Sunday, June 12, 2022

Tafsir Tuan Guru Nik Aziz, jadi batu loncatan menyatu ummah..

 

KL/IH: "Kalau di negara jiran terkenal dengan Tafsir al-Azhar karya Buya Hamka, di negara kita pula hari ini kita ada Tafsir Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat..."  Demikian kata YB Dato' Ustaz Ahmad Marzuk Shaary, T/Menteri JPM (HEA) Malaysia.

"Semoga tafsir ini menjadi batu loncatan dalam menyatukan ummah di Malaysia dan menjadi rujukan yang hebat di persada dunia." Kesimpulan beliau seperti dalam tulisan di bawah ini.

[Tafsir TGNA dilancarkan di PBA KL

KALAU di negara jiran terkenal dengan Tafsir al-Azhar karya Buya Hamka, di negara kita pula hari ini kita ada Tafsir Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Saya berasa cukup berbesar hati kerana dapat merasmikan Pelancaran Buku Tafsir Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pesta Buku Antarabangsa (PBAKL) pada petang tadi.

Menariknya tafsir ini, ia adalah transkripsi daripada kuliah yang dirakam di dalam audio kaset kuliah Tuan Guru setiap pagi Jumaat di Medan Ilmu, Kota Bharu, Kelantan. Pasukan penggerak Projek Tafsir Tok Guru ini mengekalkan keaslian ucapan dan huraian Tuan Guru serta memberi takrifan kepada dialek Kelantan bagi memastikan seluruh rakyat Malaysia dapat mengambil manfaat sepenuhnya.

Semasa muda dahulu, saya sendiri selalu mengikuti kuliah-kuliah beliau. Apabila saya membaca buku tafsir ini, boleh terbayang perkataan dan lenggok bahasa yang keluar daripada mulut Almarhum Tuan Guru. Teringat dahulu ketika di sekolah, kami datang ke kuliah beliau dengan menaiki motosikal.

Setakat ini, tafsir Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ini sudah ada 9 buah buku yang merangkumi 19 surah dan dalam proses menyiapkan lagi untuk surah-surah seterusnya.

Ustaz Ahmad Saifuddin Yusof, Ketua Projek Tafsir Tok Guru memaklumkan kepada saya bahawa agak sukar untuk melengkapkan tafsir ini kerana ada sebahagian daripada kaset kuliah Tuan Guru yang hilang. Namun, saya sebutkan rakyat Malaysia sekurang-kurangnya mesti memiliki Tafsir Surah al-Fatihah, kerana tafsir inilah yang menjadi mata rantai ilmu dan buah fikiran Tuan Guru kepada kita semua.

Semoga tafsir ini menjadi batu loncatan dalam menyatukan ummah di Malaysia dan menjadi rujukan yang hebat di persada dunia.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 6/6/2022]

Sekian. 

(IH)

Sila lihat..
Kaitan Industri cendawan 


PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails