Friday, June 17, 2022

Filem Prebet Sapu, Mat Kilau & LGBTQ

 


HALAMAN HIBURAN

1. Filem Prebet Sapu calon 10 Filem Terbaik MGGA 2022

KUALA LUMPUR: Malaysia Golden Global Awards (MGGA) 2022 yang bakal dianjurkan di Kuala Lumpur, bulan depan mengumumkan filem India, Two Friends arahan Prasun Chatterjee, tercalon dalam lima kategori termasuk Pelakon Lelaki Terbaik.

Apa yang menarik, dua teraju utama, iaitu pelakon kanak-kanak, Arif Shaikh, 10, yang menghidupkan watak Safikul dan gandingan berusia sembilan tahun, Asik Shaikh yang membawa watak Palash dalam filem mengangkat kisah persahabatan itu, bersaing merebut trofi berkenaan.

Pencalonan dua pelakon kanak-kanak itu mencipta rekod sebagai finalis paling muda bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik dalam sejarah penganjuran MGGA yang memasuki edisi kelima, tahun ini.

Selain itu, filem tempatan, Prebet Sapu atau Hail, Driver! arahan Muzzamer Rahman dicalonkan dalam 10 Filem Terbaik.

Filem dibintangi Amerul Affendi, Mei Fen Lim dan Bront Palarae bakal bersaing dengan filem Drowning In Holy Water dari (Iran), Full Time (Perancis), Memoryland' (Jerman dan Vietnam) dan No Ground Beneath The Feet (Bangladesh).

Turut tercalon, Rehana (Singapura dan Bangladesh), The Silent Forest (Taiwan), Two Friends (India), Whether The Weather Is Fine (Filipina dan Singapura) serta White Building (Perancis dan Kemboja).

Semua filem itu dipilih panel juri daripada lebih 100 penyertaan yang diterima penganjur.

MGGA 2022 dalam kenyataan menyebut, panel juri diketuai pelakon Indonesia disegani, Christine Hakim; pembikin filem tersohor Filipina, Lav Diaz; Presiden Udine Far East Film Festival, Sabrina Baracetti; pengarah filem Malaysia berpangkalan di Taiwan, Ho Wi Ding dan sutradara tempatan, Chong Keat Aun.  

Antara filem-filem yang membolosi pencalonan MGGA 2022 yang bakal dianjurkan di Kuala Lumpur, bulan depan.

Selain itu, MGGA yang akan dianjurkan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 16 Julai depan akan menyampaikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepada pembikin filem disegani, Kim Dong-Ho dan Hou Hsiao-Hsien atas komitmen dan dedikasi mereka memajukan industri filem rantau ini.

Sempena MGGA 2022, Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) juga dianjurkan, termasuk tayangan filem dari pelbagai negara di Dadi Cinema, Pavilion KL, selama lima hari mulai 10 Julai ini.

Pengerusi MIFFest dan MGGA 2022, Joanne Goh, berkata trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat sepatutnya diberi dua tahun lalu, namun pandemik COVID-19 menghalang penganjur melakukannya.

"Kedua-dua tokoh menghasilkan banyak karya terkenal kepada festival dan industri filem.

"Kim Dong-Ho adalah salah seorang pengasas Festival Filem Antarabangsa Busan dan Festival Filem Antarabangsa Gangneung. Beliau juga Presiden Kehormat MIFFest. Tanpa bimbingan beliau, saya mungkin tidak mempunyai semangat untuk menjalankan MIFFest dan MGGA hingga hari ini," katanya.

Sementara itu, MIFFest yang kali kelima dianjurkan bakal dibuka dengan tayangan filem terbitan Amerika Syarikat (AS), Edge of The World.

Filem itu memaparkan kisah Kapten James Brooke dengan penggambaran dikendalikan sepenuhnya di Sarawak dan mendapat sokongan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).

Pengarah filem itu, Michael Haussman dan barisan pelakon antaranya Josie Ho dan Bront akan bertemu penonton pada majlis perasmian MIFFest pada 10 Julai ini.

MGGA 2022 akan disiarkan secara langsung di Unifi TV, Viu TV HK (siaran tertangguh di Hong Kong) dan YouTube MIFFest. Maklumat lanjut mengenai MIFFest layari miffest.com.my. (BH)


2. British akui ketokohan pendekar Mat Kilau 

Pelakon utama filem Mat Kilau ketika tayangan filem perdana - Gambar Muhammad Zharif Zulkiflee

PETALING JAYA: Watak Mat Kilau diangkat ke layar perak kerana ketokohan beliau yang diiktiraf oleh kerajaan, selain fakta sejarah yang tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Penerbit filem sejarah yang bakal menemui penonton pada 23 Jun ini, Abdul Rahman Dali, berkata dokumen British sendiri mengesahkan impak penentangan Mat Kilau terhadap British.

Dalam keadaan sekarang, katanya kadang-kadang sejarah pendekar Melayu dinafikan, tetapi dokumen British banyak merekodkan bahawa Mat Kilau berjaya menggerakkan pergerakan besar-besaran yang menarik orang Melayu menentang penjajahan British.

“Mat Kilau menyebabkan kerosakan teruk sehingga British kata, kalau tak boleh selesaikan juga, mereka akan keluar dari Pahang.

“Saya rasakan ini satu projek permulaan Studio Kembara untuk menampilkan ketokohan Mat Kilau. Warisnya pun ada untuk mengesahkan sebahagian fakta yang kita kumpulkan,” katanya dalam sidang media selepas tayangan perdana Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan di pawagam GSC Starling Mall di sini, malam tadi.

Filem berdurasi 1 jam 57 minit arahan Syamsul Yusof menelan belanja RM8 juta menampilkan Dato’ Adi Putra memegang watak utama sebagai Mat Kilau.

Pelakon utama lain termasuk Fattah Amin sebagai Awang, Beto Kusyairy (Wahid), Johan As’ari (Yassin), Wan Hanafi Su (Tok Gajah), Dato’ Jalaluddin Hassan (Haji Muhammad) dan Dato Rahim Razali (Imam Bottoqh).

Abdul Rahman berkata, perkara paling penting ialah sifat Mat Kilau sebagai seorang yang baik, berpegang kuat kepada agama dan pejuang.

Katanya, Mat Kilau adalah watak seorang Islam sebenar, baik dan sanggup mempertahankan tanah air sebagai sebahagian daripada iman.

“Kita hendak tampilkan bahawa walaupun British adalah kuasa besar dunia ketika itu, Mat Kilau ada sifat kejantanan, berani dan yakin diri, boleh memberi impak besar kepada masyarakat untuk menentang British. 

Abdul Rahman Dali (dua dari kanan) ketika sidang media selepas tayangan filem perdana Mat Kilau

“Apabila berjaya mengalahkan British dalam pertempuran, dia telah menerobos psikologi orang Melayu bahawa pendekar Melayu mampu mencabar, malah boleh mengalahkan tentera terkuat di dunia ketika itu. Ini memberi suntikan keyakinan kepada bangsa Melayu bahawa kita boleh dan jangan biarkan kita dibuli oleh pendatang yang tidak diundang,” katanya.

Sementara itu, katanya hanya antara 60 hingga 70 peratus adegan filem mengikut fakta sejarah, tetapi perjalanan cerita filem itu adalah betul dan bakinya adalah hasil karya seperti adegan ketika bersilat.

Sebagai contoh, katanya watak Goh Hoi memang ada dalam sejarah dan naratifnya dalam filem, dia ditewaskan oleh gerakan Mat Kilau.

Abdul Rahman juga gembira kerana walaupun lewat menemui penonton akibat pandemik Covid-19 dan sebagainya, Syamsul sebagai pengarah dapat menghayati mesej yang hendak disampaikan.

Katanya, ini menjadikan bukan sahaja pengarahannya berkesan, malah pemilihan pelakon hebat yang sangat berkesan dalam lakonan.

Mengulas mengenai penggunaan keris Jawa, katanya keris adalah senjata simbolik untuk semua umat Melayu Nusantara, sama ada Jawa atau Acheh yang jika dikaji dari segi genetik sama saja.

“Tiada isu sebenarnya, sudah tentulah sedikit sebanyak terlepas pandang. Namun, banyak perkara besar yang kita angkat. Fakta paling penting ialah kita hendak hiburan yang boleh mengangkat aras permikiran masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/6/22

3. LPF digesa tegas tolak filem berunsur LGBTQ 


DEWAN Ulamak PAS Pusat menggesa Lembaga Penapis Filem (LPF) bertegas dan tidak berkompromi terhadap filem-filem tempatan mahupun antarabangsa yang berusaha menormalisasi unsur LGBTQ dalam karya masing-masing. Pendirian Malaysia untuk tidak menayangkan sebuah cerita animasi Disney, ‘Lightyear’ kerana mengandungi unsur negatif tersebut merupakan sesuatu tindakan yang tepat.

Kerajaan Malaysia khususnya LPF perlu lebih berhati-hati dengan gelombang kempen yang dibuat oleh pengusaha filem antarabangsa khususnya Walt Disney sendiri. Lambakan filem Disney mula memasukkan sedikit demi sedikit unsur LGBTQ sebagai sebahagian daripada kempen inklusiviti besar-besaran untuk menormalisasi budaya songsang tersebut ke dalam masyarakat global.

Disney sedang giat mempromosi kempen ‘Reimagine Tomorrow’ dengan komitmen memasukkan 50 peratus unsur yang berkait dengan kumpulan etnik minoriti dan komuniti LGBTQ sebagai karakter utama dalam filem yang diterbitkan di bawah Disney. Ia termasuklah karakter dalam beberapa filem kontroversi sebelum ini seperti filem ‘Doctor Strange in the Multiverse of Madness’.

Dewan Ulamak PAS Pusat tidak sesekali mahu berkompromi dengan sebarang unsur yang boleh merosakkan pemikiran masyarakat di negara ini. Pendirian Malaysia yang konsisten menolak unsur LGBTQ tidak perlu dipertikai, malah ia perlu diperkukuh sebagai identiti utama masyarakat di negara ini. Ia juga bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara. 

Oleh yang demikian, pihak LPF digesa tidak sesekali berkompromi dengan usaha menormalisasi budaya songsang tersebut ke dalam negara melalui industri seni.

YB SENATOR USTAZ DATO’ AHMAD YAHYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 16/6/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Malaysia juga perlukan 'hiburan patuh syariat'! Lihat contoh negeri Kelantan dan Terengganu.

Sila lihat..

Kaitan Industri cendawan 

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015


1 comment:

Anonymous said...

Rezza pencuri ke..!?

Apabila Riza Aziz dibebaskan tanpa dilepaskan (Discharge Not Amounting to Acquittal) ia menjadi penanda bahawa ada sesuatu yang tidak beres dengan tuduhan kes 1MDB. Najib menjawab dengan sangat berhati-hati kepada Tun M. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Parlimen) Dato' Takiyuddin turut meminta supaya Tun M jangan hikpokrit.

Apabila Riza dibebaskan, ianya bukti jelas bahawa perniagaan syarikat 1MDB wujud, keuntungan dan kerugian wujud, pembayaran dan perjanjian penyelesiaan hutang wujud, dan penglibatan pelabur-pelabur UAE juga wujud.

Ketua Pendakwa Raya, Gopal Sri Rampal masih lagi lantikan mantan Peguam Negara, Tommy Thomas. Keputusan membebaskan ini menunjukkan ada sesuatu yang tak beres perlu dijelaskan mantan Tommy Thomas

Ini menggambarkan ada sesuatu yg tidak kena dan menjurus kepada fitnah ke atas Najib sekeluarga.

1. Adalah pelik Dr Mahathir mendakwa persetujuan penyelesaian kes antara Pendakwaraya dengan Riza Aziz yang membabitkan denda RM465.3 juta sebagai membebaskan pencuri setelah yang membayar separuh daripada hasil yang dicuri.

2. Dr Mahathir memahami undang-undang namun beliau memilih untuk mengelirukan rakyat kerana politik kebencian.

3. Kerajaan Dr Mahathir tidak pernah mendakwa Riza Aziz sebagai pencuri. Lima pertuduhan yang dikemukakan adalah di bawah AMLA 2001.

4. Malahan mengikut laporan media, hukuman bagi pertuduhan tersebut ialah maksimum denda RM5 juta dan dan maksimum hukuman penjara juga 5 tahun.

5. Sebenarnya persetujuan ini satu kemenangan besar kepada pendakwaraya. Jika kes berlangsung sehingga habis belum tentu pendakwaraya akan menang. Ini kerana semua fakta kes membabitkan aset-aset di luar negara yang tidak melalui sistem perbankan negara.

6. Pendakwaan ini juga sebenarnya bersifat agenda politik kerana Riza telah pun berhadapan tindakan undang-undang di US atas kes yang sama. Ini adalah overzealous prosecution.

Adakah persetujuan ini bermakna Riza Aziz mencuri wang 1MDB?

7. Saya tidak fikir persetujuan ini memberi apa-apa implikasi pengakuan berlaku penyelewengan kepada wang 1MDB. Riza didakwa di bawah AMLA bukan penyelewengan wang 1MDB.

8. Sudah tentu persetujuan membayar denda sebesar itu akan memalitkan beliau dengan skandal 1MDB. Jika tidak bersalah mengapa bayar denda? Bukan sedikit pula, tapi beratus juta.

9. Saya fikir persetujuan ini adalah tindakan ‘membeli masa’ oleh Riza Aziz. Kes ini akan mengambil masa bertahun-tahun untuk selesai.

10. Sepanjang kes ini beliau tidak akan dapat ke luar negara dan ini pasti akan menjejaskan perniagaannya di luar negara.

11. Jika beliau perlu berkorban RM465.3 juta untuk menyelamatkan perniagaannya yang bernilai berbilion USD maka ia adalah satu pengorbanan kecil kepada ahli perniagaan.

12. Ia juga membeli masa untuk melihat keputusan kes membabitkan 1MDB. Jika perbicaraan kes 1mdb mendapati penyelewengan berlaku di peringkat IPIC dan Aabar Group, maka Riza juga boleh membuat rayuan baharu mendapat kembali wangnya.

Perbicaraan kes Riza tak pernah berjalan satu hari pun sejak Riza didakwa hampir setahun dahulu. Pada 31 Januari 2020 masa PH, ianya pihak pendakwa raya yang menangguhkan kes Riza kepada 25 Februari 2020. "Kami juga memohon untuk mendapatkan tarikh lain bagi menyemak dan mempertimbangkan representasi (tawaran perjanjian penyelesaian) berkenaan." kata Norzilawati,

Pada 25 Februari ini juga mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan bagi kes terbabit. "31 Jan 2020: Mahkamah tetapkan 25 Februari ketahui status representasi Riza Aziz" https://www.sinarharian.com.my/article/68202/BERITA/Mahkamah/Mahkamah-tetapkan-25-Februari-ketahui-status-representasi-Riza-Aziz

Kerajaan PH gagal memenjarakan Najib. Ada pihak begitu yakin Najib akan menghuni penjara Sungai Buloh, 'Sumpah Laknat' itu telah dijawab oleh Tuhan yang Maha Esa, Allah SWT pada hari ini. Lihatlah, satu demi satu negeri telah bertukar kerajaan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails