Tuesday, June 14, 2022

Bukti prihatin rakyat: Haram filem ini & atasi pengangguran.

 

Pelakon Chris Evans (kiri) meminjamkan suara untuk Buzz Lightyear yang merupakan watak utama filem animasi, Lightyear (kanan) yang cukup dikenali sebelum ini menerusi siri filem animasi, Toy Story. (FOTO People.com)

1. Elemen LGBT: Filem animasi baharu Hollywood diharamkan di Malaysia

HALAMAN HIBURAN

DUBAI, United Arab Emirates: Filem animasi terbaharu Hollywood, Lightyear diharamkan di 14 buah negara seluruh dunia termasuk Malaysia, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE)  susulan menayangkan adegan ciuman sejenis antara wanita dengan wanita berunsur lesbian, gay, biseksual, dan transeksual (LGBT).

Menurut Washington Post, keputusan UAE mengharamkan filem animasi tersebut daripada ditayangkan di pawagam impak daripada tindakan Malaysia yang juga dilaporkan akan mengharamkan filem itu sebelum ini, dan seterusnya meningkatkan kemungkinan besar majoriti negara Islam lain turut sama mengikut langkah tersebut.

Mengulas lanjut, laporan itu menjelaskan, UAE, dan negara-negara  lain di Timur Tengah  adalah negara di bawah pimpinan Muslim yang mengklasifikasikan LGBT sebagai satu jenayah. 

Tambah laporan itu, Jabatan Negara Amerika Syarikat memberi amaran bahawa undang-undang Islam, atau syariah di UAE boleh mengenakan hukuman mati bagi perlakuan seks sejenis, manakala di Dubai, pesalah LGBT boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun, sementara di Abu Dhabi, hukuman penjara mencecah sehingga 14 tahun.

Sementara itu, Dailymail.co.uk menjelaskan, setakat Isnin (13 Jun), sebanyak sembilan  buah negara telah menghalang rakyat mereka daripada menonton karya spinoff filem siri filem animasi pecah panggung, Toy Story itu, yang bakal ditayangkan di pawagam menjelang hujung minggu ini. 

Lightyear menampilkan salah satu watak penting dalam Toy Story, Buzz Lightyear sebagai watak utamanya yang menggunakan lakonan suara pelakon terkenal menerusi watak Captain America dalam siri filem Avengers, Chris Evans. 

Salah satu babak dalam filem animasi terbaharu, Lightyear (FOTO rogertebert.com)

Larangan itu sesarnya menjejaskan pasaran timur tengah terutamanya di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Mesir, Kuwait, Oman, Qatar dan ia juga merebak ke negara-negara Islam lain seperti Malaysia dan Indonesia.

“Adegan berkenaan dilaporkan menunjukkan watak utama wanita dalam filem yang menampilkan lakonan suara oleh pelakon Uzo Aduba, mencium ‘pasangan wanita’nya dan ia jelas bertentangan dengan bertentangan dengan budaya dan agama Islam,” kata laporan itu.

Di samping itu Dailymail.co.uk juga melaporkan, filem itu tidak pernah diserahkan kepada penapis di negara Arab Saudi, kerana andaian penerbit bahawa ia sememangnya tidak akan diluluskan tayangannya kerana negara itu secara terang-terangan yang mengharamkan homoseksual.

Dalam pada itu, yahoo! news Singapura dalam laporannya menjelaskan portal berita hiburan, Cinema Online telah menerima pengesahan daripada pejabat The Walt Disney Company di Malaysia Lightyear tidak akan ditayangkan di Malaysia.

Bagaimanapun, menurut laporan itu, tiada kenyataan rasmi lagi dikeluarkan oleh syarikat tersebut tentang sebab mengapa peminat Malaysia tidak dapat filem animasi yang ditunggu-tunggu ramai itu. -HARAKAHDAILY 14/6/2022

2. Empangan Hidroelektrik Nenggiri sedia 2,000 peluang pekerjaan  

KOTA BHARU: Pembinaan projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri membuka peluang pekerjaan kepada 2,000 penduduk termasuk masyarakat Orang Asli.

Pengurus Besar TNB (Kelantan dan Terengganu), Mustaphakamal Yaacob berkata, peluang juga dibuka kepada kontraktor-kontraktor tempatan untuk terlibat sama.

Katanya, peluang pekerjaan disediakan bukan sahaja sahaja ketika kerja-kerja pembinaan, sebaliknya setelah pembinaan empangan tersebut selesai bagi pengoperasian loji janakuasa.

Antara pekerjaan diperlukan termasuk membabitkan sektor penyelenggaraan kawasan, pegawai keselamatan yang melibatkan pekerja mahir dan tidak mahir.

“Pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri juga dijangka dapat membantu serta menyumbang pertumbuhan ekonomi Kelantan apabila masalah banjir dapat diatasi.

“Pengurangan banjir secara tidak langsung akan meningkatkan aktiviti ekonomi yang sebelum ini tidak dapat dilakukan terutama apabila menjelang musim tengkujuh.

“Sebagai contoh aktiviti pertanian dan pembuatan sering mengalami kekangan apabila banjir berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Taklimat Media Mengenai Projek Hidroelektrik Nenggiri di sebuah hotel di sini petang semalam.

Ahad lepas Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob merasmikan pecah tanah pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri. Pembinaan empangan tersebut melibatkan kos kira-kira RM5 bilion.

Ia dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun lagi akan memberi kesan terhadap kelestarian alam dan sosial. Empangan terbabit mampu menjana 300MW bakal meningkatkan lagi kapasiti tenaga boleh baharu.

Mustaphakamal juga berkata, apabila berjaya mengurangkan kesan banjir ia secara tidak langsung dapat memberi keyakinan kepada pelabur untuk melabur di Kelantan.

Menurutnya juga pembinaan empangan dapat memberi potensi kepada aktiviti akuakultur di tasik takugan utama bagi merangsang ekonomi tempatan. – HARAKAHDAILY 14/6/2022

3. Kadar pengangguran turun, indikator baik buat negara  

PASCA pemulihan negara selepas dibadai COVID-19 menyaksikan sektor ekonomi mula berjalan rancak. Hal ini mendatangkan kesan positif kepada aktiviti ekonomi negara.

Namun begitu, ia juga mendatangkan beberapa kesan yang kurang digemari andai tidak diurus sebaiknya. Antaranya peningkatan inflasi yang mencetuskan kenaikan harga barangan.

Pun begitu masih ada juga berita baik buat negara. Kadar pengangguran negara pada April 2022 menyaksikan penurunan yang memberangsangkan.

Kedudukan tenaga buruh pada bulan April terus mengukuh dengan peningkatan sebanyak 0.4 peratus bulan ke bulan kepada 16.50 juta orang, berbanding 16.44 juta orang pada Mac.

Ini adalah trend yang diinginkan ekoran peningkatan pengangguran yang terjadi ekoran sekatan ekonomi tatkala COVID-19 melanda negara pada 2020-2021 yang lalu.

Menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, peningkatan tenaga buruh dalam tempoh ini adalah ekoran lebih banyak aktiviti perniagaan sempena sambutan Ramadan dan persiapan menjelang Aidilfitri diadakan pada waktu tersebut. 

Hal ini selari dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa yang menggalakkan sektor pelancongan dan industri berkaitan pelancongan untuk meneruskan aktiviti mereka.

Alhamdulillah, meskipun dihimpit dengan krisis makanan di peringkat global serta peningkatan inflasi, hal ini sedikit sebanyak memberi isyarat bahawa ekonomi negara ke arah fasa pemulihan. 

Sebagai rakyat kita perlu yakin dengan sentimen positif ini agar keyakinan pelabur terhadap negara terus terpasak kukuh.

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 13/6/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Antara bukti prihatin rakyat di negara ini, haram filem elemen LGBT dan atasi masalah pengangguran rakyat. 

Sila lihat..
Kaitan Industri cendawan 

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails