Monday, June 13, 2022

Usaha cendawan tiram guna inovasi IOT -Susulan COVID-19.

 

Abdul Hafiz menunjukkan hasil cendawan tiram yang diusahakan di Rumah Hasil Cendawan Tiram, di Kampung Beta, Pohon Buluh, Pasir Mas. - NSTP/Syaherah Mustafa

KL/IH: PASIR MAS, K'tan. Kerjasama penduduk kampung dalam kalangan pelbagai latar belakang kerjaya mencetuskan idea untuk mengusahakan Rumah Hasil Cendawan Tiram menggunakan pelaras suhu automatik (IOT) yang mampu menghasilkan produk sepanjang tahun.

Ahli Kelab Komuniti Tani-Ternak Pasir Mas (KITABINA), terdiri daripada pendidik, pemimpin setempat, serta pesara kerajaan dan swasta di berganding bahu selain berkongsi modal bagi memulakannya pada Mac lalu.

Lebih menarik, projek tanaman cendawan tiram ini menggunakan teknologi IOT yang juga dicipta oleh Muhammad Syahmi Ahmad Johari, 31, anak jati kampung berkenaan di Kampung Beta, Pohon Buluh, di sini.

Penyelaras KITABINA, Abdul Hafiz Ab Rahman, berkata tanaman cendawan tiram yang diusahakan itu dapat dihasilkan sepanjang tahun berbeza secara tradisional susulan terciptanya IOT yang pertama kali digunakan di negara ini.

"Alhamdulillah, untuk proses permulaan terdapat 2,030 bongkah cendawan yang boleh dituai sebanyak enam kali untuk setiap bongkah. Cendawan dijual dengan harga RM10 sekilogram, manakala hasilnya turut digunakan untuk tujuan kebajikan penduduk.

"Projek Rumah Hasil Cendawan Tiram ini, bukan sahaja tertumpu kepada aktiviti pertanian tetapi dapat memberi peluang pekerjaan kepada belia dan juga penduduk yang hilang punca pendapat susulan pandemik COVID-19.

"Malah, hasil jualan digunakan untuk kebajikan dengan memberi sumbangan barangan keperluan serta kewangan bagi kelompok yang memerlukan," katanya ketika ditemui di Rumah Hasil Cendawan Tiram di Kampung Beta, Pohon Buluh, di sini, semalam.

Abdul Hafiz yang juga seorang guru berkata, cendawan memerlukan tempat yang lembap tetapi tidak basah, justeru memerlukan pengawalan suhu serta kelembapan yang baik bagi menghasilkan cendawan berkualiti.

Menurutnya, dengan adanya sistem IOT berkenaan, mereka tidak lagi perlu menunggu musim tengkujuh untuk mengusahakan cendawan kerana sistem ini mampu mengawal semuanya dengan baik.

"Kami dalam perancangan mengembangkan usaha ini dengan 10 projek agro niaga seperti akuaponik, tanaman fertagasi, madu kelulut, penternakan ayam kampung organik dan pengurusan sisa pepejal.

"Melalui perancangan ini, penduduk boleh menjalankan aktiviti pertanian atau penternakan mengikut pilihan mereka sekali gus, menjadikan Kampung Beta sebagai ikon hub agro tani bersepadu di negeri ini.

"Sekarang kami berharap permohonan kepada Telekom Malaysia (TM) untuk kemudahan akses internet diluluskan segera, memandangkan capaian internet yang kurang baik di kawasan ini bagi memudahkan urusan projek dan manfaat setempat," katanya.

Rumah Hasil Cendawan Tiram turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, yang memberi sokongan kepada usaha penduduk selain membantu memberi dana kepada pengusaha cendawan tiram terbabit. (BH)

Video: Penduduk usaha cendawan tiram guna inovasi IOT -Jun 24,2021.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails