Tuesday, March 11, 2014

Kehakiman Negara Perlu Bebas, Adil & Berakhlak -IKRAM

 


KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) mempersoalkan proses perbicaraan dan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes liwat 2 membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menuntut sistem kehakiman negara dipulihkan bagi memastikan ia bebas, adil dan berakhlak.

Dalam satu kenyataan media, Presidennya  Ustaz Dr. Mohd Parid Sheikh Ahmad (gambar) berkata, terdapat unsur-unsur keraguan dalam proses perbicaraan serta keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu yang mensabitkan  Anwar bersalah di bawah Seksyen 377A dan dihukum penjara 5 tahun.

Antara keraguan yang timbul, jelas beliau adalah tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada 7-10 April 2014 diawalkan kepada 6-7 Mac, iaitu hampir dengan tarikh penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang.

Ikram juga mempertikaikan keputusan sabitan dan hukuman pada hari akhir perbicaraan iaitu 7 Mac.
"Tindakan tergesa-gesa dalam memberi penghakiman bertukar (reverse decision) amat jarang berlaku di dalam kes rayuan seberat ini," tegas Dr Mohd Parid.
Ikram turut mempersoalkan penolakan permohonan peguambela oleh mahkamah untuk menangguhkan mitigasi hukuman bertujuan membolehkan pihak pembelaan menyediakan dokumen sokongan.
"Lazimnya mahkamah memberi tempoh yang munasabah kepada peguam tertuduh dalam menyediakan hujah mitigasi," katanya.

Sehubungan itu, tambah Dr Mohd Parid, Ikram memahami mengapa masyarakat mempersoalkan kewibawaan mahkamah dalam mengendali dan memutuskan kes Anwar. Beliau menambah, keputusan diambil Anwar untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan tidak memberi sebarang makna jika persoalan dan kegusaran yang timbul dalam proses perundangan negara tidak ditangani secara profesional dan berintegriti.

Berdasarkan senario yang berlaku, Ikram secara tegas menuntut institusi kehakiman negara memastikan "keadilan bukan sekadar ditegakkan tetapi mesti dilihat ditegakkan". Sistem kehakiman negara juga, tambah beliau perlu bebas dan dilihat bebas daripada sebarang campur tangan politik atau desakan pihak eksekutif.

"Kepercayaan rakyat kepada sistem kehakiman negara perlu dipulihkan dengan memastikan ia bebas, adil dan berakhlak," ujar Dr Mohd Parid. (HD)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails