KOTA BHARU: Selepas PAS membuat arahan secara rasmi agar menyertai perhimpunan Bersih 3.0, kini Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula membuat seruan yang sama dengan berkata, hadir ke Bersih 3.0 adalah wajib.
Beliau menyeru seluruh rakyat di negara ini khususnya yang cintakan keadilan hadir pada program Bersih 3.0 (Duduk dan Bantah). Menurutnya,  menghadiri program itu suatu  kewajipan memandangkan ianya diadakan  untuk untuk menentang ketidakadilan khususnya terhadap proses  pilihanraya di negara ini yang tidak selari dengan Islam.
“Mana-mana pihak yang melakukan perkara tidak berlandaskan Islam wajib kita tentang,” ujarnya.
Beliau  berkata demikian kepada Harakahdaily dan akhbar Harakah di pejabatnya  di sini sebentar tadi bagi mengulas program yang bakal diadakan pada 28  April ini. Tuan Guru seterusnya memberitahu, dalam lapan tuntutan  Bersih, beliau hanya ingin mengulas satu iaitu berhubung pengundi hantu  yang jelas ianya perbuatan kotor dan bercanggah dengan kehendak Islam.
“Andainya  Pakatan Rakyat menang dalam pilihanraya akan datang dan mentadbir  negara akan melakukan sebagaimana BN buat sekarang, setuju atau tidak  sekiranya kami bawa pengundi hantu untuk kekal mentadbir negara pada  pilihanraya berikutnya.
“Tentu saja Umno dan BN tidak mahu sebab perkara ini perbuatan  mungkar yang tentu saja berdosa besar bila melakukanya,”ujarnya lagi.
Tambahnya,  sekiranya mereka juga tidak boleh terima, kenapa sanggup adakan  pengundi hantu dengan membawa masuk rakyat luar negara yang tidak ada  kena mengena semata-mata untuk mengekalkan kemenangan.
Kerana  itu, tambahnya ‘wajib’ rakyat di seluruh negara keluar beramai-ramai  untuk menjayakan Bersih 3.0 pada 28 April ini dengan tujuan untuk  menentang pengundi hantu di samping menuntut tujuh perkara lain.
Beliau  seterusnya memberitahu, sekiranya wakil rakyat yang menang dalam  pilihan raya itu kerana dibantu oleh pengundi hantu, kemenangannya  adalah ‘haram’ di sisi Islam.
“Malah segala alaun bulanan atau  segala bentuk yang diperolehi sebagai wakilrakyat, gaji, kereta dan  semuanya haram serta tidak sah di sisi Islam.
“Perkara ini bukan perkara main-main dan kena ingat Allah dan balasan akhirat,”ujarnya.
Pada  masa yang sama beliau turut memberitahu mereka yang sanggup menerima  tugas sebagai pengundi hantu juga haram, malah rezeki yang diberikan  sebagai imbuhan juga haram.
“Duit yang digunakan dari hasil haram  Allah tak akan terima, akhirat lagi kena azab, Allah ni bukan macam  manusia yang langsung tidak bergantung pada kita,”ujarnya lagi.
Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan turun bersama dalam  perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil di Dataran Merdeka  pada 28 April ini.
"Parti juga telah mengeluarkan arahan kepada semua ahli untuk turun  beramai-ramai ke himpunan tersebut," kata setiausaha akhbarnya Nasaie  Ismail.
Selain beliau, pemimpin Pakatan Rakyat, termasuk Ketua Pembangkang Datuk  Seri Anwar Ibrahim juga dijangka mengumumkan kehadirannya ke perhimpunan  "duduk bantah" itu dalam masa terdekat. (IH)
Komen Weblog  Ibnu Hasyim: Allahu Akbar!!

 
 

No comments:
Post a Comment