Monday, June 09, 2014

Pakatan Rakyat Johor Gesa RUU LPHJ Ditangguh




KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat Johor menggesa agar Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang dibentangkan Menteri Besar dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini ditangguhkan bagi membolehkan beberapa pindaan penting dibuat.

Pesuruhjaya PAS Johor,  Aminolhuda Hassan berkata, walaupun pada dasarnya PAS Johor bersetuju dengan beberapa pindaan yang dibuat dalam rang undang-undang itu, masih terdapat beberapa perkara terutama berhubung dengan keanggotaan Ahli Lembaga Pengarah LPHJ memerlukan penelitian lanjut.

"Kita menyokong semangat yang ada dalam RUU tersebut, bagaimanapun beberapa pindaan perlu dibuat untuk kebaikan rakyat dan negeri ini.
"Sehubungan itu kita pohon agar RUU ini ditangguhkan pembentangannya dan dibawa semula ke dalam dewan setelah pindaan dibuat," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily seusai sidang Dun Johor.

Aminolhuda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Yaani berkata, antara kelemahan yang dikenal pasti dalam Fasal 4 RUU berkenaan adalah ketiadaan wakil daripada Kerajaan Persekutuan seperti mana yang wujud dalam Perbadanan Johor (JCorp).

PAS Johor berpendapat, wakil Kerajaan Persekutuan penting dalam LPHJ bertujuan memberikan nasihat dalam perkara-perkara tertentu yang negeri tiada mempunyai kepakaran.

Semalam, PAS Pusat menyatakan pendirian agar institusi raja tidak dibabitkan dalam urusan eksekutif khususnya LPHJ bertujuan menjaga martabat institusi raja berpelembagaan yang diamalkan di negara ini.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, PAS konsisten bahawa sistem raja berpelembagaan harus dipertahankan. Menurut Mohamad, sebarang tindakan mengheret institusi raja ke dalam urusan eksekutif akan merendahkan martabat dan mencemarkan institusi raja berpelembagaan di negara ini.

Beliau menambah, kuasa eksekutif dalam menentukan hal berkaitan tanah dan perumahan perlu dikekalkan. Mengulas isu yang sama, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kayat berkata, tindakan Kerajaan Johor  yang berhasrat membabitkan sultan secara terus dalam pentadbiran adalah sesuatu yang membimbangkan.

"Tindakan ini bakal mengheret institusi Diraja Johor ke situasi yang terdedah kepada kritikan luar yang serius.
"Fungsi legislatif dan eksekutif perlu terus kekal dalam konsep negara Raja Berperlembagaan. Maka lebih baik RUU ini ditangguhkan terlebih dahulu," tegas beliau. - HARAKAHDAILY, 9/6/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails