Monday, April 26, 2021

Rahsia kerajaan PAS Kelantan bertahan 30 tahun

 

MEMPERTAHANKAN sebuah kerajaan bukan sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi kuasa negeri yang terbatas, ditambah pula musuh politik di sekeliling pinggang. Namun PAS di Kelantan berupaya mempertahankan legasinya sejak Oktober 1990 sehingga sekarang. 

Usaha awal dirintis almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan membudayakan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) sebagai roh pentadbiran kerajaan. Kini diperkasakan lagi dengan Merakyat MBI. Oleh itu bagi meninjau kembali kejayaan itu, ikuti penjelasan Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah ketika ditemui baru-baru ini.

Apa rahsia keupayaan kerajaan di bawah kepemimpinan ulama mentadbir Kelantan sehingga melebihi tiga dekad?

Mohd Amar: Kejayaan di Kelantan sebagaimana yang saya selalu sebut ialah kerana pertamanya kita berjaya membuat perubahan pemikiran (paradigma). Kalau dahulu orang tidak yakin Islam menjadi dasar pentadbiran dalam sebuah negara moden seperti Malaysia.
Tetapi bermula tahun 1990 kita telah berjaya membuktikan bahawa kita boleh mentadbir sebuah negara yang moden dalam kerangka Islam. Walaupun mungkin tidak sempurna, tetapi banyak perubahan dan pembaharuan yang berjaya dibuat.
Kita juga berjaya membuktikan ulama mampu menjadi pemimpin dalam sebuah negeri bermula dengan almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat selama 22 tahun. Kemudian disambung Menteri Besar sekarang Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.
Kedua-dua mereka merupakan ulama dengan latar belakang pendidikan agama. Alhamdulillah dalam tempoh 30 tahun ini Kelantan berjaya mengharungi pelbagai cabaran.

Bagaimana pula pencapaian material dalam tempoh tiga dekad ini?

Jika ingin dibandingkan dengan Kuala Lumpur atau Selangor memang tidak wajar dibanding memandangkan latar belakang antara negeri berkenaan tidak sama dengan Kelantan.
Tetapi jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain yang setara dengannya, Kelantan memang berjaya membuat perubahan dan kemajuan. Hari ini jika dilihat berbanding 30 tahun dahulu, Kelantan begitu jauh berbeza.
Saya ambil contoh yang paling mudah iaitu Gua Musang yang dikenali sebagai kawasan ‘hulu’. Kalau 30 tahun dahulu jika disebut Gua Musang orang akan bayangkan kawasan berkenaan hutan sahaja. Tetapi sekarang siapa sahaja yang singgah di jajahan itu, akan melihat perubahan yang ketara di Gua Musang.

Sejauh mana polisi MBI menyantuni masyarakat bukan Islam?

Jika diteliti sebelum tahun 1990 memang dasar Islam sudah dilaksanakan. Cuma ianya tidak secara terbuka atau ‘bersungguh-sungguh’. Usaha itu telah berlaku ketika PAS menang pada 1959 dan akhirnya kalah pada 1978.
Di zaman PAS mentadbir Kelantan sebelum itu asasnya adalah pentadbiran Islam. Cuma tidak dizahirkan dengan lebih terbuka.
Dalam konteks hubungan dengan masyarakat bukan Islam pula kita telah buktikan sikap adil yang ada dalam Islam sehingga orang bukan Islam khususnya masyarakat Cina boleh mengamalkan budaya mereka seperti biasa.
Contohnya di Pasar Pokok Pinang, masyarakat Cina menjual daging babi secara terbuka. Di sebelahnya pula orang Islam berniaga menjual sayur, ikan dan sebagainya.
Dan setelah PAS menang sekali lagi pada 1990 pasar berkenaan kekal sehingga hari ini, malah ditambah baik lagi prasarananya. Tiada perancangan kerajaan negeri untuk memindahkan mereka berniaga ke tempat lain.
Ia satu contoh besar sikap toleransi kerajaan Kelantan yang kita amalkan.
Malah ketika peristiwa 13 Mei 1969, Menteri Besar ketika itu Dato’ Mohd Asri Muda melarang anak-anak muda yang sedang bersiap sedia untuk ke Kuala Lumpur untuk menyertai rusuhan supaya tidak berbuat demikian.
Pada masa yang sama beliau turut mengingatkan jangan ada seorang masyarakat Cina pun diganggu di Kelantan.

Mungkin Dato’ boleh senaraikan kejayaan besar kerajaan Kelantan dalam tempoh 30 tahun?

Kita berjaya mencipta rekod tidak ada rasuah di mana tidak ada pegawai kerajaan, wakil-wakil rakyat terpalit atau didakwa di mahkamah kerana rasuah.
Integriti pimpinan dan pegawai kerajaan negeri yang begitu tinggi kerana dasar MBI yang diterapkan almarhum Tok Guru sejak awal pentadbirannya lagi. Almarhum menjadi contoh kepada orang lain.
Malah boleh dikatakan kalau ada mereka yang ingin melakukan perkara yang melanggar integriti pun terasa malu dengan sendiri.

Apa agenda kerajaan negeri bagi meneruskan pencapaian yang ada sekarang?

Agenda kerajaan negeri pada penggal ini untuk mempertingkatkan pembinaan rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah. Usaha itu masih bergerak mengikut perancangan awal.
Malah kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas untuk menjayakan hasrat berkenaan dengan dibantu kerajaan Persekutuan.
Kita juga berhasrat untuk membangunkan Kelantan dengan lebih rancak.
Dahulu kita berlawan dengan kerajaan pusat tetapi setahun ini kita bersama dengan Kerajaan Persekutuan dan diharap ia terus kekal selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 15.
Kerana itu penekanan pembangunan turut diutamakan termasuk cadangan pembinaan pelabuhan, lebuh raya yang lebih baik di samping pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra. Di samping itu menangani masalah bekalan air secara lebih menyeluruh.
Malah Kelantan satu-satunya negeri yang tidak mempunyai lebuh raya tidak seperti negeri-negeri lain. Setelah siap nanti, Kelantan pula akan menjadi sebuah negeri yang satu-satunya mempunyai lebuh raya tanpa ada tol.
Kita juga sedang merancang untuk membangunkan beberapa bandar dan kawasan baharu, contohnya di Kota Bharu iaitu di Nilam Puri (belakang pejabat Yayasan Islam Kelantan) akan dibangun Bandar Nilam Perdana di kawasan seluas hampir 1,000 ekar.
Selain itu pembangunan baharu akan dibuat di Kampung Tiong berkonsepkan Islam iaitu Madinah Assalam sebagai bandar sejahtera. Kedua-dua projek itu telah diluluskan kerajaan negeri.
Di Rantau Panjang pula akan dibangunkan Bandar Baru Bukit Kwong. Di situ akan disediakan beberapa prasarana.
Begitu juga di Gua Musang baru juga diluluskan dengan keluasan 1,000 ekar di atas tanah milik kerajaan negeri di kawasan Ladang Sungai Terah dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). Bandar itu akan dikenali Bandar Datuk Bentara Kanan di mana projeknya dijangka bermula tahun ini.

Kelantan terkenal negeri berkebajikan bagaimana pelaksanaannya sekarang?

Ketika PAS mentadbir negeri ini banyak perkara yang dibuat kerajaan negeri. Malah ada di antaranya ditiru kerajaan Persektuan. Antara yang kita laksanakan sumbangan beras skim al-It’am sebanyak 10 kg setiap bulan kepada penduduk miskin.
Syukur alhamdulillah walaupun kita kekurangan sumber kewangan, namun program kebajikan untuk membantu rakyat tetap dilaksanakan sehingga sekarang.
Semoga kebersamaan antara kerajaan negeri dan Persekutuan sekarang akan dapat membantu rakyat dengan lebih bersepadu.
Sekarang pun banyak bantuan daripada kerajaan pusat sebagai contohnya dari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bagi membantu penduduk miskin. – HARAKAHDAILY 26/4/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails