Tuesday, September 29, 2020

Tulisan Jawi: Tahniah Negeri Pahang&PAS Sedia Tembur DAP.

 

1. Jawi: Keputusan Mahkamah kemenangan umat Islam

MARAN: Keputusan Mahkamah menolak tuntutan supaya dibatalkan arahan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda premis perniagaan di Kuantan menggembirakan rakyat khususnya umat Islam.

Mewakili PAS Negeri Pahang, Pesuruhjayanya Ustaz Rosli Abdul Jabbar mengucap tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang di atas kemenangan ini.

Menurut Ustaz Rosli, peniaga-peniaga seharusnya akur dengan arahan ini kerana ia merupakan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.

Semalam, Mahkamah menolak semakan kehakiman di bawah Aturan 53, Kaedah-kaedah Mahkmah 2012 untuk membatalkan arahan dikeluarkan Kerajaan Negeri Pahang berkaitan syarat penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda premis perniagaan di daerah Kuantan.

Keputusan mahkmah itu dibuat berikutan tuntutan mahkamah oleh tiga peniaga ingkar arahan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dalam isu berkenaan.

Menurut Ustaz Rosli, PAS Pahang sentiasa menyokong penguatkuasaan tulisan Jawi pada papan tanda premis seluruh negeri ini.

Katanya, kajian oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendapati di penghujung abad ini akan ada 6,000 bahasa dan tulisan dijangka pupus.

“Syukur dengan kebenaran mahkamah kepada MPK boleh meletakkan syarat berkaitan tulisan Jawi. Mudah-mudahan tulisan ini akan terselamat dari kepupusan.

“Moga generasi akan datang dapat mengenali dan terus memartabatkan tulisan Jawi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya DUN Chenor. – HARAKAHDAILY 26/9/2020

2. Jentera PAS Raub sedia tempur kerusi DAP

RAUB: Jentera Pilihan Raya PAS Parlimen Raub telah dilancarkan dalam semangat membara anggotanya untuk menjayakan misi mengambil alih kerusi yang kini sedang disandang oleh wakil DAP itu.

Rangsangan ini juga lantaran anggota jentera merasa terhina dengan tindakan ADUN DAP Tras yang telah bertindak secara keterlaluan dan melampau apabila mencabar pelaksanaan tulisan Jawi untuk papan iklan di negeri ini ke mahkamah.

Suntikan untuk merealisasikan hasrat itu telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar pada himpunan di Medan Tarbiyah PAS Kawasan Raub (MANTIK), di sini semalam.

Beliau dalam ucapannya mengingatkan bahawa PRU15 akan berlaku bila-bila masa, sekali gus menuntut anggota jentera untuk sentiasa berada dalam bersiapsiaga.

Ustaz Rosli juga memahamkan semua yang hadir mengenai hubungan PAS dalam Muafakat Nasional di mana seluruh keputusan mesti diserahkan penghujungnya kepada kebijaksanaan pimpinan berautoriti.

Pelancaran bagi medan tempur P.080 ini dijayakan seusai Ijtimak Tarbawi PAS Kawasan Raub yang turut diserikan dengan persembahan silat dan penyertaan Alternative Riding Club (ARC) dan Jabatan Amal Malaysia (AMAL).

Sempena majlis ini juga diadakan solat hajat untuk keafiatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – HARAKAHDAILY 25/9/2020


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails