Tuesday, April 27, 2021

Tolak DAP Kuasai Perak, Sokong PJ Perak. Ibnu Hasyim.

 

PAS tidak mahu DAP kembali berkuasa – PJ Perak

IPOH: PAS, Umno dan Bersatu di bawah Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang yang sangat cerah untuk terus kekal menerajui kerajaan selepas Pilihan raya Umum (PRU) ke-15, kata Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Hal demikian kerana gabungan ketiga-tiga parti itu amat penting bagi mengelakkan kerosakan berlaku ke atas negara seperti era pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat gagal memerintah dalam tempoh 22 bulan pasca PRU-14 lalu, jelasnya.

“Apa yang dipersembahkan PH amat mengecewakan, sebagai contoh apabila PH telah dapat memerintah, mereka terus menguar-uarkan negara telah bankrap, tiada duit dan sebagainya. Hal itu dimomokkan kepada semua rakyat.

“Selain daripada itu, banyak isu-isu sensitif dibangkitkan seperti agama, raja dan juga Melayu. Kita dapat lihat kredibiliti orang Melayu dimain-mainkan seolah-olah negara ini bukan berteraskan kepada orang Melayu. Mereka juga lupa negara kita ini nama asalnya dari Tanah Melayu,” terangnya. 

Tegas Razman, bagi menghadapi pilihan raya akan datang, pendirian utama PAS ialah tidak mahu membiarkan DAP kembali berkuasa ke atas negara.

Bagi merealisasikan hasrat itu, PAS komited mahu mempertahan MN dan PN termasuk bekerjasama dengan mana-mana parti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahupun tokoh-tokoh individu (NGI). 

“Kita (PAS) berpegang dengan pendirian tegas pucuk pimpinan pusat. Kita tidak mahu DAP kembali berkuasa. Itu sahaja,” tegas Razman. –HARAKAHDAILY 27/4/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails