Saturday, October 03, 2020

Tiada asas wakil PAS dalam DUN Sabah - PBS

 

 Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyifatkan tiada asas untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempertimbangkan pelantikan wakil PAS dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Kabinet Sabah.

Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata ini kerana PAS tidak bertanding dan tidak memenangi sebarang kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Beliau berkata, pandangan parti itu sudah disuarakan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, baru-baru ini.

Tegasnya, kerajaan perlu mengambil berat kebimbangan masyarakat Sabah, sekali gus mempertimbangkan implikasi dari segi perundangan serta politik akibat cadangan itu.

"Walaupun PBS adalah rakan kongsi dalam GRS, kami tidak terbabit dalam apa-apa perbincangan berkenaan peranan PAS dalam kerjasama politik, sama ada dalam kerajaan atau sebaliknya.

"Perbincangan itu adalah di luar kawalan PBS, dan diadakan di antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Barisan Nasional (BN).

"Walaupun bagaimanapun, PBS juga mengikuti perkembangan mengenai kemungkinan PAS akan menyertai pentadbiran politik negeri," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu menyifatkan pandangan mengenai perkara berkenaan sebagai sebuah spekulasi berikutan belum ada sebarang pengesahan mengenai keputusan kedudukan PAS dalam pentadbiran Sabah dari Ketua Menteri atau GRS.

"Sebagai negara demokrasi, sesiapa sahaja boleh membentuk parti politik dan mendaftar dengan ROS (Pendaftar Pertubuhan).

"Mana-mana parti yang berdaftar, atau rakyat Malaysia yang berkelayakan, boleh bertanding dalam pilihan raya, sama ada pilihan raya persekutuan atau negeri.

"Di bawah undang-undang Malaysia, tidak ada seorang pun, sama ada individu atau persatuan, yang dapat menghalang mana-mana parti politik atau individu daripada bertanding dalam pilihan raya selagi mereka layak untuk melakukannya," katanya.

Maximus berkata tiada yang dapat menghalang penyertaan mana-mana parti jika mereka adalah rakan sekutu, komponen dalam kerjasama atau gabungan politik yang diwujudkan untuk tujuan memenangi pilihan raya sehingga membentuk kerajaan.

"Namun memandangkan PAS tidak bertanding dan tidak memenangi apa-apa kerusi DUN dalam PRN, kami berpendapat tiada asas bagi GRS untuk mempertimbangkan perlantikan ADUN dari parti berkenaan.

"Saya yakin Ketua Menteri akan mempertimbangkan semua perkara ini, termasuk mengambil kira kebimbangan dan perkara sensitif dari pelbagai sudut agama di Sabah.

"Bagi PBS, pandangan kami adalah mudah iaitu patuhi undang-undang selain mengamalkan prinsip menghormati kepercayaan masing-masing, menggalakkan keamanan dan perpaduan di antara rakyat pelbagai kaum walaupun mempunyai perbezaan kepercayaan agama, budaya, serta fahaman politik" katanya. (BH)

Hibur Hibur Sikit

2 comments:

Pocik said...

Pas mmg dah tunduk pada kristian

Unknown said...

Boleh jawab ke kat ahli pas nnt di masyar tuduhan hang ni... Ke sedia dah banyak pahala untuk tebus?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails