SHAH ALAM - Ramalan Barisan Nasional (BN) hanya akan menang 120 kerusi 
jika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diadakan sekarang membuktikan 
Pakatan Rakyat (PR) berjaya menjadi seteru politik paling digeruni 
Kerajaan Pusat sepanjang empat tahun ini dan satu risiko kepada 
kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar), realiti itu 
tambah meyakinkan dengan penemuan kajian yang dilakukan oleh 
penganalisis politik, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin 
dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
"Dapatan Dr Shamsul Amri itu seolah-olah satu pengakuan bahawa kekuatan
 Pakatan Rakyat itu tidak boleh dipandang mudah sebab daripada 140 
kerusi sekarang ini sudah merosot kepada 120 kerusi," katanya.
Berdasarkan hasil kajian yang mengambil kira prestasi dari pelbagai 
sudut termasuk pembentangan Bajet 2013 dan insentif yang diumumkan pada 
September lalu, Shamsul berkata, kemenangan akan memihak kepada BN.
“... mereka akan dapat minimum 120 kerusi. Sekarang 140 kerusi, 24 
kerusi kelabu, baki 70 kerusi Pakatan Rakyat... (pada keseluruhan) 
majoriti tipis," katanya yang merupakan Timbalan Pengerusi Majlis 
Profesor Negara.
Bagaimanapun Shamsul tidak menolak kemungkinan jumlah kerusi BN akan 
meningkat naik tetapi tidak akan turun kurang daripada 120 kerusi 
seperti yang diramalkannya.
“Kemungkinan jumlah kerusi yang akan dimenangi BN naik itu ada... 
berdasarkan pada apa yang berlaku Oktober dan November,” ujar beliau.
Mengakui bahawa ramalan Shamsul itu munasabah, Dzulkefly berkata, 
senario politik semasa membuatkan kedua-dua parti tidak dapat membuat 
telahan yang tepat - parti mana yang akan meraih kemenangan, waima untuk
 sebuah kemenangan tipis.
"Saya kira itulah antara sebabnya, mungkin kenapa Datuk Seri Najib yang
 mengetahui tentang realiti itu sehingga hari ini beliau tidak dapat 
membubarkan Parlimen," ujarnya.
Malah katanya, Najib secara peribadi akan berhadapan dengan risiko 
disingkarkan ekoran rekod buruk dalam karier politiknya jika hanya mampu
 memberikan kemenangan tipis kepada BN.
"Perkara ini berlaku kepada Pak Lah. Kerana kalau menang BN tetapi 
dengan kemenangan yang tipis, Datuk Seri Najib bakal menjadi orang yang 
kalah dalam pilihan raya ini kerana Umno-BN, Umno khususnya tidak akan 
mengizinkan beliau memimpin Barisan Nasional," katanya.
Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, kini 
semuanya bergantung pada kebijaksanaan rakyat untuk memilih parti mana 
yang lebih berhemah dalam mentadbir urus negara ini dalam tempoh di mana
 PR memberikan saingan kepada kerajaan di beberapa negeri.
"Makanya pertarungan PRU13 ini akan ditentukan oleh sejauh mana 
kedua-dua belah pihak dapat membuktikan siapa yang sebenarnya telah 
membuktikan dalam laluan empat hingga lima tahun ini, pentadbiran mereka
 itu lebih baik daripada yang lain," tegas beliau.
Untuk rekod, pada pilihan raya lalu, BN memperoleh 140 kerusi manakala 
pembangkang menang 84 kerusi, di mana ia adalah rekod terburuk BN. PR optimis pihaknya akan menambah kerusi di Johor, Negeri Sembilan termasuk Sabah dan Sarawak. (SH)

 
 

1 comment:
Kita tnggu da nn lihat nanti..dgr macam hujung bulan 12..ke tahun depan plak.hehe
Post a Comment