Monday, March 10, 2014

MH370: Dr Rani Othman Ketuai Pasukan Khidmat Kaunseling PAS

Pasukan khidmat kaunseling PAS yang diketuai Dr Rani Othman (gambar) mula tiba di hotel penginapan keluarga mangsa pesawat penerbangan MH370 bagi membantu mereka.

Mereka dihantar ke Hotel Everly, Putrajaya untuk membantu memberikan khidmat kaunseling kepada ahli keluarga penumpang pesawat penerbangan yang sehingga masih belum dijumpai itu.
Namun sehingga kini, mereka tidak boleh berhubung terus dengan keluarga mangsa kerana disifatkan sebagai orang luar memandangkan hanya keluarga mangsa sahaja dibenarkan masuk

"Buat masa ini kami belum dibenarkan masuk tetapi kita masih berunding lagi," kata Dr Rani kepada The Malaysian Insider.

Selepas lebih sehari tanpa berita tentang kapal terbang yang hilang itu, keluarga mangsa yang berkumpul di situ mula berasa gelisah. Ramai antara mereka mula menyalah Malaysia Airlines (MAS) kerana tidak melaporkan sebarang perkembangan kepada mereka.

Semalam, Pengerusi Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana PAS (CEDM), Salahudin Ayub berkata, pasukan kaunselor PAS itu akan dihantar dalam kadar segera ke penempatan keluarga terlibat.

"Pasukan ini diketuai Adun Meru, Dr. Abd Rani Osman, dan saya sudah mengarahkan kepada beliau untuk bertindak segera.
"Mereka akan memberikan khidmat nasihat dan apa yang perlu kepada keluarga terlibat.
"Ia adalah bantuan yang kita boleh buat setakat ini sebagai tanda simpati PAS terhadap insiden yang mengejutkan ini," kata beliau yang juga naib presiden PAS.

Pasukan Dr Rani ini berpengalaman merawat dan membantu mangsa bencana yang berlaku di seluruh dunia. Pasukan Dr Rani antara yang mula sampai ke Acheh dalam bencana tsunami yang melanda wilayah itu beberapa tahun lalu. Mereka terlatih dalam memberikan rawatan perubatan dan kaunseling kepada mangsa yang dalam trauma. – 10 Mac, 2014. (TMI)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails