Thursday, November 29, 2012

Bincang Salon, Akan Selesai Terdekat -Takiyuddin

 
KOTA BHARU: Kerajaan negeri mengutamakan kepentingan semua pihak termasuk peniaga, pelanggan dan orang awam berkaitan isu kedai gunting lain jantina (uniseks).

“Hari ini sesi penerangan dan perbincangan dalam keadaan yang amat harmonis dan amat baik bertujuan mencari jalan penyelesaian terbaik antara semua pihak berkaitan kedai gunting rambut.
“Ini kerana ia ada kaitan dengan dasar kerajaan negeri. Kami menerima beberapa cadangan daripada kedua-dua pertubuhan masyarakat Cina.
“Dan dengan penuh gembira dan suci hati kami akan membawa cadangan dibincang dalam mesyuarat Exco tidak lama lagi,” kata anggota Exco Datuk Takiyuddin Hassan.

Hari ini berlangsung pertemuan kerajaan negeri bersama Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kelantan berkaitan isu kedai gunting lain jantina. Kedua-dua NGO terbabit disertai seramai 10 wakil termasuk seorang wanita. Pertemuan diadakan di Pejabat Menteri Besar. Selepas pertemuan mereka turut menemui Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Turut hadir pada pertemuan terbabit anggota Exco, Datuk Dr Muhammad Fadzli Hassan dan pegawai hubungan kaum Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Chia Chua Lay dan Guan Seng. Sebelum ini seorang pengurus kedai gunting, Ong Lee Ting mendakwa terpaksa membayar saman dikeluarkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) kerana pekerja wanita bukan Islam di premisnya menggunting rambut pelanggan lelaki bukan Islam.

Bercakap kepada pemberita selepas itu Takiyuddin berkata, cadangan dikemukakan kedua-dua NGO terbabit begitu baik dan boleh membantu kerajaan menyelesaikan isu berkenaan.

“Saya yakin kerajaan akan membuat satu keputusan tidak lama lagi dengan mengutamakan semua pihak.
“Jadi saya tidak berhasrat untuk sebut cadangan itu kerana pertemuan diadakan secara tertutup, InsyaAllah akan dibincang dalam mesyuarat Exco dalam masa terdekat,” ujarnya.

Ditanya pemberita, kata beliau cadangan itu lebih daripada tiga perkara. Menurutnya beliau memberi jaminan cadangan tersebut akan dipertimbangkan dengan cara terbaik oleh kerajaan.

“Isu ini akan selesai dalam masa terdekat. Kita telah banyak menyelesaikan perbagai isu berbangkit termasuk isu bekalan air.
“Dalam isu ini saya optimis boleh selesai dengan cara terbaik. Cadangan itu boleh jadi terima sepenuhnya atau ada ubah suai, jadi kalau ada masalah kita boleh bincang balik.  Perbincangan ini tidak terhenti setakat ini sahaja,” ujarnya lagi.

Beliau juga berkata, perkara yang berkait dengan undang-undang, ada kaedahnya yang boleh diselesaikan termasuk melalui budi bicara. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails