Monday, October 11, 2010

Rasis: Speaker Parlimen Tolak Pembahasan Usul.


Kl, 11 Okt 10: Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin menolak perbahasan terhadap usul yang dibawa DAP berhubung kenyataan rasis dibuat oleh dua pengetua atas alasan tindakan sudah pun diambil ke atas mereka.

Bagaimanapun beliau tidak memberi butiran berhubung tindakan yang dikatakan sudah diambil ke atas kedua-dua pengetua berkenaan. Di bawah Peraturan Mesyuarat 18(12), menurut Pandikar, tidak perlu usul tergempar meskipun tiada pengumuman rasmi mengenai tindakan-tindakan yang telah diambil ke atas pengetua-pengetua dari Kulaijaya, Johor dan Bukit Selayang, Kedah.

“Saya telah meneliti perkara ini dan ia ada kepentingan awam.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan bahawa Kementerian Pelajaran dan Jabatan Perkhidmatan Awam telah mengambil tindakan ke atas dua individu ini... jadi tidak ada keperluan untuk usul ini.

“Dengan itu saya menolak usul ini,” kata Pandikar ketika menolak usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang.

Usul Penasihat DAP itu dibenarkan untuk dibaca di Dewan Rakyat, tetapi ditolak atas alasan "tidak perlu disegerakan."

Ia antara lain berbunyi, "bahawa Dewan mengizinkan YB Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Ipoh Timur untuk menangguhkan Dewan mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) untuk merundingkan perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendaki disegerakan iaitu dua orang guru besar dari Kulai, Johor dan Bukit Selayang, Kedah yang melafazkan kata-kata rasis dan menghina terhadap pelajar-pelajar mereka di sekolah dalam bulan Ogos tahun ini, sehingga kini tidak dikutuk atau diambil tindakan displin sekeras-kerasnya oleh pihak yang berkenaan selaras dengan semangat 1 Malaysia.

“Dua bulan selepas guru-guru besar dari Kulai dan Bukit Selayang berkenaan – yang antara lain, melabelkan pelajar-pelajar bukan Melayu di sekolah mereka sebagai 'pendatang', menggesa pelajar-pelajar kaum Cina supaya 'balik Cina', serta membandingkan benang sembahyang yang dipakai oleh pelajar beragama Hindu sebagai pengikat anjing – menunjukkan sikap rasis tidak sejajar dengan jawatan mereka sebagai pendidik yang berwibawa, Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pelajaran masih berkeras bahawa beliau tidak berdaya mengambil tindakan untuk memperbetulkan keadaan, sebaliknya mengizinkan kedua-dua guru besar yang berkenaan meneruskan tugas mereka seperti sediakala.

"Di samping itu, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan yang mengeluarkan pekeliling kepada semua guru-guru besar dan guru-guru dalam bulan Ogos untuk memberikan amaran bahawa 'tindakan akan dikenakan ke atas mereka yang mengeluarkan kata-kata rasis di sekolah', tidak pula mengenakan tindakan disiplin ke atas kedua-dua guru besar yang berkenaan sehingga kini, menunjukkan tidak wujud iltizam politik atau falsafah pentadbiran yang betul dalam negara ini untuk membanteras ketaksuban perkauman.

“Semua ini merupakan sindiran langsung terhadap tema hari kebangsaan tahun ini iaitu '1 Malaysia Menjana Transformasi' serta membelakangkan perisytiharan 'toleransi sifar terhadap rasisme' Perdana Menteri sendiri.

“Pada masa apabila Perdana Menteri cuba mengamalkan dasar '1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', seluruh pasukan pentadbiran beliau nampaknya tidak serius langsung terhadap dasar berkenaan, malah lebih cenderung untuk mendahulukan budaya rasis Biro Tata Negara — atau lebih tepat sekali, Biro Tentang Negara – yang meracuni generasi muda dan para pendidik kita selama ini dengan mesej rasis yang songsang dan lebih merupakan 'Trojan Horse' dalam usaha kita mencapai perpaduan negara.

“Perdana Menteri yang baru pulang dari Mesyuarat Asia-Eropah Kelapan di Brussels telah membangkitkan sekali lagi gesaan beliau di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu baru-baru ini supaya diujudkan pergerakan sederhana global semua agama yang memainkan peranan penting di dunia yang kini menghadapi ancaman melampau. Gesaan ini sesuai sekali diulangi di negara kita sendiri yang kini semakin terancam oleh anasir-anasir ketaksuban rasis dan pelampau agama yang mengancam ketenteraman negara serta menggoncang semangat majmuk yang merupakan batu asas Malaysia.” (TMI)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails