Thursday, October 01, 2020

K'jaan PH S'gor diminta pertahan status hutan simpan kekal -Tuan Ibrahim.

 

Tuan Ibrahim Tuan Man berucap pada majlis perasmian Hari Inovasi 2020, Jabatan Pengairan dan Saliran, di Dewan Jubli Perak, Sultan Ahmad Shah. NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG

KUANTAN: Kerajaan Selangor diminta terus mengekalkan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara bagi memastikan kelestarian alam di negeri itu terus terpelihara.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, status hutan simpan itu perlu dipertahan kerana ia bukan sekadar berperanan dalam pemuliharaan flora dan fauna tetapi yang lebih penting, bertindak sebagai kawasan tadahan air.

"Kawasan yang sudah diwartakan sebolehnya jangan dikeluarkan walaupun mungkin kerajaan negeri melihat ada keperluan ekonomi. Kita tidak boleh mengelak daripada pembangunan namun implikasi masa depan harus menjadi keutamaan.

"Apa yang sudah diwartakan sebaiknya kita pertahankan malah kita sangat hargai jika ada negeri lain dapat mewartakan hutan simpan yang secara tidak langsung menambah kawasan tadahan air dan memelihara alam sekitar," katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Jabatan Pengairan dan Saliran 2020 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini yang turut dihadiri Ketua Pengarahnya, Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali dan Pengarah Negeri Ir Mohd Noor Bidin.

Beliau mengulas tindakan Kerajaan Selangor melakukan sesi pendengaran awam bagi cadangan pemansuhan kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara, Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat membabitkan keluasan 1,971 hektar pada Selasa lalu, yang mendapat bantahan banyak pihak.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim mengakui optimis bahawa kerja-kerja pemuliharaan sungai bagi mengurangkan risiko banjir di seluruh negara menggunakan peruntukan tambahan sebanyak RM66 juta dapat disiapkan sebelum musim tengkujuh pada hujung tahun ini dengan jangkaan siap sebuah projek ialah selama sebulan.

Beliau berkata kerja-kerja itu, yang bermula di Kelantan pada Ahad lalu, mendapat sambutan positif kerana kontraktor melihatnya sebagai platform untuk kembali aktif selepas terjejas teruk akibat kekurangan peluang kerja susulan penularan pandemik COVID-19.

Sementara itu, Nor Hisham berkata terdapat beberapa projek rancangan tebatan banjir (RTB) yang ketinggalan daripada jadual asal akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan setiap kontraktor diberikan lanjutan masa selama tiga bulan.

"Walaupun kerja-kerja kini sudah boleh dilaksanakan namun kita berharap penularan pandemik COVID-19 sekarang tidak menjadi lebih teruk supaya pelaksanaan RTB tidak lagi terjejas selepas terpaksa dihentikan sebelum ini.

"Di Pahang, RTB Cameron Highlands dapat kita selesaikan pada September lalu manakala dua lagi projek iaitu RTB Sungai Belat di Kuantan dan RTB Bandar Pekan dijadual dapat disiapkan pada tahun depan," katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails