selama 10 minit dengan pengawasan pihak polis bagi menjamin keselamatan mereka.

Beliau turut membenarkan keempat-empat peguam untuk bertemu dengan tiga tertuduh lain untuk membantu mereka dalam soal perundangan juga dengan pengawasan polis. – Bernama

Dapatkan kisah Sosilawati secara keseluruhan..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails