Friday, June 13, 2014

Terlalu Keliru, BN S'ngor Tarik Balik Usul Laksana Hudud.



Barisan Nasional Selangor tarik balik usul hudud dibahaskan di Dewan Undangan Negeri, kata Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohd Shamsuddin Lias. Gambar fail. Barisan Nasional Selangor tarik balik usul hudud dibahaskan di Dewan Undangan Negeri, kata Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohd Shamsuddin Lias. Gambar fail.
















Barisan Nasional (BN) Selangor menarik balik usul mengkaji sama ada undang-undang syariah hudud wajar dilaksanakan di negeri itu, kata Ketua Pembangkang, Datuk Mohd Shamsuddin Lias.
Shamsuddin berkata, usul itu menimbulkan banyak kekeliruan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Air Tawar, Kamarul Zaki menyerahkannya kepada Speaker Hannah Yeoh.

"Itu bukan Rang Undang-Undang (RUU). Ia cuma usul bertanya kepada kerajaan negeri sama ada mereka hendak melaksanakan hudud atau tidak," katanya kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi hari ini.

Katanya, penarikan usul itu merupakan perkara amalan biasa bagi mana-mana parti dalam DUN.
"Kita sudah berbincang dalam mesyuarat awal Adun BN. Disebabkan terlalu banyak kekeliruan, kita putuskan untuk tarik balik," katanya.

Namun katanya, wakil rakyat BN akan membangkitkan isu hudud ini semasa persidangan DUN yang bermula minggu depan.

Katanya, soalan akan diajukan kepada PAS mengenai komitmen mereka melaksanakan hukum hudud di Selangor selepas bekerjasama dengan Putrajaya untuk melaksanakannya di Kelantan.
Sementara itu, Yeoh pada sidang media hari ini berkata, tindakan beliau memberikan kebenaran kepada Umno mengusulkan isu hudud dibuat atas prinsip "berdebat sebagai budaya".

"Sebagai speaker, saya perlu ambil kedudukan yang tidak berpihak, apabila saya pengerusikan sidang DUN, saya tidak lagi melihat diri saya sebagai wakil rakyat DAP atau Pakatan Rakyat (PR).
"Perkara paling penting ialah sebagai speaker saya perlu adil dalam mempertimbangkan usul yang dikemukakan," katanya.

Adun Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik dari Umno dilaporkan bercadang membentangkan usul hudud, namun terserah kepada Yeoh sama ada untuk menerima atau menolak usul itu untuk dibahaskan.

Tindakan beliau menimbulkan kritikan parti komponen BN dari MCA dan Gerakan, dan menggesa beliau menarik balik cadangan untuk membentangkan usul hukum hudud apabila persidangan DUN Selangor bersambung 16 Jun depan.

Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun, berkata beliau kesal dengan tindakan Adun itu kerana menunjukkan tiada kesepakatan antara parti komponen BN berhubung pelaksanaan hudud sehingga sekarang.

Pengerusi Gerakan Selangor, David Ang Chin Tat, berkata parti itu membantah keras tindakan Kamarol Zaki untuk membentangkan usul berkenaan. Kamarol Zaki dilaporkan menghantar usul berkenaan minggu lalu kepada DUN Selangor dan meminta kerajaan negeri mengkaji kemungkinan untuk melaksanakan hudud.

"Saya percaya kita sangat bertamadun untuk ini (bahaskan hudud)," kata Yeoh.

Ditanya berhubung kritikan beberapa pihak, terutamanya parti komponen BN terhadapnya ekoran membenarkan usul itu dibahaskan, Yeoh berkata:"MCA dan Umno perlu selesaikan sendiri hal mereka.

"Saya enggan masuk campur urusan mereka," katanya.

Yeoh berkata, beliau agak tersepit dalam hal itu dan perlu mengambil keputusan untuk membenarkan usul berkenaan dibahaskan.

"Saya tidak boleh menang dalam perkara ini. Jika tidak benarkan (bahas hudud), Umno akan kata saya anti Islam.
"Jika benarkan, MCA kata saya bermain dengan isu ini. Jika anda speaker apa anda akan buat?
“Saya hanya buat keputusan berdasarkan apa yang betul untuk DUN,” katanya.

Hudud sebelum ini ditimbulkan oleh kerajaan negeri Kelantan apabila pentadbiran negeri itu bersetuju membawa usul hudud untuk dibahaskan ke Parlimen. Isu berkenaan membangkitkan reaksi pelbagai pihak yang membantah, termasuk parti komponen Pakatan daripada DAP dan PKR, serta MCA dan Gerakan daripada BN. Umno bagaimanapun memberikan komitmen untuk melobi wakil rakyat mereka bagi menyokong perkara itu. – 13 Jun, 2014. (TMI)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails