Wednesday, January 02, 2019

Tahun Baru, 11 Pasangan Memadu Kasih Ditahan.


22 individu ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) 

SERAMAI 22 individu ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sempena Ops Ambang 2019, awal pagi semalam, selepas disyaki berkhalwat atau berdua-duaan bersama pasangan bukan mahram.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAINJ, Halid Sono, berkata mereka ditahan dalam serbuan berasingan di beberapa hotel dan rumah tumpangan sekitar Johor Bahru dan daerah lain.
Beliau berkata, operasi pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah bermula 12.30 malam hingga 4.30 pagi itu bersempena sambutan Tahun Baharu 2019.
Katanya, operasi itu membabitkan 25 pegawai dan anggota penguat kuasa agama (PPA) Negeri Johor.
“Menerusi beberapa serbuan dilakukan itu, kami menahan seramai 22 individu berusia 22 hingga 45 tahun kerana disyaki melakukan khalwat dan mendatangkan syak bersama pasangan bukan mahram.
“Kami masih lagi menjalankan siasatan terhadap semua individu terbabit,” katanya kepada NSTP, malam tadi.
Halid berkata, penahanan semua individu itu dilakukan mengikut Seksyen 27 (a) dan (b) Enakmen-Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau penjara selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya.
Beliau turut menasihatkan masyarakat Islam terutama ibu bapa supaya lebih prihatin dalam mengawasi anak mereka dan menjauhi perbuatan tidak bermoral serta menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. (MyMetro)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails