Tuesday, July 26, 2022

Bencana: Lubang benam Israel.. & Ke London tersasar 660km.

 

Kejadian lubang benam yang berlaku di kawasan tempat letak kereta hospital Jerusalem, Israel. (FOTO Fail CNN)

1. Israel dipenuhi beribu ‘bencana’ lubang benam

JERUSALEM: Kejadian seorang lelaki maut ketika menghadiri parti di sebuah villa selepas disedut sejauh 13 meter (42.6 kaki) ke dalam lubang benam (sinkhole) yang terbentuk di dasar kolam renang baru-baru ini, membuktikan fakta tentang bencana maut yang menanti di Israel.

Menurut laporan news.com.au, lubang benam boleh membentuk lubang di dalam tanah apabila air melarutkan batu; dan tanah di kawasan penempatan Israel terdedah kepada lubang benam kerana kehadiran garam batu yang mudah larut dalam air.

Kejadian itu juga membuktikan kebenaran kenyataan penyelidik kanan Institut Geologi Israel, Ittai Gavrieli  yang memberitahu Agence France-Presse (AFP) pada tahun lalu bahawa terdapat beribu-ribu lubang benam di dalam dan sekitar Israel, termasuk di sekitar pantai Laut Mati.

Dalam kejadian itu, lapor The Guardian, polis Israel telah menahan pasangan lelaki dan wanita yang merupakan pemilik kediaman dan kolam renang yang menganjurkan parti tersebut, kedua-duanya berusia enam puluhan, disyaki menyebabkan kematian secara cuai. 

Kejadian lubang benam di Israel kali ini agak menggemparkan kerana ia menyebabkan kematian. (FOTO AP)

Kedua-duanya  telah ditangkap pada malam Khamis lalu dan mahkamah memutuskan untuk membebaskan mereka pada Jumaat di bawah ‘syarat-syarat sekatan tahanan rumah’. selama lima hari.

Polis berkata, mangsa, Klil Kimhi, 32, dari Tel Aviv ditemui mati oleh pihak polis, kru kecemasan dan tentera melakukan operasi pencarian selama empat jam.

NBC News pula melaporkan insiden itu berlaku semasa parti persendirian yang dianjurkan pasangan berkenaan dikenali sebagai Natan dan Rachel Meller di kediaman mereka di bandar Karmi Yosef, 25 batu di tenggara bandar Tel Aviv. 

Tanah di kawasan penempatan Israel terdedah kepada lubang benam kerana kehadiran garam batu yang mudah larut dalam air. (FOTO Yahoo News)

Menurut laporan itu, rakaman video telefon bimbit dari tempat kejadian menunjukkan pelampung dan air disedut ke dasar, di tengah kolam, ketika beberapa orang yang duduk di tepi kolam menjerit dalam bahasa Ibrani. 

“Parti itu dihadiri hampir 50 orang, di mana enam daripadanya berada di kolam itu, dan juga melaporkan bahawa pemilik rumah telah membina kolam itu tanpa pelesenan yang sewajarnya,” ujar laporan berkenaan.

Sementara menurut laporan news.com. au. lagi, seorang tetamu parti memberitahu bahawa paras air di dalam kolam renang  tiba-tiba mulai surut dan sebuah  lubang kemudian terbuka membentuk pusaran yang menghanyutkan dua orang ke dalamnya. 

Mangsa (gambar kecil) yang terbunuh dalam kejadian lubang benam di kolam renang, Klil Kimhi di Karmi Yosef, Israel baru-baru ini. (FOTO timesofisrael)

Aviv Bublil, yang diupah sebagai penyelamat di parti persendirian itu berkata, “Saya nampak dua orang … dua orang hilang.”

Selain, Kimhi yang ditemui maut, menurut laporan Jerusalem Post memetik kenyataan paramedik, Uri Damari sebagai berkata, seorang lagi mangsa, lelaki berusia 34 tahun berjaya memanjat keluar dari lubang benam berkenaan dengan mengalami kecederaan ringan di kepala dan kakinya.

Terdahulu, pada 7 Jun 2021, tiga buah kereta yang diparkir di tempat letak kereta hospital Jerusalem hilang disedut ke dalam lubang benam dalam kejadian yang dikatakan berpunca daripada terowong lebuh raya yang digali berhampiran, namun tiada laporan mengenai sebarang kecederaan. -HARAKAHDAILY 26/7/2022.


2. Penumpang kereta api terkejut ‘dibawa’ 660km dari destinasi dituju 

Jim Metcalfe dikejutkan oleh pengalaman di luar dugaan ketika menaiki kereta api dari Glasgow ke London. (FOTO persiadigest.com)

GLASGOW: Seorang lelaki yang menaiki kereta api di Glasgow menuju ke London tidur dalam perjalanan, namun terkejut besar apabila bangun pada keesokan harinya mendapati dia sebaliknya berada sejauh 660 kilometer dari London.

Jim Metcalfe, 43, menaiki perkhidmatan kereta api Caledonian Sleeper di Glasgow pada jam 11.40 malam pada 20 Julai lalu, dengan mengandaikan ia akan berlepas ke London dan sampai ke destinasi itu pada keesokan harinya seperti yang dijadualkan.

Sebaliknya, warga Scotland berusia 43 tahun itu bangun keesokan paginya di sebuah bandar yang terletak 660km jaraknya dari London.

Ketua eksekutif badan amal itu berkata, dia kadang-kadang menggunakan perkhidmatan kereta api berkenaan untuk urusan perniagaannya.

“Biasanya saya menaiki kereta api lebih awal pada jam 10.30 malam, supaya saya boleh tidur sebelum ia mula bergerak dan bangun apabila sampai ke destinasi pada keesokan harinya.  

Kereta api Caledonian Sleeper yang menyediakan perkhidmatan tempat tidur ini dinaiki Jim Metcalfe dari Glasgow ke London. (FOTO News Pipa)

“Namun, pada jam 5 pagi, saya terbangun dari tidur selepas terdengar ketukan di pintu kabin dan seorang lelaki yang sangat ramah muncul dengan roti gulung dan sosej serta kopi.

“Saya diberitahu supaya turun dari kereta api kerana ia sebenarnya langsung tidak bergerak dan saya sebenarnya masih berada di Glasgow,” ujarnya kepada BBC.

Metcalfe mengesahkan kereta api itu sedang bergerak sebelum dia bertolak ke Glasgow Central, namun apa yang tidak diketahuinya adalah semua perkhidmatan kereta api laluan terus antara London dan Scotland telah dibatalkan kerana kerosakan yang disebabkan oleh fenomena gelombang haba di United Kingdom pada landasan kereta api.

Apabila suhu mencecah 40 darjah Celcius, landasan kereta api bergoyang dan kabel gagal berfungsi, bermakna perkhidmatan dibatalkan dan kakitangan kereta api terpaksa bekerja semalaman untuk membaiki kerosakan.

“Malangnya, kakitangan Caledonian Sleeper tidak memaklumkan kepada saya akan perkara itu,” ujar Mercalfe.  

Glasgow terletak sejauh 660 kilometer dari London. (FOTO iqrajobs.com)

Sehubungan itu, Pengarah Urusan Caledonian Sleeper, Kathryn Darbandi berkata, pihaknya telah memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku kepada Metcalfe.  

“Ini disebabkan oleh kerosakan yang dikenal pasti pada talian, pada lewat petang, berkaitan dengan suhu melampau yang menyebabkan masalah di seluruh rangkaian, yang berada di luar kawalan kami.

“Kami berusaha sedaya upaya untuk menyokong penumpang yang terjejas, termasuk menyediakan penginapan semalaman di atas kapal dan pilihan untuk perjalanan menggunakan perkhidmatan rel alternatif pada hari berikutnya. Semua penumpang akan menerima bayaran semula dalam jumlah yang penuh,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/7/2022

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails