Friday, October 07, 2011

97 Pelarian Kebulur, Orang Islam Tiada Tanggungjawab?

97 pelarian Myanmar kebuluran di laut

MOHD. HATTA (kanan) bertanyakan sesuatu kepada seorang pelarian warga Myanmar di Balik Pulau, Pulau Pinang semalam. 

BALIK PULAU - Tindakan nekad 97 pelarian warga Myanmar untuk masuk ke negara ini secara haram selepas sembilan hari belayar dari Bangladesh tidak kesampaian apabila mereka ditahan polis di pesisiran pantai Pulau Betong di sini semalam.

Kesemua mereka yang berusia 19 hingga 30 tahun diberkas dalam satu operasi bersepadu polis kira-kira pukul 8 pagi dan ditemui dalam keadaan tidak bermaya serta kelaparan setelah lima hari terputus bekalan makanan. Difahamkan, mereka terpaksa mengerah kudrat yang ada untuk berenang sejauh 300 meter menyeberangi Pulau Kendi ke Pulau Betong selepas ditinggalkan tekong bot kira-kira 500 meter dari pantai. Sebahagian daripada mereka menggunakan jaket keselamatan untuk berenang ke pesisiran pantai manakala selebihnya hanya menggunakan tong beras, tong fiber dan plastik sebagai pelampung.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Mohd. Hatta Mohd. Zain berkata, tangkapan dilakukan berdasarkan maklumat orang awam yang curiga melihat sebuah bot berhampiran Pulau Betong pada pukul 3 pagi semalam. Menurut beliau, hasil pemeriksaan polis ke lokasi terbabit menemui sekumpulan lelaki basah kuyup dan menggigil kesejukan selain berada dalam keadaan lapar manakala selebihnya melarikan diri ke kawasan bukit berhampiran.

"Siasatan mendapati mereka adalah kumpulan pelarian Myanmar yang datang dari sebuah kem pelarian di Bangladesh sebelum belayar ke negara ini semata-mata mahu mencari pekerjaan.

""SEBAHAGIAN daripada 97 orang pelarian warga Myanmar yang kebuluran diberi makan selepas ditahan di Balik Pulau semalam.

"Mereka menaiki sebuah bot kayu dan membayar tekong dengan upah 10,000 paka (RM420) seorang dan diarah terjun ke laut kira-kira 500 meter dari pantai oleh tekong berkenaan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Susulan daripada itu, Hatta memberitahu, pihaknya dengan kerjasama Maritim Malaysia (APMM) giat mengesan bot terbabit selain berjaya menahan 14 lagi warga Myanmar, tidak jauh dari pantai Pulau Betong.
Turut ditahan ialah dua lelaki Myanmar berusia 40-an yang bekerja di negeri ini yang mengaku mahu mengambil saudara mereka yang tiba dengan bot di pesisiran pantai terbabit.

Kedua-dua lelaki yang datang dari Nibong Tebal dan Sabak Bernam, Selangor itu kemudiannya turut dibawa bersama kesemua pelarian terbabit ke Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya untuk membantu siasatan.

Sementara itu, menurut seorang pelarian, Anowar Hussain, 23, mereka hanya minum air kosong bagi mengalas perut sejak lima hari lalu ketika belayar dari perairan Bangladesh ke sini. Katanya, dia menghabiskan semua wang simpanan kira-kira RM500 untuk membayar tekong kerana teruja untuk mencari pekerjaan yang lebih baik di Malaysia setelah mendengar cerita rakan-rakan yang berhijrah ke sini.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: 97 pelarian Myanmar kebuluran di laut. Suatu contoh... mereka itu manusia, beragama, dan biasanya sihat. Lari dari Myanmar, ke Bangladesh dan Malaysia. Nabi Muhammad SAW mengajarkan, seorang pelacur membantu anjing kehausan boleh masuk syurga, dan mengurung kucing tanpa tanpa diberi makan minum, dicampakkan ke neraka.

Mereka yang tidak berdaya keluar dari negara bukan Islam kepada negara orang Islam juga adalah kerana tuntutan agama. Hanya sempadan dunia jadi masalah, apakah tidak ada jalan keluar? Apakah tidak ada dalam Ialam hak mereka sebagai seorang Islam di perantauan, bermusafir dan hak asasi manusia? Jangan pedulikan perjuangan hak asasi manusia mengikut gaya barat yang menguntungkan puak-puak mereka sahaja?

Lihat perjuangan hak asasi manusia mengikut acuan sebenarnya. Di Malaysia tidak adakah pemimpin dan tokoh-tokoh agama yang memperjuangkan hal ini? Ada bantuan untuk pelarian Islam di negara bukan Islam? Mengapa di negara mereka boleh Malaysia tak boleh? Lihat tulisan-tulisan ini...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails