Wednesday, November 28, 2012

Tiada Air Bersih, Mana Pencapaian Diutamakan?


Seorang penduduk membawa Abang Mat [kiri] ke dapurnya untuk menunjukkan air tidak ada

KOTA SAMARAHAN: Lebih 3,000 keluarga di daerah Asajaya telah mengalami gangguan bekalan air yang kritikal sejak beberapa hari lalu. Menyedari keadaan semakin meruncing sehingga langsung tiada air bersih di kampong mereka, penduduk menghubungi PAS bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Kampung yang terjejas teruk dengan masalah tersebut adalah Kampung Tambirat, Sambir dan Moyan dan Sebandi yang terletak di bawah DUN Asajaya, Parlimen Kota Samarahan.  Lebih memeritkan lagi, ada kalangan penduduk kampung yang terpaksa berbelanja lebih untuk membeli bekalan air bersih berupa air mineral dan air minuman untuk meneruskan majlis kenduri kahwin.

Antara yang menerima aduan ini adalah Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, AJK PAS Pusat. Beliau menerima panggilan daripada penduduk kampung tersebut bergegas ke tempat kejadian untuk mendengar dan melihat sendiri keadaan tersebut. Menurut beliau seteleh meninjau keadaan di ketiga-tiga kampung tersebut, keadaan ini amat menyusahkan dan tidak sepatutnya berlaku.

“Situasi ini amat memalukan. Sudahlah tiada notis diberikan sebelum 'pemotongan untuk penyelenggaraan' tersebut dilakukan, pihak Lembaga Air yang berkenaan langsung tidak menghantar bantuan yang sepatutnya disalurkan melalui lori-lori air ke kampong berkenaan. Ini mengundang kemarahan penduduk kampung di atas ketidakcekapan di dalam pentadbiran kerajaan negeri BN," kata Abang Mat.

Tambah beliau lagi, “Apabila persoalan diajukan kepada Penghulu dan Pengerusi JKKK kampong berkenaan, jawapan yang diberikan adalah tiada makluman daripada pihak atasan untuk dihebahkan.”

Bagi penduduk kampung yang mempunyai tangki simpanan air, mereka memaklumkan air yang ditadah semasa hujan beberapa hari sebelumnya sedikit sebanyak membantu mereka menjalankan kehidupan harian mereka. Namun, daripada tinjauan di sekitar kampong tersebut, hanya beberapa buah rumah sahaja yang mempunyai tangki tersebut dan selebihnya bergantung sepenuhnya daripada sumber yang dibekalkan oleh Lembaga Air yang berkenaan.

Seorang penduduk kampung, Mahathir Ahmad, 35, beliau terdetik untuk menghubungi PAS setelah Harakahdaily melaporkan berita mengenai lawatan Abang Ahmad Kerdee di Pusa, Beting Maro berkenaan masalah yang sama.

“Tiada cara lain lagi untuk mengajar pemerintah, hanya melalui PAS dan PR sahaja pilihan yang ada. Aduan demi aduan sudah dibuat kepada YB dan pihak berkenaan namun hasilnya mengecewakan. Batang paip untuk saluran air yang dikhabarkan pada pilihanraya negeri tahun lepas pun banyak yang tersadai di tepi jalanraya. Mungkin dah dekat PRU nanti barulah disambung,”ujar beliau sinis.

Gambar: Abang Mat menunjukkan batang paip yang diletakkan di tepi jalan menjelang pilihan raya negeri lalu...ia tersadai di situ selepas pilihan raya

Beliau berkata lagi, di kampungnya hampir setiap hari bekalan air terganggu dan meminta pihak YB dan yang berkenaan segera mengatasi masalah mereka dan bukan hanya meletakkan paip air di tepi jalan semata-mata. Para peniaga yang ditemui juga melahirkan rasa terkilan dan marah dengan keadaan tersebut. Menurut mereka kemungkinan perniagaan kedai makan mereka terpaksa ditutup jika keadaan tiada bekalan air itu berterusan.

“Slogan 'Rakyat Didahulukan' betul-betul kena atas batang hidung kami. Sekarang mana perginya 'Pencapaian Diutamakan?'," soal Mahathir lagi.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails