Thursday, October 01, 2020

AS Tahan Produk Sawit Di Semua Pintu Masuk Negaranya Semalam.


AS akan tahan produk sawit FGV susulan dakwaan buruh paksa

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) akan menahan minyak sawit dan produk komoditi itu yang dihasilkan FGV Holdings Berhad, anak syarikatnya dan sebarang usaha sama dengan syarikat itu di semua pintu masuk negara itu, berkuat kuasa 30 September.

Dalam satu kenyataan hari ini, CBP mengarahkan penerbitan Perintah Pelepasan Tahan (WRO) terhadap produk sawit dan minyak sawit yang dihasilkan FGV berdasarkan maklumat secara munasabah yang menunjukkan berlaku penggunaan buruh paksa.

Menurut jabatan itu, perintah itu susulan penyiasatan yang dijalankan selama setahun apabila membawa pendedahan penggunaan buruh paksa termasuk penipuan; sekatan pergerakan; pengasingan; keganasan fizikal dan seksual; intimidasi dan ancaman; penyimpanan dokumen pengenalan diri; penahanan gaji; perhambaan hutang; keadaan hidup serta kerja berlebihan.

Berdasarkan siasatan yang dijalankan, CBP mendapati buruh paksa kanak-kanak digunakan dalam proses pengeluaran minyak sawit FGV.

Penolong Pesuruhjaya Eksekutif Pejabat Perdagangan CBP, Brenda Smith, berkata minyak sawit adalah ramuan yang biasa digunakan oleh pengguna AS setiap hari selain ianya boleh didapati di kedai runcit serta kedai serbaneka termasuk digunakan secara meluas dalam makanan yang diproses, kosmetik, farmaseutikal, sabun dan biodiesel.

"Penggunaan buruh paksa dalam penghasilan yang boleh dijumpai dalam mana-mana produk membolehkan syarikat mendapat keuntungan menerusi penyalahgunaan pekerja daripada golongan yang lemah.

"Syarikat-syarikat ini mewujudkan persaingan tidak adil untuk mendapatkan barang yang sah dan mendedahkan masyarakat kepada produk yang gagal memenuhi piawaian etika," katanya.

Mengikut undang-undang persekutuan 19 USC 1307, ia melarang pengimportan barang dagangan yang dilombong, dibuat atau dihasilkan, sepenuhnya atau sebahagian oleh buruh paksa termasuk buruh paksa kanak-kanak dan buruh terikat.

WRO ini akan mengkehendaki penahanan minyak sawit yang dihasilkan FGV dan sebarang produk atau derivatif minyak sawit yang dapat dikesan dari minyak sawit yang dihasilkan FGV di semua pintu masuk pelabuhan AS.

CBP memberi peluang kepada pengimport yang barangnya ditahan untuk mengeksport penghantaran atau mengemukakan bukti bahawa barang dagangan berkenaan tidak dihasilkan oleh buruh paksa.

Menurut CBP, semua WRO tersedia untuk umum dan disenaraikan mengikut negara di halaman Perintah dan Penemuan Pelepasan Tahan Tenaga Kerja Paksa jabatan itu.

Dalam kenyataan itu, CBP berkata pihaknya menerima aduan berkaitan buruh paksa daripada pelbagai sumber termasuk masyarakat umum.

Smith menegaskan CBP akan terus mengingatkan rakyat AS supaya memanfaatkan kekuatan ekonomi negara itu untuk memberitahu syarikat terbabit bahawa tiada tolak ansur dalam sebarang perkara berkaitan buruh paksa dalam rantaian bekalan negara itu.

"Kami mendesak pengguna untuk meneliti produk dan perusahaan perdagangan yang adil serta berbelanja secara terus dengan peruncit berwibawa," katanya. (BH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails