Monday, April 26, 2021

Dakwa galakan rogol: Sampai mesej benar kepada pelajar

 

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara, Ustazah Asmak Husin berharap kementerian berkenaan menambil perhatian serius berhubung dakwaan galakan perbuatan rogol.

Beliau berkata, sebelum ini tular mengenai isu memeriksa pelajar perempuan yang datang haid dan guru lelaki mengganggu pelajar perempuan walaupun tidak ada aduan khas dibuat.

“Dan hari ini isu galakkan merogol pula. Saya harap pihak kementerian meneliti isu ini dan ambil serius. Kita mahu pelajar dapat mesej yang benar dari subjek ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Beliau menyatakan demikian susulan laporan Sinar Harian Online mengenai seorang guru pendidikan jasmani di sebuah sekolah di Selangor didakwa bergurau keterlaluan kerana seperti menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol.

Seorang pelajar mendakwa, kejadian itu berlaku pada Jumaat ketika sedang mengikuti mata pelajaran tersebut dengan seorang guru lelaki.

Katanya, pada mulanya ia berjalan lancar dan mereka berbincang mengenai kesedaran gangguan seksual serta cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan tersebut.

Menurut Asmak, subjek itu sememangnya sensitif dan ramai juga tidak peka serta menganggap mudah.

Tambahnya, pengalaman sebagai sebagai ustazah yang merujuk kes guru jasmani, ketika mengajar subjek seperti itu diasingkan antara pelajar lelaki dan perempuan kerana ada isu dan pendekatan yang berbeza.

“Dalam kelas kita ajar biasa, tetapi untuk details dan untuk pelajar betul-betul faham, ada sesi khas asing.

“Cikgu juga nak susun atur kata bukan mudah. Apatah lagi kalau yang jenis kurang sensitif dengan gender dan isu semasa. Pelajar pun mudah tersinggung tak kena gaya jadi salah faham. Lagi menggusarkan kalau pelajar faham sekerat sekerat,” ujarnya.

Menurutnya lagi, beliau dahulu bawa ke sekolah isu itu di bawah tajuk fiqh akil baligh yang bermula isu haid dan sekitarnya, cabaran remaja, pergaulan bebas, say no to sexprevent jenayah rogol dan lain-lain.

Tambahnya, kalau sekarang isu sedemikian semakin berkembang seperti tarikan seks sejenis, LGBT, pedofilia, zina secara maya dan sexual grooming.

Katanya, isu-isu itu sepatutnya dibincangkan dengan pelajar supaya ada kesedaran dari awal tetapi kaedah dan pendekatan sangat perlu diteliti.

“Mungkin asatizah, guru sains dan guru jasmani ada pandangan tentang isu ini. Boleh komen dan kita berkongsi pandangan sebab guru-guru lebih memahami isu sebenar.

“Saya juga akan angkat isu ini ke atas,” ujarnya.

Sebelum ini pun, katanya sudah banyak kali beliau bersuara berhubung isu tersebut.

“Sefaham saya, setakat ini kita ada modul yang baik dan Islamik dari empat kementerian, kementerian wanita, hal ehwal agama, kesihatan dan pendidikan tetapi tidak berlaku lagi penyelarasan.

“Ini menunjukkan kerajaan sangat peka dengan isu ini tetapi perlu ditambah baik agar mesej sebenar sampai kepada pelajar dan remaja,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 25/4/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails