Thursday, June 16, 2022

Peguam Bangladesh hina Nabi, Nepal. Pakistan di PBB.

 

Umat Islam menyertai protes di Bangladesh minggu lalu bagi membantah kenyataan dua pegawai BJP yang menghina Nabi Muhammad SAW. - Foto fail AGENSI

1. Peguam Bangladesh dituduh hina Nabi Muhammad

DHAKA: Seorang peguam warga Bangladesh dilaporkan menghina Nabi Muhammad SAW di media sosial pada Rabu, menambahkan lagi ketegangan sedia ada di seluruh negara itu.

Hantaran di Facebook itu tular di media sosial ketika negara Asia Selatan yang majoriti penduduknya beragama Islam itu berang terhadap kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW oleh dua pegawai Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah India, minggu lalu, lapor Agensi Anadolu.

Peguam lain yang mengadakan bantahan besar-besaran di Mahkamah Agung Bangladesh, tempat peguam itu bekerja, turut merosakkan pejabatnya.

Mereka turut mengadakan perhimpunan mendesak peguam itu segera dihukum, manakala Majlis Peguam Mahkamah Agung Bangladesh sudah pun menggantung keahlian peguam terbabit.

Satu kes sudah pun difailkan terhadap peguam terbabit di Balai Polis Shahbag, Dhaka pada malam Rabu.

"Kami sudah pun menerima kes yang diklasifikasikan sebagai diari aduan (GD) dan akan menyerahkan laporan itu kepada unit siber esok (Khamis) untuk siasatan," kata pegawai bertugas, Moudud Hawlader kepada Anadolu.

Kenyataan peguam itu amat mengguris sentimen Islam dan menggugat keharmonian penduduk, menurut laporan polis itu.

Seorang peguam kanan Mahkamah Agung, Md Jashim Uddin, menegaskan, tindakan yang dibuat peguam itu amat tidak dijangka.

"Kami menuntut hukuman teladan supaya tiada lagi yang berani melakukan perbuatan keji menghina Nabi bagi memusnahkan keharmonian penduduk negara ini," kata Uddin.

Sementara itu, parti Islam terbesar Bangladesh, Islami Andolan, mengumumkan ia akan mengadakan perarakan ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi India di Dhaka pada Khamis bagi menyerahkan memorandum menuntut supaya hukuman dijatuhkan ke atas dua pegawai parti itu.

Tunjuk perasaan besar-besaran turut diadakan di Bangladesh selepas solat Jumaat minggu lalu berhubung perkara itu.

Kerajaan India sebelum ini menyatakan, kenyataan yang dibuat pegawai parti itu - seorang daripadanya digantung keahlian manakala seorang lagi sudah pun dipecat - tidak menggambarkan pendirian sebenar parti. – BERNAMA

2. Polis tahan 4 warga Nepal sokong kenyataan hina Nabi

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat warga Nepal dipercayai terbabit dalam penularan video memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai warga asing di negara ini yang menyatakan sokongan tindakan seorang ahli politik negara India yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, suspek berusia 26 hingga 27 tahun ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, hari ini.

"Polis turut merampas peranti yang dipercayai digunakan untuk merakam dan memuat naik hantaran yang ditularkan.

"Polis kini sedang berusaha untuk mengesan suspek yang masih bebas. polis menggesa individu yang terbabit dalam rakaman video berkenaan untuk tampil membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abd Jalil berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut.

"Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Terdahulu, video berkenaan dimuat naik menerusi aplikasi TikTok menggunakan nama @ganggarammahto280.

Video memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai warga asing berkumpul di hadapan kuil dan menyatakan pendirian menyokong tindakan Nupur Sharma, ahli politik dari parti Bharatiya Janata yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Rakaman video berdurasi satu minit 18 saat itu mendapat 16,000 tontonan, 302 komen dan turut dikesan tular melalui aplikasi media sosial lain seperti Facebook dan WhatsApp.

3. Pakistan gesa isu hina Nabi Muhammad didebat di Perhimpunan Agung PBB   

Penyokong parti Pakistan Tehreek-e-Labbaik (TLP) menyertai demonstrasi bagi membantah pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP) yang menghina Nabi Muhammad, SAW baru-baru ini. - Foto EPA

ISLAMABAD: Pakistan menggesa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi perhatian serius terhadap kenyataan dua pemimpin dari parti pemerintah India, Parti Bharatiya Janata (BJP) yang menghina Nabi Muhammad, SAW baru-baru ini.

Menteri Luar Pakistan, Bilawal Bhutto Zardari yang bercakap dengan Presiden Perhimpunan Agung PBB, Abdulla Shahid melalui telefon dan menyebut mengenai kenyataan menghina dan menyinggung yang dilakukan oleh ahli politik dari BJP terhadap Nabi Muhammad SAW.

"Melihat kepada provokasi yang disengajakan itu, ia sudah menjejaskan sentimen berbilion-bilion umat Islam di seluruh dunia dan Menteri Luar menggesa (Presiden Perhimpunan Agung PBB) untuk memberi perhatian terhadap perkembangan yang menjijikkan ini ketika peningkatan ucapan kebencian dan peningkatan Islamofobia di India.

"Merujuk kepada tindak balas kepemimpinan India yang seolah-olah berdiam diri mengenai insiden itu, Menteri Luar menyatakan bahawa tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai bersubahat dan boleh membawa kepada hasutan lebih lanjut kepada keganasan, perselisihan kaum dan insiden kebencian agama," kata Kementerian Luar Pakistan, dalam satu kenyataan.

Zardari berkata, forum PBB adalah platfom terbaik digunakan untuk 'perdebatan yang membina di kalangan negara anggota serta bertujuan untuk membetulkan isu menyebabkan kebencian di kalangan umat Islam, lapor agensi berita Anadolu.

Minggu lalu, jurucakap pemerintah BJP, India Nupur Sharma dan ketua media Delhi parti, Naveen Kumar Jindal membuat kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW seterusnya mencetuskan gelombang kecaman di dalam dan dari dunia Islam.

Pada hari Ahad, BJP menggantung keahlian Sharma dan memecat Jindal daripada parti kerana komen yang dibuatnya mengenai Islam di media sosial.

Beberapa rusuhan dilaporkan di serata India selepas komen menghina Nabi Muhammad SAW dibuat oleh jurucakap BJP, Nupur Sharma, ketika debat yang disiarkan di televisyen manakala Jindal membuat kenyataan sama terhadap Islam di media sosial.

Sehubungan itu, BJP sudah menggantung dua pemimpin berkenaan serta mengarahkan pemimpin parti itu supaya berhati-hati bercakap mengenai agama di platform awam selepas kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW mendapat bantahan daripada negara Islam.

Qatar, Arab Saudi, Oman, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia, Afghanistan, Pakistan dan Iran adalah antara negara yang membuat aduan kepada umum terhadap isu itu termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianggotai 57 anggota. - AGENSI


 Sila lihat..

Kaitan Industri cendawan 

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails