Friday, June 13, 2014

Pertemuan Nik Aziz-Kit Siang: Hudud Bukan Punca DAP Kalah..



Kit Siang dan rombongan diraikan dengan majlis makan tengahari bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
KOTA BHARU:  Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan bahawa isu pelaksanaan hudud bukanlah menjadi punca utama kekalahan DAP dalam pilihan raya kecil (PRK) Teluk Intan malah beliau mengucapkan terima kasih kepada PAS  kerana telah berusaha memenangkan calonnya yang mewakili Pakatan Rakyat pada PRK itu.

Menurut Kit Siang, kesungguhan PAS membantu calon DAP PRK Telok Intan, Dyana Sofya Mohd Daud begitu mengharukan.

Mengulas pertemuannya dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Institut Pemikiran Tok Guru, dekat sini, semalam, beliau berkata, antara tujuan pertemuan itu adalah untuk memberi penjelasan berhubung kenyataan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Sing Deo sebelum ini.

Gobind ketika mengulas kekalahan Dyana pada PRK Teluk Intan dilaporkan media meletakkan kesalahan kepada isu hudud yang diperjuangkan PAS.

Menurut Kit Siang, Gobind tidak bermaksud menyalahkan PAS sehingga calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat tewas dalam PRK itu.

“Gobind ada sebut ianya (hudud) hanya antara faktor kekalahan, malah Gobind juga turut mengucapkan terima kasih di atas usaha PAS selama ini yang turun padang membantu berkempen sehingga di hari pilihan raya (pembuangan undi),” ujarnya.

Pelaksanaan hudud, ujar Kit Siang bukan isu utama pada PRK Teluk Intan baru-baru ini. Ketika ditanya pemberita tentang punca kekalahan sebenar DAP dalam PRK tersebut, beliau berkata ia masih dalam kajian dan puncanya masih belum diketahui.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan bahawa isu hudud akan dijadikan isu utama oleh pihak tertentu pada pilihan raya umum akan datang. Sehubungan itu, beliau menyarankan parti-parti komponen Pakatan Rakyat agar mempersiapkan diri untuk menangkis cubaan BN untuk menjadikan hudud sebagai senjata kempen pilihan raya.

Hadir sama mengiringi Kit Siang melakukan kunjungan hormat ialah bekas calon DAP PRK Teluk Intan, Dyana Sofya dan Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah. - HARAKAHDAILY, 13/6/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails