Monday, May 04, 2015

Menang PRK: Di Rompin Mudahkan Hudud. Di Pmtg Pauh Susahkan Hudud?

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berucap di pentas semasa ceramah kempen di Muadzam Shah, Pahang malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 4 Mei, 2015.

PAS dilihat memainkan sentimen hudud terhadap pengundi-pengundi di kawasan Parlimen Rompin, ketika tempoh berkempen tinggal kurang 2 hari, apabila mengatakan tambahan satu kerusi di Dewan Rakyat akan membantu pelaksaan undang-undang Islam.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kempen ceramah di Muadzam Shah, Pahang malam tadi berkata, kemenangan PAS di Rompin akan membantu usaha mereka bagi melaksanakan hukum Allah itu.

"Bayangkan kalau wakil rakyat tuan-puan mengundi di Parlimen untuk melaksanakan hukum Allah," katanya, di hadapan hampir 3,000 penyokong PAS.

Sementara itu, mantan calon PAS di kerusi Parlimen Rompin Noridah Salleh berkata, tambahan kerusi Parlimen untuk parti Islam itu amat penting demi membolehkan hudud dilaksanakan, sekali gus mengukuhkan kedudukan undang-undang berkenaan di negara ini.

"Kita perlukan ahli Parlimen PAS kerana kita mahu kuatkan undang-undang Islam di Parlimen, untuk menguatkan kedudukan Islam di Malaysia," katanya, ketika berucap dalam Himpunan Derita Rakyat (Hindar) 2.0, malam tadi.
"Presiden kita akan membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen," katanya.

Himpunan yang dianjurkan bersempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin itu menyaksikan sekitar 3,000 penyokong PAS berkumpul sejak sebelum mahgrib sehingga tamat sekitar jam 12 malam.  Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz turut mengingatkan penyokong mereka yang hadir supaya memberikan sokongan kepada calon PAS, Nazri Ahmad kerana pertambahan satu kerusi Parlimen amat penting buat mereka.

"Saya mengharapkan pengundi dapat memberi undi terbaik, bukan hanya kepentingan di tempat kita, tetapi pemimpin yang kita akan hantar ke Parlimen, menjaga sebiji atau sebuah Malaysia.
"Wakil rakyat ini akan menentukan masa depan negara, yang terbaik untuk membaiki undang-undang lama, dan membuat undang-undang baru," katanya dalam ceramah kempen tersebut.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menghantar notis usul pemberitahuan kepada Dewan Rakyat untuk membolehkan rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.  Sekiranya Parlimen membenarkan usul berkenaan dibawa untuk perbahasan dan diluluskan Dewan Rakyat, PAS akan berupaya melaksanakan hudud di Kelantan, memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu sudah pun meluluskan pindaan Enakmen Jenayah Syariah II dalam persidangan mereka sebelum ini.

Motosikal memandu lepas bendera Barisan Nasional di Permatang Pauh semalam. Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh empat penjuru melihat persaingan antara Suhaimi Sabudin dari Barisan Nasional, Dr Wan Azizah (PKR), Azman Shah Othman (PRM) dan Salleh Isahak (Bebas). – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 4 Mei, 2015. 

Sementara itu, Nazri dalam ceramahnya berkata sekiranya pengundi di Rompin memberikan mandat kepada PAS, di kerusi Parlimen kawasan itu, kesannya bukan sahaja dinikmati pengundi Rompin, tetapi juga rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

"Saya sebagai calon yang diamanahkan PAS, mewakili PAS di PRK Rompin, merayu dan mengharap tuan-tuan yang layak mengundi untuk tidak lepaskan peluang menunaikan tanggungjawab yang besar ini. "Kesannya bukan sahaja penduduk Rompin, tetapi seluruh rakyat Malaysia."

Susulan keputusan PAS untuk meneruskan pelaksanaan hudud di Kelantan, parti komponen Pakatan Rakyat (PR) membantah tindakan tersebut.  Berang dengan keputusan Hadi, yang didakwa membelakangkan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PR, DAP mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan ahli Parlimen Marang itu, namun mengekalkan hubungan dengan PAS. – 4 Mei, 2015. (TMI)

Ertinya, jika  PAS menang di Rompin akan memudahkan perlaksanaan Hudud di Kelantan. Tetapi kalau PR menang di Permatang Pauh adakah ianya akan menghalang atau menyusahkan perlaksanakan Hudud seperti yang diperjangkan oleh PAS?  (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails