Wednesday, April 28, 2021

UPSR mansuh, PT3 dibatalkan -Menteri Kanan Pendidikan.

 

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin. - Foto ihsan KPM

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun ini manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan untuk tahun ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata keputusan memansuhkan UPSR dibuat hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak peperiksaan itu dibatalkan tahun lalu akibat COVID-19.

"Sejak pembatalan UPSR tahun lalu, kementerian membuat penelitian mengenai kaedah pentaksiran, kita juga melihat apa kaedah terbaik dilaksanakan di negara lain, di peringkat sekolah rendah. Kemudian kita meneruskan dengan libat urus bersama guru besar, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta persatuan berkaitan.

"Hasilnya, kita mengambil keputusan bahawa UPSR dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun ini," katanya pada sidang media khas hari ini.

Radzi berkata, susulan pemansuhan UPSR, pihaknya akan memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah selain Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi murid yang berhasrat memasuki sekolah berasrama penuh dan sebagainya.

Ditanya apakah input yang diperoleh menerusi libat urus sehingga kementerian membuat keputusan memansuhkan UPSR, Radzi berkata, antara maklum balas yang diterima adalah guru terpaksa memberi tumpuan yang lebih kepada subjek UPSR sehingga mengekang kreativiti guru dalam pengajaran.

"Ada guru menceritakan bagaimana mereka terpaksa mencuri masa mata pelajaran lain untuk buat persediaan subjek UPSR dan ini mengehadkan kreativiti guru di sekolah.

"Antara yang dikongsi ibu bapa pula bagaimana tumpuan pada peperiksaan ini memberi ruang terhad dalam aspek lain pendidikan. Ada ibu bapa cerita mereka turut tertekan untuk sediakan anak-anak mereka bagi menduduki UPSR.

"Bukan sahaja ibu bapa, murid juga tertekan untuk membuat persediaan, untuk mendapatkan skor 6A dan sebagainya," katanya.

Malah katanya, jika dilihat pada pentaksiran PKSK yang dilaksanakan tahun lalu, hanya peratusan kecil yang mendudukinya untuk masuk ke Tingkatan 1 sekolah khusus.

"Saya sendiri ada bertemu murid bertanyakan mengenai UPSR. Secara umum murid hanya melihat UPSR sebagai komponen untuk ke asrama penuh," katanya.

Mengenai pembatalan PT3, beliau berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira tempoh masa yang ada bagi pelajar untuk membuat persediaan khususnya secara bersemuka bersama guru di sekolah.

"Selain itu, antara asas utama kita pertimbangkan dalam membuat keputusan disebabkan keadaan penularan COVID-19 masih belum dapat dipulihkan sepenuhnya. Jadi, bagi pelajar Tingkatan 3 tahun ini, pentaksiran akan dibuat sama seperti tahun lalu iaitu melalui PKSK dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)," katanya.(BH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails