Tuesday, March 11, 2014

Kepelbagaian Agama Menurut Dr Mujahid



ISU dialog saya dengan komuniti gereja di Sungai Petani pada 28 Februari 2014 yang lalu telah mendapat reaksi daripada pelbagai pihak dengan motif dan tujuan masing-masing.
Reaksi spontan itu adalah susulan pelaporan berita apa yang saya ucapkan dalam dialog tersebut sebagaimana yang tersiardi dalam portal The Malaysian Insider (TMI) dan Malaysiakini.

Saya tidak berminat untuk mengetahui motif daripada mereka kerana pujian atau kejian adalah nikmat Allah SWT bagi menguji sejauh mana kesyukuran kita dan kesabaran kita dalam membawa apa yang kita yakini.

Namun, kepada yang sebahagian yang mengkritik, apa yang saya boleh jelaskan ialah cara respon dan diskusi di media sosial yang berlegar menampakkan manhaj ‘melabel’ dan ‘menghukum’ daripada manhaj ‘tabayyun’ atau mendapat penjelasan.

Tanggapan awalan yang sudah tertampung dalam minda mereka menghalang mereka untuk bersikap hormat dan penuh sopan untuk bertanya pada saya sedangkan pihak ketiga telah pun membuat pelbagai andaian.

Andaian yang dilapik, "jika Mujahid betul berkata demikian maka ini adalah fahaman golongan pluralis" dan sebagainya.

KERANGKA FIKIRAN ILMIAH

Minda kepada pemikiran bercirikan ilmu menuntut supaya apa saja ide yang dilontarkan mesti dihadam dengan hujah dari sumber ide itu dan bukan apa yang dipetik dari laporan berita walaupun kononnya berlapik dengan frasa “... kalau betul apa yang dilaporkan maka...”

Apatah lagi dalam isu yang berpotensi dirumuskan pendapat seseorang itu sebagai ‘keluar Islam’ dan sebagainya.

Memberi pandangan dalam hal sensitif seperti ini yang dipetik daripada kenyataan pemberita adalah cukup tidak ilmiah kalau ada pun ciri-ciri ilmiah, tahapnya adalah amat rendah sekali.

Kedua, pandangan dalam melanggani sesuatu permasalahan terbentuk dalam suasana kontekstual apa yang dikatakan.

Perkataan dan ide jika dinilai secara umum tanpa melihat dalam suasana apa dan konteks apa penghujahan itu dikeluarkan adalah satu kesilapan ilmiah dalam memberi keadilan kepada orang yang melontarkan ide.

Malangnya komentar daripada laporan berita tidak membekalkan suasana konteks yang amat diperlukan sebelum sesuatu rumusan itu perlu dibuat.

Ketiga, ide atau pandangan tidak boleh dinilai tanpa memberi keadilan kepada gambaran menyeluruh atau pandangan sarwajagat yang memandu tuan tubuh yang memberikan ide.

Susunan pemikiran yang konstruktif dipandu dengan asas prinsip yang diyakini oleh sipemikir sebagai petunjuknya dalam berhujah dan memberi ide.

Malangnya laporan berita tidak cukup ruang untuk membekalkan pandangan sarwajagat orang yang membuat sesuatu kenyataan.

Saya tidak menyalahkan pemberita semata-mata tetapi saya akan menyalahkan kononnya para ‘ilmuan’ yang tak ikut standard KPI untuk bagaimana menjadi seorang ilmuan yang dihormati.
Kalau mahu menjadi ilmuan/ulama/pemikir whatsapp, twitter dan facebook, saya belum menemui KPInya lagi.

APA SAYA KATA

Berpandukan kepada kerangka berfikir yang tersusun ini, saya akan menjawab para ‘ilmuan’di alam maya serta ‘tukang api’nya dalam landasan yang akan jadi ikutan untuk masa hadapan apabila kenyataan saya menjadi tajuk yang paling digemari oleh ‘penggemar-penggemar’ saya yang selagi tidak tercapai hasrat mereka menjayakan pelabelan saya sebagai pluralis dan liberal, selagi itulah mereka akan terus mengambil peluang, teruskan usaha anda.

Sebenarnya, tulisan ini adalah daripada sumbernya dan saya harap ia dapat memandu mereka kepada pencerahan khususnya dalam bidang berdakwah kepada non-Muslim.

Memetik laporan TMI:
"Mujahid berkata tidak siapa yang boleh mengaku agama yang dianuti lebih daripada agama orang lain. Katanya memadai manusia hidup sebagai hamba Tuhan yang baik menerima dan mengiktiraf perbezaan dan menyerahkan kepada Tuhan dalam membuat keputusan tentangnya.
Tambahnya seseorang itu tidak boleh mempersoalkan dewa agama lain atau kepercayaan yang dianggap syirik oleh agamanya. Tuhan mengarahkan bahawa tidak sesiap pun dibenarkan menghina dewa agama lain, ada sebab mengapa Tuhan mengatakan sesuatu,renungkanlah..."

KONTEKS

Konteks ucapan saya adalah berpandukan kepada isu perbalahan dan permusuhan antara agama yang berlaku hasil daripada masing-masing agama menghina antara satu sama lain.

Untuk mengelakkan tindak balas antara agama dengan penghinaan yang serupa atau lebih teruk lagi, Allah SWT melarang umat Islam memaki hamun tuhan-tuhan (dalam laporan menyebut dewa-dewa) golongan musyrikin kerana kelak mereka akan membalas maki hamun mereka kepada Allah dengan penuh permusuhan dan tanpa ilmu.

Allah SWT juga menerangkan betapa setiap penganut itu mahu mempertahankan amalan mereka walaupun sesat. Lalu mereka (golongan yang sesat) akan kembali kepada Allah dan Allah akan khabarkan kepada mereka apa yang telah mereka lakukan daripada perbuatan mensyrikkan diri dengan Allah (saya memetik surah Al Ana'am:108).

Konsep mengelak ‘balas membalas’ adalah supaya suasana damai yang wujud membuka kepada dialog dan dakwah dengan cara yang penuh kondusif.

Kalau kita sibuk tuduh menuduh dan caci mencaci, suasana kondusif bagi mewujudkan suasana berdialog dan debat dengan cara yang baik pastinya akan tenggelam.

Konteks suasana ucapan saya juga berpandukan kepada tanggung jawab Muslim supaya menyampaikan dan bukan dalam kaedah menghukum kerana Allah yang akan menjadi kata pemutus seperti mana yang ada dalam surah An Nahl:125.

Jadi apabila saya mengatakan apa yang di atas, saya sedang bercakap suasana permusuhan dan kebencian antara agama tidak akan berakhir selagi semua pihak mendabik dada kebenaran agamanya, tetapi tidak menjurus kepada perdebatan sihat sehingga menyebabkan hubungan antara agama terbentuk berasaskan kebencian dan permusuhan.

Untuk memberi keadilan kepada apa yang saya kata, saya menegaskan dalam konteks ini, prinsip ‘bagi kamu agama kamu, bagi kami agama kami’ bukan untuk memberhentikan usaha dialog dan debat sihat tetapi sebagai melahirkan suasana ‘gencatan senjata’ daripada terus tuduh menuduh antara satu sama lain.

KONTEKS DAN RUMUSAN YANG BETUL

Konteks ucapan saya tidak langsung mengisyaratkan bahawa seseorang Muslim tidak boleh bangga dengan agamanya atau berasa mulia dengan agamanya kerana jika ini yang saya maksudkan ia akan bertentangan dengan pandangan sarwajagat saya terhadap prinsip hubungan antara agama yang akan saya jelaskan dan huraikan.

Malah kerana kemuliaan agama sayalah yakni Islam,  saya mengusahakan dialog dengan pihak gereja sejak tahun 2010 lagi.

Fahamilah konteks saya bahawa saya berinteraksi dalam suasana bercakap bagi melahirkan atmosfera kondusif untuk berdialog, jauh sekali ingin menegaskan bahawa semua agama adalah sama.
Islam menyuruh kita menyediakan suasana kondusif bukan menyuruh kita menggadaikan prinsip agama kita, saya amat jelas hakikat ini.

Disebalik pelaporan TMI, apa yang tidak dicatat (mungkin kerana tidak cukup ruang atau sebagainya) ialah saya menyatakan bahawa Islam tidak mungkin menerima konsep ‘trinity’ dalam apa jua bentuknya dan lantas kita (penganut Islam) tetap berbeza dengan penganut Kristian.

Dengan penjelasan kenyataan saya, apa yang saya cuba lakukan ialah untuk memenuhi tiga syarat makna “hormat menghormati”, iaitu melalui ilmu (dengan penuh kesedaran), kejujuran (saya datang ke tempat mereka) dan berendah diri (dengan menyediakan suasana kondusif ini).

Selain daripada rumusan di atas dalam konteks yang saya tuturkan, saya menganggap ia hanya telahan-telahan dan kadang-kadang tuduhan liar yang tidak berasas apatah lagi daripada mereka yang hanya pandai melabel tetapi kaku di alam dakwah kepada non-Muslim.

KATA PEMUTUS DARI ALLAH

Allah SWT menentukan sesuatu kebenaran dan kebenaran bagi saya adalah Islam. Teks al-Quran daripada surah ali-Imran ayat 19 menjelaskan hakikat ini, dan saya meyakininya dengan penuh keyakinan.

Namun saya juga berhadapan dengan penjelasan Allah SWT terhadap kepelbagaian yang wujud khusus daripada surah Hud ayat 118-119.

Kenyataan daripada dua teks ini bukanlah perbezaan dan penentangan antara satu sama lain tetapi satu kesejajaran dalam menegaskan kewujudan kepelbagaian dengan paksi Islam yang berperanan menampungnya melalui dialog dan perdebatan secara sihat (saya memetikdaripada surah Al-Ankabut ayat 46).

Dalam hal perbalahan yang tidak selesai antara agama di dunia, Allah menetapkan bahawa keputusan mutlak ada di tangan Allah dan semua amalan yang mensyrikkan diri dengan Allah pada pandangan Islam akan didedahkan oleh Allah di akhirat kelak.

MENJADI HAMBA TUHAN

Menjadi hamba Allah yang baik ialah masing-masing berinteraksi dengan asas hormat, kemanusiaan dan memberikan keadilan kepada siapa yang berhak.

Isyarat dalam konteks ini tidak menjuruskan kepada mengatakan hanya Allah SWT yang menentukan kebenaran tanpa titik tolak yang kukuh atau daripada sesuatu yang lompang.

Titik tolak kukuh saya ialah kebenaran Islam yang saya imani tanpa syak dan ragu-ragu. Kewujudan kepelbagaian di dunia adalah realiti namun adalah satu realiti juga bahawa yang benar itu hanya satu.

Jika di dunia saya terpaksa berhadapan menegakkan kebenaran dalam suasananya yang nisbi kerana masing-masing mendakwa benar (atas kepelbagaian yang wujud) maka di hari akhirat kebenaran mutlak akan diputuskan oleh Allah SWT dan sebagai orang yang beriman saya meyakini kebenaran mutlak itu adalah daripada Islam.

Sebab itu apabila seorang peserta non-Muslim bertanya dalam majlis yang sama, “Apakah agama sifatnya eksklusif (bertentangan dengan inklusif) sehingga menjadi penghalang kepada hidup dalam suasana kerukunan dan damai?"

Saya menjawab ia tidak benar bagi Islam, kerana sifat eksklusif dan inklusif mesti kena pada tempatnya.

Bagi Islam akidah dan keyakinannya serta amalannya adalah eksklusif untuk penganutnya namun sifat Islam juga adalah inklusif dalam soal menegakkan keadilan, kemanusiaan, hormat agama lain dan seruan berdialog dengan cara yang sihat, sedangkan pluralisme agama mengandaikan tiada eksklusifism dalam beragama.

PANDANGAN SARWAJAGAT SAYA

‘World-view’ atau pandangan sarwajagat saya kepada isu-isu hubungan antara agama terbentuk dalam suasana yang jelas sejak awal penglibatan saya berdialog dengan gereja.

Terma rujukan utama saya ialah al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. manakala pandangan-pandangan daripada ulama dan pimpinan parti saya sentiasa menasihati dan memberi bimbingan kepada saya.

Selain itu rujukan buku-buku dari pengarang muktabar banyak memberikan saya keyakinan bahawa saya berada di landasan yang betul.

Menerokai bidang dakwah kepada non-Muslim tidaklah mudah bagi saya kerana sering tanggapan serong terhadap peribadi politik yang melekat pada diri saya menjadi sasaran.

Antaranya ialah saya cuba meraih undi simpati untuk PAS, malah ada yang menuduh saya ‘berlunak’ dalam pendekatan dialog sehingga menggadai prinsip dan ada pula yang menuduh saya tidak berkelayakan dan sebagainya.

PENDEKATAN SAYA

Pendekatan saya bukan debat untuk membuktikan siapa yang benar dan siapa yang salah kerana itu adalah ruang perdebatan teologi.

Penglibatan saya lebih kepada pendekatan mewujudkan suasana damai dalam hubungan antara agama menggunakan kaedah berkongsi proses kedamaian yang dipersetujui bersama tetapi pada waktu yang sama berada pada posisi agama masing-masing.

Pendekatan saya ialah berdialog bagi memahamkan penganut lain bahawa cara menghina, mencaci dan mengutuk antara satu sama lain tidak akan membantu mewujudkan suasana harmonis dan hormat menghormati antara agama.

Saya mengharapkan dalam proses itu Kerahmatan Islam akan terserlah bagi menguruskan hubungan antara agama dan bagaimana agama memainkan peranan menentukan bentuk masyarakat dan negara yang kita mahu.

PRINSIP SAYA

Dalam proses menjalankan pendekatan ini, saya menegaskan beberapa prinsip yang membentuk pemahaman saya dalam konteks hubungan antara agama:

Pertama - Menolak fahaman bahawa agama itu semua sama atau apa yang mudah diungkapkan sebagai pluralisma. Saya berhujah dengan mudah bahawa jika semua agama adalah sama mengapa kita perlu menjadi Muslim atau Kristian atau Budhha? Malah penganut lain pun menolak konsep pluralisme agama ini kerana bahayanya boleh mencairkan erti pegangan kepada sesuatu keyakinan.

Kedua - Menerima kepelbagaian agama sebagai realiti dan mencari penyelesaian untuk hidup dalam kepelbagaian ini dan bukan lari daripadanya. Wujud kepelbagaian agama adalah supaya Islam menguruskannya dengan panduan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. melalui prinsip kerahmatan Islam.

Ketiga - Membina jambatan falsafah hubungan antara agama melalui dialog bagi melahirkan suasana hormat mengormati. Jambatan praktikal hubungan antara agama dibina atas isu kemanusiaan seperti berganding bahu membela golongan susah dan memerlukan, memberi pendidikan kepada yang susah dan menziarahi yang sakit. Dalam konteks negara bersetuju untuk membenteras rasuah dan kefasadan politik dan membina secara bersama masyarakat yang terhindar dari kerosakan akhlak. Jambatan falsafah dan praktikal ini tidak terbentuk melainkan wujud saling percaya antara satu sama lain.

Keempat - Meyakini penyelesaian masalah konflik agama perlu diselesaikan di meja rundingan dengan melihat merit permasalahan dan bukan dipandukan sentimen dan emosi. “Engagement” (menaut) memerlukan “disengagement” (bebas) daripada apa persepsi yang terpahat selama ini untuk memahami permasalahan supaya mendapat penyelesaian yang tuntas.

Kelima - Menentang fahaman pelampau agama dan sikap rasis yang mewarnai hubungan samada melalui tingkahlaku atau kata-kata atau tindakan kerana ini akan mencemarkan nama baik Islam yang melimpahi Rahmatnya kepada alam ini. Semua agama mesti menentang fahaman melampau yang berpotensi mencetuskan keganasan atas nama agama walaupun hakikatnya agama tidak ada kena mengena dalam soal ini.

SEMOGA JELAS

Laporan TMI mungkin tidak sempat melakarkan keseluruhan konstruk pemikiran saya dalam hubungan antara agama di negara ini.

Saya mengharapkan daripada artikel ini mereka yang bertanya mendapat jawapannya walaupun panjang tetapi ia bukan semudah menjawab ya atau tidak atau paling kurang saya menyalahkan laporan berita yang melaporkan.

Hubungannya kompleks kerana ia memerlukan fahaman kontekstual dan pemikiran besar yang memandu saya.

Saya tidak menyalahkan pengkritik saya kerana mungkin mereka membuat perbandingan dengan pendekatan debat teologi yang mereka pernah baca dan lihat seperti tokoh hebat Ahmad Deedat atau Zakir Naik.

Saya yang bernama Mujahid punya pendekatan tersendiri dan mengharapkan ini adalah sumbangan daripada kerja dakwah menjadikan Islam sebagai asas titik tolak dalam menguruskan kepelbagaian agama yang ada.
_____________________
Mujahid Yusof Rawa ialah Ahli Parlimen Parit Buntar dan Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Pusat. Sejak isu kalimah “Allah” tercetus, beliau telah melawat dan mengadakan dialog dengan lebih 20 gereja di seluruh negara. Pengalaman beliau ini telah dirakamkan di dalam buku Berdialog Dengan Gereja: Sebuah Travelog Kedamaian dan telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris dengan judul Engaging Christianity: A Travelogue of Peace.

Lihat lagi..
E-Buku IH-18: 'PAS & Pemikiran Dr Mujahid'
E-Buku IH-18: 'PAS & Pemikiran Dr Mujahid'
E-Buku IH-31: Minda Baru PAS?
E-Buku IH-31: Minda Baru PAS?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails