Monday, April 26, 2021

Pelampau politik, jerung di balik batu. Siapa? -Presidebn PAS

 

Pelampau politik anti darurat Covid-19: Laksana jerung di sebalik batu

BANYAK diuar-uarkan berita tentang adanya golongan pelampau agama. Akan tetapi, ramai yang terlepas pandang pada hari ini muncul pula golongan pelampau politik, sehingga melupakan nyawa manusia demi mencapai agenda politik mereka.

Kerakusan mereka lebih teruk daripada golongan pelampau agama yang meletupkan bom dan membunuh dengan jumlah yang jauh lebih kecil dibandingkan dengan mangsa wabak Covid-19 yang tersebar di seluruh pelosok dunia terkini.

Termasuk di negara maju, kini ada yang telah mencecah jutaan mangsa, bukan sekadar ratusan ribu mangsa dan ada yang telah mencapai jumlah kematian yang besar akibat wabak tersebut.

Berita mengenai jumlah mangsa dan angka korbannya semakin meningkat, sudah tidak perlu disebutkan lagi nama-nama negara yang terlibat kerana ia sudah disiarkan oleh media yang paling canggih. Sehingga situasi tersebut sudah menjadi pengetahuan umum, bahkan sudah ada negara yang tidak mencukupi pusat rawatan, kakitangan dan peralatan.

Di Malaysia pula, kini muncul kumpulan yang menentang perintah darurat kesan penularan pandemik tersebut. Seolah-olaah mereka tidak berada di planet bumi yang dilanda wabak itu. Alasannya hanyalah lebih bersifat politik untuk mengintai agar mendapat kuasa yang terlepas, laksana ayam terlepas tangannya berbau.

Namun, mereka langsung tidak peduli terhadap kemungkinan bahaya yang mendatang, dengan mengambil langkah politik sepanjang masa, tanpa mempedulikan terhadap bahaya wabak yang memakan korban di seluruh dunia. Puncanya ialah kerana bersikap melampaui batas dalam berpolitik sehingga menenggelamkan ekonomi dan keselamatan yang sekadar menjadi tempat berlindung segala kerakusan dalam politiking.

Walaupun faktor ekonomi dan keselamatan juga yang dijadikan alasan, tetapi perkara tersebut hanyalah sekadar batu pelindung nafsu politik mereka yang sudah melampau. Namun, masih tidak boleh meninggalkan perangai politik gila yang melampau kerana telah kehilangan kuasa dalam khayalan berebut kuasa antara satu sama lain dalam kumpulannya.

Sehingga merancang langkah politik laksana jerung lapar yang bersembunyi di sebalik batu kerana sukar untuk mendapatkan semula kuasa dengan segala cara yang benar dan bohong. Namun, jerung yang besar dan ganas itu tidak mudah untuk berlindung seperti udang di sebalik batu.

Allah SWT membawakan satu cerita benar dalam al-Quran berkenaan penduduk negeri yang dimurkai-Nya, kerana tidak mematuhi arahan kuarantin disebabkan berlakunya wabak. Firman Allah SWT:

﴿أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ خَرَجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ وَهُمْ أُلُوفٌ حَذَرَ الْمَوْتِ فَقَالَ لَهُمُ اللَّهُ مُوتُوا ثُمَّ أَحْيَاهُمْ  إِنَّ اللَّهَ لَذُو فَضْلٍ عَلَى النَّاسِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَشْكُرُونَ٢٤٣﴾

“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang keluar dari kampung halaman mereka, sedangkan mereka beribu-ribu (jumlahnya) ramai kerana takutkan mati (melanggar perintah pergerakan); maka Allah berfirman kepada mereka (kerana murka terhadap mereka): ‘Matilah kalian’, kemudian Allah menghidupkan mereka (menjadi dalil Allah berkuasa menghidukan semula). Sesungguhnya Allah mempunyai kurniaan terhadap manusia tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.” (Surah al-Baqarah: 243)

Berlaku peristiwa mukjizat kepada umat pada zaman dahulu supaya ia diambil iktibar oleh manusia pada akhir zaman melalui al-Quran, mukjizat Rasul akhir zaman.

Adapun umat akhir zaman, khususnya umat Islam ditarbiyah oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang terkenal:

‌لَا ‌ضَرَرَ ‌وَلَا ‌ضِرَارَ.

“Tidak boleh melakukan perkara memudaratkan diri dan menyebabkan mudarat kepada orang lain.” (Riwayat Ibn Majah 2341, al-Tabrani dalam Mu‘jam  al-Kabir 11806 dan lain-lain)

Hadis di atas menunjukkan perintah larangan secara nas yang menjadi kaedah umum dalam semua perkara.

Adapun secara khusus bagi menghadapi wabak dan bencana, Rasulullah SAW bersabda:

‌إِذَا ‌سَمِعْتُمْ ‌بِهِ ‌بِأَرْضٍ، فَلَا تَقْدَمُوا عَلَيْهِ، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا، فَلَا تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ.

“Apabila kalian mendengar berita berlakunya (wabak), maka janganlah kalian masuk ke dalam kawasan tersebut; dan jika kalian berada di kawasan berlakunya wabak, maka jangan kalian keluar daripada kawasannya.” (Riwayat al-Bukhari 5729 dan Muslim 2219)  

Maka, Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA melaksanakan perintah ini ketika berlakunya wabak ta’un amwas di negeri Syam, suatu kisah yang masyhur. Hal tersebut menunjukkan bahawa Islam mendahului negara Barat dalam menangani wabak. Malangnya umat Islam tidak tahu akan sejarah mereka sendiri.

Perkara yang sama pernah berlaku pada zaman selepasnya, sehingga melibatkan kawasan Masjid Makkah, Madinah dan lain-lain disebabkan wabak atau bencana yang lain. Sehingga masjid yang besar dan mulia itu dilarang daripada diteruskan kegiatannya.

Kita tidak seharusnya menyontohi negara Barat yang berlagak atas nama kebebasan dan hak asasi manusia, sehingga tidak berdisiplin dalam menangani bahaya wabak yang lebih dahsyat daripada peperangan, kononnya atas nama kebebasan.

Jika kenderaan melanggar lampu isyarat atau terjunam ke dalam gaung atau parit, sama ada kerana terbabas keretanya atau terbabas akal pemandunya, maka pengertian sedemikian tidak boleh diertikan dalam konsep kebebasan. Kedua-dua keadaan tidak boleh diizinkan, walaupun ada yang boleh dimaafkan dan ada yang tidak boleh dimaafkan, demi menjaga kebaikan yang lebih diutamakan daripada mengundang kemudaratan.

Rasulullah SAW pernah bersabda:

‌مَثَلُ ‌القَائِمِ ‌فِي ‌حُدُودِ ‌اللهِ وَالوَاقعِ فِيهَا، كَمَثَلِ قَومٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ فَصَارَ بَعْضُهُمْ أعْلاهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا، وَكَانَ الَّذِينَ في أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوا مِنَ المَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقهُمْ، فَقَالُوا: لَوْ أنَّا خَرَقْنَا في نَصِيبِنَا خَرْقًا وَلَمْ نُؤذِ مَنْ فَوقَنَا، فَإِنْ تَرَكُوهُمْ وَمَا أرَادُوا هَلَكُوا جَميعًا، وَإنْ أخَذُوا عَلَى أَيدِيهِمْ نَجَوا وَنَجَوْا جَميعًا.

“Bandingan mereka yang bertanggungjawab melaksanakan sempadan Allah (penguatkuasaan hukum) dan mereka yang diambil tindakan sepertimana mereka yang diatur dalam sebuah bahtera (kapal). Ada yang diletakkan di bahagian atas dan ada yang diletakkan di bahagian bawah. Tiba-tiba, mereka yang berada di bawah itu ada kalangan yang mahukan air dengan segera, terpaksa melalui mereka yang berada di atas. Lalu mereka berkata: “Tebukkan sahaja kapal ini tanpa peduli terhadap mereka yang berada di atas kerana tidak mahu mengacau mereka.” Sekiranya dibiarkan mereka itu bertindak, nescaya semuanya akan binasa (tenggelam kapal). Jika dihalangnya, nescaya semuanya akan selamat.” (Riwayat al-Bukhari 2493)

Jika yang menebuk kapal itu ialah manusia, maka ia wajib dicegah. Sebaliknya jika yang menebuk kapal itu ialah spesies jerung, maka ia perlu dihapuskan sahaja demi menyelamatkan semua.

Lihat sahaja kelibatnya, sepatutnya sudah dapat dikenali apakah jenis ikannya, sama ada udang di sebalik batu atau ternyata laksana jerung yang sedang menunggu. Inilah lagak pelampau politik yang tergila-gilakan untuk berkuasa, yang akhirnya pada kemudian hari mereka akan menyesal disebabkan menyalahgunakan kuasa.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 14 Ramadhan 1442 / 26 April 2021 – HARAKAHDAILY 26/4/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails