Thursday, April 29, 2021

Berita Gembira PRU-15! Tiada pertembungan BN-PAS di DUN Pahang. Al-hamdulillah!

 

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar menandatangani perjanjian Muafakat Nasional (MN) , di sini, malam tadi. - Foto BERNAMA

KUANTAN: Tiada pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dengan PAS membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di Pahang berdasarkan semangat dan keikhlasan Muafakat Nasional (MN) di negeri ini.

Perkara itu dipersetujui Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang dan Pesuruhjaya PAS negeri Rosli Abdul Jabar menerusi satu kenyataan yang ditandatangani bersama hari ini.

Pimpinan MN negeri ini, menurut Wan Rosdy dan Rosli, melihat kerjasama politik itu perlu dipertahankan demi kestabilan dan kemakmuran negeri selain Pahang harus menjadi pengasas trend dan model perpaduan ummah yang padu dan jitu di Malaysia.

Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN negeri berkata, kedua-dua pihak juga bersetuju dengan formula mengekalkan kerusi DUN dimenangi pada PRU lalu, manakala perbincangan lanjut diperlukan bagi sembilan kerusi di bawah Pakatan Harapan (PH).

"UMNO Pahang berhasrat tidak akan meletakkan calon di lapan kerusi dimenangi PAS pada PRU ke-14 dan tidak akan menyokong serta bekerjasama dengan calon yang bertanding di kerusi tersebut kecuali calon PAS.

"Begitu sebaliknya, PAS dengan berpandukan persetujuan dan pendirian PAS Pusat, tidak akan meletakkan calon di 25 kerusi DUN dimenangi UMNO dan BN serta tidak akan menyokong dan bekerjasama dengan pihak lain yang bertanding di 25 kerusi itu," katanya.Wan Rosdy ditemui pemberita pada Majlis Iftar Bersama yang dihadiri semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada kedua-dua parti termasuk Rosli yang juga ADUN Tanjung Lumpur di kediaman rasmi Menteri Besar Pahang di sini, hari ini.

UMNO menang 24 kerusi daripada 42 kerusi DUN Pahang manakala satu lagi kerusi BN diperoleh menerusi MCA pada PRU ke-14.

Sementara itu, Rosli semasa ditemui berkata, PAS negeri akan memaklumkan kepada pimpinan PAS Pusat supaya mereka diberikan sedikit kebebasan dalam menentukan hala tuju pada pilihan raya akan datang.

Ditanya mengenai kerjasama PAS negeri dalam Perikatan Nasional Pahang bersama BERSATU dan Gerakan, Rosli hanya berkata: "perkara akan datang dibiarkan akan datang dan bukan untuk dijawab sekarang". – BERNAMA

Siap bertempur melalui peti undi!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails