Friday, July 15, 2022

Dron ganti 20 pekerja ladang. Boleh atasi masalah MOU M'sia-Indo?

 

Aerodyne sedang berusaha untuk meningkatkan keupayaan dron yang dikendalikannya

1. Satu dron Aerodyne mampu ganti 20 pekerja ladang

KUALA LUMPUR: Sebuah dron yang dikendalikan oleh Aerodyne Group mampu menggantikan fungsi antara 15 hingga 20 pekerja di ladang, sekali gus berupaya menyelesaikan masalah kekurangan tenaga buruh di sektor perladangan yang ketika ini dilaporkan mencecah sehingga 120,000 orang.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aerodyne, Kamarul Muhamed, berkata penyedia perkhidmatan teknologi dron itu kini sedang berusaha untuk meningkatkan keupayaan dron kendaliannya supaya berupaya menyamai kemampuan 50 pekerja dalam satu masa.

"Mengapa perlu membiarkan aliran keluar modal dari Malaysia sedangkan kita boleh melakukan automasi dan penggunaan teknologi, sekali gus beralih daripada terus bergantung kepada penggunaan buruh murah.

"Kita perlu terus berusaha untuk meraih kembali kelebihan daya saing dengan mengadaptasikan penggunaan teknologi dan digital dalam sektor ini.

"Sebagai contoh, Belanda yang saiz negaranya separuh daripada negeri Pahang boleh menjadi pengeksport agrikultur kedua terbesar di dunia tanpa menggunakan tenaga kerja asing kerana segala-galanya diautomasi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum 'MIDF Conversations' yang diadakan secara maya hari ini.

Forum dikendalikan Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), Datuk Charon Mokhzani yang bertindak sebagai moderator.

Kamarul berkata, Aerodyne memahami bahawa penggunaan teknologi berkenaan akan menelan belanja kos yang tinggi dan ia adalah keputusan penting yang perlu dilakukan.

"Kita perlu melakukan pelaburan dan melakukan lonjakan supaya berfikir dengan cara berbeza. Seperti yang pernah dikatakan oleh Albert Einstein, aanda tidak boleh selesaikan masalah pada hari ini mengunakan pemikiran yang sama mencetuskan masalah itu'.

"Jadi, masalah kepada jaminan makanan yang kita hadapi hari ini disebabkan oleh pemikiran yang kita ada sekarang. Untuk atasi masalah ini, kita perlu berfikir secara berbeza.

"Hentikan pemikiran mengenai buruh murah, kita seharusnya berfikir mengenai pelaburan dalam teknologi dan menaruh kepercayaan kepada orang kita," katanya.

Sementara itu, Kamarul berkata beliau menyasarkan untuk menyenaraikan Aerodyne Group di pasaran saham dalam tempoh dua tahun lagi.

"Kami akan melihat pasaran (untuk disenaraikan) yang memberi kelebihan terbaik buat syarikat," katanya. (BH)


2. PETRONAS, Aerodyne teroka peluang penggunaan dron  April 25, 2022 @ 1:50pm  

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Tengku Muhammad Taufik (dua dari kanan) mendengar penerangan mengenai penggunaan dron dalam industri tenaga - Foto ihsan PETRONAS

KUALA LUMPUR: PETRONAS Technology Ventures Sdn Bhd (PTVSB), unit pengkomersialan teknologi PETRONAS memeterai kerjasama strategik dengan Aerodyne Oil and Gas Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Aerodyne Group untuk meneroka peluang penggunaan dan pengkomersialan penyelesaian berasaskan dron.

Kerjasama itu menandakan satu lagi langkah penting perjalanan kelestarian PETRONAS, dengan meningkatkan penggunaan teknologi berasaskan dron dalam industri tenaga untuk mengoptimumkan operasi sambil mengurangkan jejak karbon serta meningkatkan keselamatan tapak kerja.

Ia juga sebahagian daripada usaha PETRONAS untuk mengupayakan operasi dari jauh dan autonomi dengan memperluaskan penggunaan robotik dan pendigitalan.

Satu memorandum kerjasama (MoC) dimeterai pada 21 April lalu antara kedua-dua pihak.

PTVSB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mahpuzah Abai dan pengerusi PTVSB, Dr Nasir Darman, yang juga Ketua Pegawai Teknologi PETRONAS.

Manakala, Aerodyne diwakili oleh pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kamarul A. Muhamed serta Pengarah Aerodyne Oil & Gas, Karim Hamzah.

Perjanjian disaksikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Tengku Muhammad Taufik.

Hadir sama, Naib Presiden Kanan Penyampaian Projek dan Teknologi PETRONAS, Bacho Pilong dan Naib Presiden Kanan Strategi Korporat PETRONAS, Mazuin Ismail.

Dalam ucapannya, Tengku Taufik berkata PETRONAS percaya kerjasama dengan Aerodyne adalah bukti kepada perkongsian wawasan antara kedua-dua organisasi untuk melonjakkan Malaysia sebagai peneraju penyelesaian teknologi dron di dunia.

"Dengan teknologi dalaman PETRONAS dan kepakaran Aerodyne, kami bersedia dengan teknologi berasaskan dron yang akan dibawa ke dalam industri tenaga dan sektor-sektor lain, terutama untuk meningkatkan keselamatan dan mengurangkan jejak karbon di tapak kerja.

"Selain kerjasama dalam penyelesaian berasaskan dron inovatif bagi penggunaan dan pengkomersialan teknologi, kedua-dua syarikat juga akan meninjau kepada penambahbaikan teknologi, pembangunan modal insan, penubuhan kawal selia dan standard berkaitan, selain usaha meliberalisasikan penggunaan dron dalam industri di Malaysia," katanya.

Kepentingan teknologi berasaskan dron dicerminkan dengan penubuhan Pusat Dron PETRONAS bagi memudah cara penggunaannya.

PETRONAS berjaya melaksanakan penghantaran antara pelantar bagi muatan seberat lima kilogram dalam jarak lima kilometer.

Menerusi kerjasama ini, kedua-dua syarikat akan turut meneroka daya maju ekonomi dan teknikal penyelesaian dron dengan muatan lebih tinggi dan jarak lebih jauh bagi meningkatkan kecepakan logistik serta kepantasan.(BH)


3. Kalau tidak setuju MoU, Malaysia boleh batalkan - Duta Besar Indonesia 

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono

KUALA LUMPUR: Indonesia bersikap 'berlapang dada' sekiranya Malaysia berhasrat membatalkan memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara berhubung pengambilan dan perlindungan pekerja negara itu termasuk Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) ke Malaysia April lalu.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, berkata ini kerana MoU terbabit tidak dihormati, berikutan butiran dalam perjanjiannya tidak dipatuhi Malaysia.

"Perkaranya mudah sahaja, MoU yang ditandatangani wajar dihormati, lebih-lebih lagi membabitkan dua negara serumpun, malah segala maklumat dan butiran mengenai perjanjian dinyatakan dalam MoU berkenaanPerdana Menteri Malaysia, yang perlu terbang hingga ke Jakarta pada akhirnya penjanjian dilanggari, ia hanya membuang masa.

"Kalau tidak bersetuju, terminate (batalkan) sahaja, boleh tulis surat untuk batalkan perjanjian itu, serah pada kedutaan dan kita akan sampaikan kepada pemerintah… itu tidak menjadi masalah," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Indonesia mengenakan pembekuan sementara ke atas semua pekerja negara itu memasuki Malaysia sejak semalam berikutan Jabatan Imigresen terus menggunakan System Maid Online (SMO) biarpun kedua-dua negara bersetuju menggunakan satu saluran iaitu One Channel System (OCS) menerusi MoU.

Mengulas lanjut, Hermono berkata, menerusi MoU dimeterai juga sudah dinyatakan secara terperinci penggunaan sistem tunggal terbabit dengan objektif utama bertujuan melindungi pekerja dari sebarang penganiayaan termasuk tidak dibayar gaji.

"Sistem SMO yang terus digunakan yang mana membenarkan pekerja Indonesia memasuki negara ini menggunakan visa pelancong sebelum memohon permit kerja adalah satu amalan yang ingin dihentikan oleh Jakarta kerana terdedah kepada risiko kerja secara paksaan.

"Jadi kerajaan Indonesia memutuskan pembekuan itu selepas sesi perundingan maya antara saya bersama pegawai kementerian luar dan kementerian tenaga kerja Indonesia kelmarin, semua negara pastinya mahu memastikan rakyat mereka yang bekerja di negara lain terjaga keberadaan dan kebajikan mereka," katanya.

Beliau berkata, sistem tunggal OCS seperti dipersetujui itu siap untuk dilaksanakan pihak Indonesia untuk diintegrasikan dengan sistem di Malaysia.

"Mungkin ada perkara yang belum dapat diselesaikan atau dipersetujui antara Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri hinggakan sistem SMO masih terus digunakan.

"Bagi pihak Indonesia, kami berpegang kepada MoU itu, patuh perjanjian, kami sedia hantar pekerja ke negara ini," katanya.

April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Kerajaan Malaysia dan Republik Indonesia berhubung pengambilan PDI.

MOU PDI itu mengandungi empat elemen utama antaranya menggunakan hanya satu saluran tunggal kemasukan PDI atau OCS, menggunakan konsep One Maid One House dan kos ditetapkan pada kadar maksimum RM15,000.

Selain itu, gaji permulaan PDI ditetapkan RM1,500 bersamaan dengan kadar gaji minimum semasa negara. (BH)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Dron mampu ganti 20 pekerja ladang. Apakah hal ini boleh atasi masalah MOU persefahaman Malaysia-Indonesia berhubung pengambilan dan perlindungan pekerja negara itu termasuk Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) ke Malaysia April lalu?


Sila lihat..

Kaitan Industri cendawan 

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

1 comment:

Anonymous said...

Dron ganti 20 pekerja ladang bererti 20 orang akan hilang pekerjaan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails