Friday, June 13, 2014

3 Lagi Maahad Integrasi Tahfis Sains Di Selangor

 


SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar A Samad memaklumkan tiga lagi Maahad Integrasi Tahfiz Sains (MITS) akan ditubuhkan di negeri ini pada akhir tahun ini.

Menurut beliau, cadangan penubuhan MITS itu telah dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

Beliau yang juga Ahli MMKN berkata, keputusan akhir penubuhan tiga MITS itu berada di tangan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, manifesto Pakatan Rakyat  Selangor pada pilihan raya umum lalu menjanjikan  penubuhan tiga MITS jika diberi mandat semula mentadbir Selangor.

Menurut Iskandar, perancangan terperinci telah disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan kerjasama pejabat Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembinaan Insan negeri, Dr Halimah Ali dan pejabat Exco Hal Ehwal Islam, Ustaz Sallehin Mukhyi.

Menurut beliau, kerajaan negeri amat memahami hasrat ibu bapa yang mahu anak-anak mereka mendapat pendidikan peringkat menengah berteraskan Islam.

"Ramai daripada mereka terpaksa menghantar anak-anak ke sekolah-sekolah swasta di negeri ini atau ke sekolah-sekolah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan. Insya Allah MITS akan dapat memenuhi keperluan mereka di masa akan datang," katanya.

Kerajaan negeri bercadang menubuhkan MITS di Bagan Terap, Sabak Bernam dan dua lagi di daerah Sepang dan Selayang. - HARAKAHDAILY, 13/6/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails