Sunday, November 29, 2015

Tukar KM PP -Debat Mesyuarat DAP

Jawatan ketua menteri Pulau Pinang patut diberikan kepada pengerusi DAP negeri, Chow Koon Yeow (kanan) yang mempunyai sokongan akar umbi, kata Shamsher Singh Thind, perwakilan dari cawangan Taman Chai Leng. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 29 November, 2015.
Jawatan ketua menteri Pulau Pinang patut diberikan kepada pengerusi DAP negeri, Chow Koon Yeow (kanan) yang mempunyai sokongan akar umbi, kata Shamsher Singh Thind, perwakilan dari cawangan Taman Chai Leng.
Seorang perwakilan di konvensyen DAP Pulau Pinang hari ini berkata jawatan ketua menteri perlu dipikul pengerusi negeri jika jawatan itu dikhaskan untuk parti.
Shamsher Singh Thind dari cawangan Taman Chai Leng berkata, jawatan ketua menteri Pulau Pinang patut diberikan kepada pengerusi DAP negeri yang mempunyai sokongan akar umbi.
Seorang lagi perwakilan, K Kristan pula berkata, seorang ketua menteri wajar diberikan hanya 2 penggal untuk berkhidmat.
Pagi ini, pengerusi negeri Chow Koon Yeow berkata perpaduan dalam parti kekal utuh dan sokongan perlu diberikan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Pagi ini sebelum konvensyen bermula, sekumpulan individu dengan kain rentang menyokong Chow sebagai ketua menteri muncul di tempat konvensyen, sebuah hotel di Bukit Jambul.
Lim bagaimana pun enggan mengulas berkenaan kejadian itu sewaktu disoal pemberita dan menyuruh mereka mengajukan soalan itu kepada Chow.
Perbahasan mengenai jawatan ketua menteri bermula apabila DAP Pulau Pinang berhadapan insiden enam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menentang kelaziman berkaitan satu usul daripada pembangkang Barisan Nasional (BN) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih seminggu lalu.
Usul BN itu mencetuskan kontroversi apabila seorang Adun DAP mengundi menyokongnya, sementara 5 lagi wakil rakyat PKR tidak mengundi atas dasar mendengar suara hati mereka.
Lim yang berang dengan insiden ini menuduh 5 Adun PKR itu sebagai pengkhianat kerana dianggap berpihak kepada BN apabila tidak mengundi.
Menurut Shamser, jika wakil rakyat Pakatan Harapan dikehendaki membangkang semua usul BN dan tidak boleh mengundi berdasarkan suara hati, maka mereka sepatutnya dahulu menolak usul gabungan pemerintah itu di Dewan Rakyat bagi menaikkan gaji ahli Parlimen.
Cakap-cakap berkenaan ketidakpuasan hati di peringkat ahli akar umbi di Pulau Pinang bermula dengan cara DAP mengendalikan Adun Tanjung Bungah Teh Yee Cheu, yang mengundi menyokong usul BN berkenaan penambakan tanah.
Teh merupakan satu-satunya wakil DAP yang menyokong usul itu namun selepas sidang ditangguhkan, beliau meminta maaf pada sidang media yang dianjurkan Lim.
Minggu lepas, beliau meletak jawatan sebagai setiausaha organisasi DAP negeri dan berkata tidak menyesal dengan keputusan itu.
Teh juga konsisten mendesak agar jawatan ketua menteri dihadkan kepada 2 penggal sahaja.
Teh hari ini juga bertanding dalam pemilihan parti di peringkat negeri.
Seorang lagi perwakilan, Lim Cheng Hoe dari cawangan Sri Tanjung Bungah menggesa agar calon dengan jumlah undi tertinggi dilantik menjadi pengerusi negeri.
"Tidak perlu lagi calon dengan 15 undi tertinggi berbincang sesama mereka siapa dapat jawatan apa. Ahli-ahli di luar tak akan tahu perkara yang berlaku dalam mesyuarat," katanya.
Menurut tradisi sistem pengkaderan DAP, 15 orang dengan undi tertinggi akan berbincang tentang lantikan jawatan eksekutif dan melantik 5 orang lagi ke dalam jawatankuasa negeri.
Hari ini, 48 pemimpin negeri dan akar umbi bertanding merebut 15 jawatan tersebut. Mereka terdiri daripada Adun, ahli Parlimen serta ahli majlis. – 29 November, 2015.

1 comment:

Anonymous said...

Khalifah Umar @ Ikon PAS. The best CM ever. Imam PAS to conduct special prayer for our beloved khalifah. Hell with those anti LGE. Hallelujah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails