Monday, July 25, 2022

M'sia susuli Sri Lanka? Al-hamdulillah 'wakaf' perkasa pertanian.

 


1. Dakwaan Malaysia akan susuli Sri Lanka

TRAGEDI ekonomi, politik sosial yang melanda Sri Lanka amat membimbangkan rakyat. Sampai satu tahap, ada rakyat bimbang Malaysia akan menuruti nasib Sri Lanka.

Ada juga yang menyamakan Dinasti Rajapaksa dengan kedudukan sebahagian pemimpin politik Malaysia yang selesa menikmati hasil mahsul negara atas kesesakan yang dihadapi rakyat.

Namun begitu kita tidak perlu bimbang. Kebarangkalian Malaysia ke arah Sri Lanka amat tipis. Dan kita tidak perlu menjadi seperti Sri Lanka, kononnya ada kebangkitan rakyat untuk menggulingkan kerajaan.

Hakikatnya keadaan di Malaysia masih terkawal dan insya-Allah akan terkawal.

1. Pertamanya, IMF mengatakan dengan jelas, Malaysia tidak mengalami masalah ekonomi sepertimana dialami negara muflis lain. Malahan, hujung April lepas, IMF meramalkan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia bagi tahun ini akan berkembang pada kadar 5.75 peratus. Maksudnya, ekonomi kita masih bergerak dan akan berkembang.

2. Cuba kita perhatikan maklumat terperinci berkenaan perbandingan antara hutang Sri Lanka dan Malaysia. Sri Lanka banyak berhutang dalam matawang asing iaitu US Dollar sebanyak 51 bilion dollar, namun simpanan rizab asing hanya 2.4 bilion dollar.

Berbeza dengan Malaysia, hutang dalam matawang asing hanya 6 bilion sekitar 2.5 peratus sahaja. Namun rizab matawang asing besar iaitu 116 bilion dollar. 

Hutang dalam bentuk matawang asing amat berisiko terdedah kepada perubahan kadar nilai matawang. Berbeza sekiranya hutang kita dalam kadar matawang tempatan yang bersifat tetap kadarnya. 

Namun kita tidak menafikan keperluan penambahbaikan pengurusan perbelanjaan negara dan pelaksanaan penjimatan yang lebih efisien. 

Langkah penjimatan yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan adalah wajar dipuji, namun sepertimana diutarakan Ketua Pemuda PAS, YB Ustaz Fadli Shaari, kita tidak mahu penjimatan ini berjalan serentak dengan pembaziran di tempat lain. 

Dalam bahasa mudahnya, strategi penjimatan negara hendaklah bersifat komprehensif dan efisien.

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 21/7/2022

2. Peranan institusi wakaf dalam memperkasa Dasar Pertanian Negara  

ISU kestabilan dan kelestarian sumber makanan kembali menjadi topik hangat perbincangan masyarakat khususnya ahli politik, ekonomi dan akademik setelah harga ayam mengalami peningkatan di pasaran baru-baru ini.

Tidak hanya harga ayam, pengguna di Malaysia turut menerima kesan peningkatan harga gandum sebelum ini akibat daripada keputusan India yang menghentikan eksport gandumnya ke negara-negara luar. 

Malah laporan Indeks Harga Pengguna, 2021 yang dilaporkan oleh Jabatan Statistik Malaysia, turut mencatatkan peningkatan kadar inflasi sebanyak 2.5 peratus yang antaranya disumbangkan oleh peningkatan indeks makanan dan minuman sebanyak 1.7 peratus. 

Kesemua sub-kumpulan makanan dan minuman yang terdiri daripada sub-kumpulan minyak dan lemak; daging; ikan dan makanan laut; susu, keju dan telur; sayur-sayuran; dan keluaran makanan tidak terkelas di tempat lain telah mengalami peningkatan harga yang ketara di antara 0.3 peratus hingga 3.3 peratus pada tahun lepas. 

Di antara penyumbang utama kepada peningkatan kadar inflasi ini adalah disebabkan oleh peningkatan harga agromakanan akibat daripada gangguan ke atas rantaian bekalan makanan.

Walaupun kedudukan Malaysia dalam Global Food Security Index (GFSI) 2021 yang merupakan penanda aras antarabangsa dalam menentukan tahap sekuriti bekalan makanan negara menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke-39 berbanding tempat ke-48 pada tahun sebelumnya, hakikatnya ia bukanlah suatu berita gembira yang boleh dibanggakan kerana pada tahun 2019, Malaysia pernah berada di kedudukan yang lebih baik iaitu di kedudukan ke-28 daripada 113 negara.

Index GFSI ini diwujudkan bagi menilai tahap kerentanan negara terhadap sekuriti makanan menggunakan metodologi ukuran kualitatif dan kuantitatif yang meliputi 58 indikator dan empat kategori utama iaitu keterjangkauan atau kebolehcapaian (affordability), ketersediaan (availability), kualiti dan keselamatan (quality & safety) serta sumber asli dan daya tahan (natural resources & resilience). 

Kluster Kebolehcapaian (KBC) yang diterajui oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan diselaraskan oleh Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) telah memfokuskan dimensi kebolehcapaian ini dari sudut kemampuan ekonomi isi rumah untuk mendapatkan makanan yang sihat, selamat dan menepati kehendak gaya hidup sama ada melalui pembelian mahupun ekonomi sara diri.

Berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi suku ketiga pada tahun 2021 dalam buletinnya, kekuatan utama penarafan sekuriti makanan di Malaysia disebabkan oleh skor dan penarafan yang lebih baik dari aspek ‘kemampuan’. 

Namun, statistik pada 2019 menunjukkan bahawa Malaysia hanya menghasilkan 46 peratus daripada sayur-sayurannya, 70 peratus daripada berasnya, 61 peratus daripada buah-buahannya dan 25 peratus daripada dagingnya pada tahun tersebut bagi memenuhi keperluan domestik. 

Statistik turut menunjukkan bahawa 60 peratus keperluan makanan dalam negara adalah bergantung kepada aktiviti import dari negara luar. Data ini menunjukkan bahawa Malaysia lebih banyak bergantung kepada import agromakanan bagi memastikan sekuriti makanan untuk keperluan domestiknya dapat dipenuhi.

Pergantungan yang tinggi terhadap import makanan dan sumber asli untuk output ekonomi, serta dedahan yang tinggi kepada risiko berkaitan iklim dan fenomena cuaca buruk menunjukkan bahawa jaminan keselamatan makanan di Malaysia masih lemah. 

Seandainya berlaku krisis makanan global, maka kerajaan Malaysia tidak akan mampu untuk membendung peningkatan ke atas harga makanan sekali gus bakal memberikan kesan ke atas kebolehcapaian isi rumahnya untuk memenuhi keperluan asas ini. 

Penetapan kadar gaji minima sebanyak RM1,500 oleh pihak kerajaan seolah-olah tidak memberikan kelegaan kepada isi rumah kerana harga makanan dan kos sara hidup turut meningkat.

Bagi menghadapi isu ini, saranan demi saranan telah disuarakan oleh pelbagai pihak dan di antaranya termasuklah dengan pemansuhan lesen import (AP) yang mana telah membawa kepada pemansuhan ke atas AP bahan makanan, berkuat kuasa serta-merta oleh Perdana Menteri baru-baru ini. 

Langkah ini dilihat sejajar dengan desakkan beberapa NGO dan ahli ekonomi yang melihatnya sebagai salah satu cara untuk menjamin keselamatan dan bekalan makanan di negara ini. 

Walau bagaimanapun, adakah langkah ini benar-benar dapat mencapai matlamat yang diharapakan iaitu membantu menstabilkan harga makanan bagi membolehkan kebolehcapaian setiap anggota masyarakat ke atas sumber makanan tanpa mengira latarbelakang ekonomi dapat dicapai? 

Pemansuhan AP bahan makanan ini dilihat satu langkah yang sangat baik seandainya pihak kerajaan dapat memastikan kuasa monopoli dalam pasaran makanan tersebut dapat dihalang atau tidak berlaku. 

Namun, seandainya berlaku sebaliknya, maka pemansuhan AP ini tidak akan memberikan kesan ke atas harga makanan. Malah ia hanya akan menguntungkan pihak-pihak tertentu khususnya pengusaha atau pemborong yang mempunyai sumber modal yang lebih besar.

Ia sekali gus akan memberi impak tertentu kepada sektor pertanian tempatan terutama golongan petani yang masih mengamalkan aktiviti pertanian dan penternakan sara diri atau berskala kecil untuk kekal bersaing dengan pengeluaran produk import yang bakal masuk. 

Bagi berhadapan dengan kemungkinan tersebut, pihak kerajaan boleh mempertimbangkan penglibatan dan peranan institusi wakaf dalam memperkasakan Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) yang telah dirangka.

Institusi wakaf di Malaysia khususnya anak syarikat di bawah Majlis Agama Islam mungkin boleh mempertimbangkan penglibatan mereka dalam membangunkan tanah-tanah wakaf dengan aktiviti pertanian yang berskala besar bagi memenuhi keperluan sumber makanan negara. 

Cadangan ini sejajar dengan pendekatan dan teras strategik DPN3 yang memperkenalkan pendekatan perhutani (agroforestry approach) dan pendekatan berasaskan produk (product-based approach). Melalui pendekatan yang bersesuaian, pihak MAIN atau institusi wakaf dapat membangunkan tanah-tanah wakaf terbiar dengan aktiviti pertanian atau penternakkan moden melalui bimbingan pakar-pakar pertanian dan pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. 

Selain itu, usahasama dan gabungan ini akan mewujudkan ruang yang lebih luas kepada pelbagai perusahaan perhutanan dan pertanian, sekali gus mengoptimakan penggunaan sumber terutama tanah dan meningkatkan potensi penjanaan pendapatan dari aktiviti pertanian atau penternakkan tersebut. 

Peranan institusi wakaf dalam pembangunan ekonomi masyarakat khususnya umat Islam di Malaysia telah terbukti apabila beberapa projek pembangunan dalam sektor pendidikan, perumahan, pembangunan infrastruktur dan kesihatan telah berjaya direalisasikan. 

Suntikan modal untuk pembangunan tanah wakaf melalui Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) telah mula menampakkan hasilnya. Selain itu penglibatan institusi wakaf dalam sektor pertanian adalah sangat penting kerana konsep wakaf itu sendiri adalah sebagai penstabil ekonomi dan mampu untuk bersaing dengan syarikat luar yang lebih besar secara adil dalam pasaran sedia ada. 

Ia sekali gus dapat membantu golongan petani dan penternak berskala kecil agar tidak dibuli oleh pengusaha yang lebih besar atau orang tengah yang sering menjadi masalah dalam rantaian bekalan makanan di Malaysia. 

Walau bagaimanapun, penglibatan institusi wakaf dalam sektor pertanian perlu mendapat sokongan yang berterusan daripada pihak kerajaan agar ia kekal lestari dan dapat terus berkembang. 

DR NUR ATIKA ATAN
(PhD in Economics and Muamalat Administration)
Ex- Pembantu Penyelidik 
Islamic Finance and Wealth Management Institute (IFWMI) Universiti Sains Islam Malaysia. – HARAKAHDAILY 6/6/2022

Rujukan:
2. Ministry of International Trade & Industry (2021). Trade and economic information booklet 2nd Quarter. Muat turun daripada: https://www.miti.gov.my/miti/resources/Trade%20and%20Economic%20Information%20Booklet%20/TNEQ221.pdf
3. Portal Rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia. Analisis Indeks Harga Pengguna Tahunan 2021.  Muat turun daripada: https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/cthemeByCat&cat=490&bul_id=VnZCRlBNbVVOWURoNWdObWhLYlJZdz09&menu_id=bThzTHQxN1ZqMVF6a2I4RkZoNDFkQT09
4. Portal Rasmi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3). Muat turun daripada: https://www.fama.gov.my/dasar-pertanian-negara-ketiga-dpn3-
5. Portal Rasmi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. Sekuriti makanan. Muat turun daripada https://www.mafi.gov.my/pelan-tindakan-dasar-sekuriti-makanan-2021-2025.

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!


PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails