Saturday, October 17, 2015

P'raya S'wak: Amanah Bukan Orang Lain, Sahabat Kita Juga. -Jofri Jaraiee


PAS Sarawak berharap Parti Amanah Negara (Amanah) tidak mengganggu kawasan yang akan ditandingi olehnya dalam pilihan raya negeri yang dijangka awal tahun depan.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee (gambar) berkata jika perlu, pihaknya akan berbincang secara tidak langsung dengan Amanah Sarawak bagi mengelakkan berlaku pertandingan dengan kumpulan serpihan parti Islam itu untuk kerusi negeri.

"Amanah ini bukan orang lain, sahabat-sahabat kita juga.
 "Kita akan maklum mereka secara 'formal' supaya jangan kacau kerusi kita," kata Jofri kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di Miri, Sarawak.

Bagaimanapun, katanya beliau akan merujuk PAS Pusat terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa rundingan dengan Amanah yang kini menggantikan PAS dalam Pakatan Harapan selepas terkuburnya Pakatan Rakyat.

"Kita akan bincang dengan pusat dulu dan nampaknya pusat tidak akan bekerjasama dengan Amanah.
"Jika pusat kata okay, kita akan bincang secara rasmi. Jika tidak, kita buat secara tidak formal," katanya.

Di peringkat pusat, PAS hanya mempunyai hubungan dengan PKR selepas berpisah dengan DAP. Menurut Jofri, PAS akan bertanding 10 daripada 82 kerusi dalam pilihan raya negeri akan datang selepas bertanding hanya 5 kerusi dalam pilihan raya negeri yang lalu.

Jofri dilantik sebagai pesuruhjaya selepas kematian Adam Ahid pada 17 September lalu akibat sakit jantung.

"Kita mensasarkan untuk menang sekurang-kurangnya satu atau 2 kerusi dalam pilihan raya ini," kata Jofri dengan mensasarkan kerusi Beting Maro sebagai paling berpotensi untuk parti itu.

Sementara itu, Amanah berkata ia sedia bertanding melawan PAS dalam pilihan raya negeri akan datang jika terpaksa selepas berunding dengan rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan.

"Orang bertanya di mana kita akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
"Besar kemungkinan di kerusi yang ditandingi PAS sebelum ini," kata Pengerusi Amanah Sarawak Mohamad Fidzuan Zaidi.

Amanah, sebagaimana PAS juga mensasarkan untuk menang sekurang-kurangnya satu kerusi pada pilihan raya negeri akan datang.

"Kita sasar satu kerusi baharu di Kuching dan kita berharap rakan-rakan memberi laluan kepada Amanah," kata Fidzuan merujuk kepada 11 kerusi baharu yang dibentuk di Sarawak dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya.

PAS, Amanah serta PKR dijangka akan bertanding di kerusi-kerusi majoriti Melayu yang kini dikuasai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menjadi tunggak Barisan Nasional (BN) yang memerintah Sarawak.

Dalam pilihan raya negeri 2011 lalu, PKR hanya menang di 2 kerusi majoriti Dayak dan satu Cina tetapi kalah di semua kerusi majoriti Melayu. Pembangkang dijangka akan menghadapi laluan sukar dalam pilihan raya kali ini berikutan pencapaian baik yang dibuat Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem. (IH/sumber The Malaysian Insider.)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails