Sunday, November 29, 2015

PKR Terus Bersama PAS, Keputusan Kongres Tahunannya Kelmarin.


PKR pada kongres tahunannya kelmarin (Jumaat) memutuskan akan menjadi penyatu kepada parti pembangkang yang berbeza aliran kerana dengan cara itu sahaja Putrajaya dapat ditawan.
Ini kerana mereka perlu memastikan pertandingan satu lawan satu di antara calon pembangkang dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
Tetapi untuk melakukan ini, mereka perlu mengambil risiko yang sangat berbahaya antara untuk mencapai matlamat dan berkompromi pendirian anti Umno.

Mesej WhatsApp yang tersebar di Johor Baru menunjukkan betapa sukarnya mengimbangi tindakan ini dan risiko yang akan ditanggung jika gagal.
Mesej itu, kata Ketua PKR Tebrau Steven Choong, kononnya mendakwa seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Johor akan menyokong Bajet BN yang dibahaskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.
Choong mengesyaki mesej itu palsu, tetapi ia boleh memburukkan lagi imej PAS di kalangan penyokong pembangkang yang sudah mencurigai selepas beberapa pemimpin parti itu bersikap mesra Umno.
Memandangkan PKR komited bekerjasama dengan parti Islam itu dalam pakatan pilihan raya menentang BN, mana-mana keburukan yang terpalit kepada PAS akan turut mencalarkan imej mereka.
"Ini kerana jika pengundi melihat PAS semakin mesra Umno dan kita bekerjasama dengan PAS, pengundi akan melihat PKR bekerja dengan sebuah parti yang mesra Umno," kata Choong, yang juga pengarah Pilihan Raya PKR Johor.
Sokongan meluas terhadap PAS
Beberapa pemimpin seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa berkomplot dengan Umno menyukarkan kerjasama di antara PKR dan PAS.
"Terdapat halangan dan persepsi ini (PAS mesra Umno) menjadikannya sukar bagi kita. Tetapi dalam pilihan raya anda perlu memastikan pertandingan satu lawan satu," kata Choong.
PKR cuba memujuk parti Islam itu untuk menjadi rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan, pakatan pembangkang baharu yang tidak melibatkan PAS, tetapi disertai DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
DAP mengkritik pendirian lembut PKR terhadap PAS. Timbalan presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dikritik kerana terus mengekalkan ahli PAS dalam barisan exco walaupun pada hakikatnya parti Islam itu tidak berada dalam Pakatan Harapan.
Namun, di sebalik kritikan yang dilemparkan itu, masih terdapat sokongan padu di kalangan ahli akar umbi PKR untuk terus bekerjasama dengan PAS dan memastikan mereka berada di pihak sama dalam mana-mana pilihan raya.
Apabila wakil PAS diumumkan pada Kongres PKR di Shah Alam semalam, perwakilan parti Islam itu mendapat tepukan gemuruh daripada perwakilan PKR.
Ini kerana rangkaian ahli parti Islam itu amat kuat terutama di Kedah, Terengganu, Kelantan dan Pahang.
Seorang perwakilan dari Kedah ketika berucap pada Kongres parti itu semalam mengatakan, kerusi Parlimen Alor Star yang dimenangi mereka mempunyai jumlah penyokong PAS yang jauh lebih ramai iaitu 6 kali ganda berbanding PKR.
"Majoriti kita adalah kira-kira 1,500. PAS mempunyai kira-kira 6,000 hingga 7,000 ahli. Jika kita berdepan antara satu sama lain dalam pertandingan 3 penjuru PAS dan PKR akan dikalahkan," kata perwakilan itu.
Kuasa kemaafan
Salah satu cara yang boleh diharapkan PKR bagi mengatasi trend mesra Umno di kalangan beberapa pemimpin di peringkat Parlimen, adalah dengan menggalakkan ahli biasa PAS agar mendesak pemimpinnya kekal dengan pembangkang.
"Jika kita mendidik penyokong dan orang ramai, mereka akan mendengar alasan dan melihat anda perlu menentang Umno kerana GST (cukai barang dan perkhidmatan) dan 1MDB (1Malaysia Development Berhad)," kata Datuk Mohd Idris Jusi yang juga ahli Parlimen Batu Pahat.
"Jadi, jika pemimpin PAS datang dan memberitahu mereka mesti mesra Umno, akar umbi PAS akan menolak pemimpin-pemimpin ini. Kemudian pemimpin-pemimpin ini perlu berubah untuk menyesuaikan dengan penyokong mereka."
Choong yakin pakatan pilihan raya yang konsisten boleh dibentuk sebelum pilihan raya umum akan datang.
"Jika pakatan dapat bersatu dalam tempoh 6 bulan sebelum pilihan raya, rakyat Malaysia boleh memaafkan dan melupakan apa yang berlaku dan tidak akan menghukum PAS kerana mesra Umno.
"Saya juga yakin perdamaian antara DAP dan PAS akan berlaku sebelum pilihan raya, kerana jika mereka mahu ke Putrajaya, perkara itu yang mereka perlu lakukan," kata Choong. – 29 November, 2015. (TMI)

4 comments:

Anonymous said...

Semua orang sayang dgn PAS tapi tuan Presiden PAS telah merosakkan PAS.

PAS hanya akan kuat bila kepimpinan PAS ditukar. Ayuh sahabat sahabat PAS ku.. kita turunkan Presiden

Anonymous said...

Cukup la lu sorang diri yang sesat...

Wan Rosli said...

Sebenarnya pas sudahpun lebih kuat bila berjaya menyingkirkan golongan2 mengaku profesional..

Wan Rosli said...

Sebenarnya pas sudahpun lebih kuat bila berjaya menyingkirkan golongan2 mengaku profesional..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails