Wednesday, September 22, 2021

K'tan teroka pendigitalan sektor pertanian

 

'kini mampu menghasilkan Cendawan Tiram dalam sebuah kediaman pintar sepanjang tahun walaupun pada musim tengkujuh'

PASIR MAS: Kelantan dengan kerjasama syarikat Telekom Malaysia (TM) melaksanakan proses pendigitalan sektor pertanian, penternakan dan perikanan di negeri itu selaras perkembangan teknologi dalam revolusi industri 4.0.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata, usaha tersebut bakal memudahkan golongan berkenaan memantau perusahaan masing-masing.

Malah kata beliau, syarikat tersebut turut menawarkan geran dalam bentuk potongan bil utiliti sehingga 50 peratus bagi menggalakkan lagi penyertaan dalam kempen pendigitalan sektor pertanian.

“Kita kerjasama dengan TM bagi menggalakkan penyertaan petani dalam digital sektor pertanian untuk memudahkan pemantau, pengembangan projek serta pemasaran hasil pertanian mereka.

“Sekarang TM sedang membuat tawaran dalam bentuk geran untuk bantu masyarakat dalam kempen penggunaan digital sektor pertanian,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja terhadap projek Komuniti Tani dan Ternak Pasir Mas (Kitabina) di Kampung Beta, Pohon Buluh, semalam.

Tuan Saripudin ketika melawat projek Komuniti Tani dan Ternak Pasir Mas (Kitabina) di Kampung Beta, Pohon Buluh.

Kitabina merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang disertai 40 penduduk tempatan dari pelbagai latarbelakang pendidikan yang mengusahakan pelbagai tanaman secara Internet of Things (IoT).

Dengan penggunaan teknologi tersebut sejak awal tahun ini, kini Kitabina mampu menghasilkan Cendawan Tiram dalam sebuah kediaman pintar sepanjang tahun walaupun pada musim tengkujuh.

Selain Kitabina, Tuan Saripudin berkata lagi, kaedah tersebut turut dilaksanakan Komuniti Pertanian Bersepadu Seligi (PKPB Seligi) di Pasir Puteh.

Menurut beliau ada sebahagian petani dan penternakan yang menggunakan teknologi terbabit di bawah kelolaan jabatan kerajaan dan syarikat telekomunikasi. – HARAKAHDAILY 21/9/2021

Lihar sbelum ini..

Peluang jadi usahawan ternak siput..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails