Friday, May 08, 2015

Tanzim Al-Qaeda M'sia Berhubungan Terus Dengan Osama Laden.

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa kumpulan pengganas Tanzim Al-Qaeda Malaysia yang diasaskan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat, mempunyai hubungan terus dengan kumpulan militan Al-Qaeda Proper diketuai Osama bin Laden.

Pegawai Operasi Bahagian Kaunter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman ASP Mohd Raby Abu Bakar, 55, memberitahu mahkamah bahawa kumpulan militan di Arab diketuai Osama sebelum diambil alih oleh Ayman Al-Zawahiri.

Mohd Raby berkata Yazid (gambar) juga pernah berada di Afghanistan sebelum itu dan pernah bertempur bersama Mujahidin (pejuang Islam) menentang tentera penceroboh.

"Kita percaya pada ketika itu Yazid mempunyai hubungan dengan pemimpin peringkat kedua dalam (kumpulan militan) Al-Qaeda Proper," katanya pada perbicaraan kes Yazid dan pembantu kafetaria, Muhammad Hilmi Hasim, di hadapan Hakim Datuk Mohd Azman Husin.

Yazid berdepan pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas manakala Hilmi didakwa bersubahat dengannya.

Mohd Raby, yang juga pakar bidang Terrorisme Interpol, berkata pada 4 Jan 2000, Yazid telah memberi bantuan logistik kepada empat penyerang serangan berani mati 11 Sept 2001 di Amerika Syarikat seperti yang dilaporkan dalam Laporan Suruhanjaya Jabatan Negara 9/11.

"Keempat-empat orang itu bermalam di rumah Yazid di Sungai Long Kajang sebelum berjumpa pemimpin Jemaah Islamiah ketika itu, Riduan Isamuddin, di kawasan Jalan Masjid India," katanya.

Beliau berkata persamaan ideologi antara Tanzim Al-Qaeda Malaysia dengan Al-Qaeda Proper ialah untuk menubuhkan 'Daulah Islamiah' (negara Islam sebenar) melalui perang atau dalam bahasa Arab, kital.

Mohd Raby, yang merupakan saksi ketujuh perbicaraan itu, memberitahu mahkamah bahawa kesemua maklumat mengenai Yazid dan kumpulan itu diperoleh melalui hasil pintasan komunikasi, laporan daripada sumber dan laporan terbuka yang menyiasat aktiviti keganasan dan militan di negara ini.

Menurutnya Yazid juga terlibat dalam merekrut anggota baharu kumpulan itu dengan mengadakan sesi usrah dan mengendalikan empat cabang Tanzim Al-Qaeda Malaysia di Trolak, Perak; Ampang dan Sungai Buloh di Selangor serta di laman sosial Facebook.

Beliau berkata usrah itu dijalankan di rumah Yazid di Ampang, Selangor pada setiap Sabtu sejak hujung 2012.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar, Mohd Raby berkata kumpulan pengganas itu dikesan selepas Yazid dibebaskan daripada tahanan ISA pada hujung 2011.

Pada 8 Feb 2013, Yazid, 49, Muhammad Hilmi, 33, mengaku tidak bersalah membabitkan diri dalam aktiviti keganasan di Syria di DL 11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang antara 1 Ogos 2012 dan 7 Feb 2013.

Bagaimanapun, pada 20 Mei 2014 Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebas mereka daripada pertuduhan terbabit.

Namun pada 27 Mei 2013, Yazid dan Hilmi sekali lagi didakwa dan mengaku tidak bersalah menjadi anggota kumpulan pengganas di DL 11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang, antara 1 Ogos 2012 dan 7 Feb 2013.

Kesemua tertuduh diwakili peguam New Sin Yew. Perbicaraan bersambung esok.
- Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails