Wednesday, June 11, 2014

Ketua Aktivis PPIM Didakwa Cederakan Aktivis Pengguna.


 


KUALA LUMPUR: Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan (gambar) dan seorang ahli persatuan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang aktivis pengguna, Mac lalu.
            
Nadzim, 54, dan Tengku Faezah Raja Fuad, 32, kedua-duanya Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Azura Murah.
            
Kedua-dua mereka didakwa mencederakan Adam Mikail, 43, yang juga pemegang kerakyatan tetap di Perancis, di Tingkat 3, Kondominium Villa Puteri, Jalan Tun Ismail, di sini pada pukul 12 tengah hari, 28 Mac lalu.
            
Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
            
Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim memaklumkan kepada mahkamah bahawa tidak perlu ada sebarang jaminan kerana kes ini membabitkan kes saman.
            
Bagaimanapun, beliau berkata pihak pendakwaan berharap kedua-dua mereka akan hadir pada setiap tarikh yang ditetapkan mahkamah.
            
Mahkamah kemudian melepaskan mereka yang diwakili peguam Hasnal Rezua Merican tanpa sebarang jaminan dan menetapkan 26 Jun ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails