Wednesday, April 28, 2021

‘World OSH Day’: PAS berperanan

 

MAJLIS Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan atau juga dikenali ‘World OSH Day’disambut pada 28 April di seluruh dunia bermula pada 2003 oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Ianya menekankan pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan melalui kekuatan tripartite dan dialog sosial.

Sambutan ini juga telah disambut bagi memperingati mangsa kemalangan industri dan penyakit pekerjaan oleh Kesatuan-kesatuan Sekerja di seluruh dunia. Majlis Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan juga disambut setiap tahun di negara ini sebagai sokongan dalam mementingkan keselamatan, kesihatan dan kebajikan para pekerja.

Tahun ini dunia masih lagi berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang telah menyebabkan kerajaan, majikan, pekerja dan seluruh populasi penduduk secara amnya menghadapi cabaran yang belum pernah terjadi sebelum ini berkaitan dengan virus serta banyak kesannya terhadap dunia pekerjaan.

Oleh itu Hari Sedunia untuk Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja pada tahun 2021 akan menumpukan pada strategi untuk memperkuatkan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSHMS) bagi membangun daya tahan menghadapi krisis yang berlaku sekarang dan di masa hadapan, dengan memanfaatkan pengiktibaran dan pengalaman dari dunia pekerjaan. Menyedari situasi ini Parti Islam Se-Malaysia (PAS) juga cuba menyahut cabaran ini bagi mengurus sumber manusia di kalangan ahli dan entiti parti.

PAS merupakan sebuah parti yang sudah menjangkau sekitar sejuta keahliannya. Parti yang bukan sahaja bertunjangkan politik demokrasi semata-mata, tetapi juga bertunjangkan dakwah dan tarbiyyah. Oleh itu sudah pasti pelbagai aktiviti berbentuk dalaman mahupun luaran bersama masyarakat akan diadakan. Terutamanya entiti seperti Jabatan Amal, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI).

Bertitik tolak dari sini bagi mengurus sumber manusia untuk mengelak dari sebarang kecederaan dan kemalangan semasa melaksanakan aktiviti dan tugasan parti maka telah dimaklumkan bahawa Dewan Pemuda PAS Malaysia melalui Jabatan Profesional Muda (JPro) mengorak langkah di dalam mewujudkan satu dokumen yang bersifat dasar dan manual bagi sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Diharapkan dokumen ini dapat diturunkan ke seluruh peringkat agar ia menjadi asas kerja sebagaimana kehendak Islam menjaga hal dharuriyyat menjaga nyawa di mana peranan pengurusan sumber manusia untuk mengelakkan kecederaan atau kemalangan yang tidak diingini di tempat melaksanakan kerja parti. Insya-Allah dokumen ini akan dilancarkan tidak lama lagi. Ayuh! mari kita semua pakat bantu!

TS. SHAHRONIZAM NOORDIN
Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Sukarelawan Jabatan Profesional Muda (JPro) DPPM – HARAKAHDAILY 28/4/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails